Skip to main content

Steam seperti tahun-tahun lepas telah berkongsi senarai permainan yang menjana pendapat tertinggi sepanjang tahun ini di platform tersebut. Ia dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Platinum, Gold, Silver dan Bronze. Platinum merupakan kumpulan yang menjana pendapatan tertinggi dan berikut adalah 11 permainan tersebut tidak mengikut sebarang aturan:

Starfield

Permainan terbaru oleh Bethesda, Starfield membawa rasa dan tatamain yang sudah dijangkakan daripada permainan oleh mereka. Walaupun turut dilancarkan di Game Pass pada hari pertama pelancaran, tampaknya ia tidak menjejaskan jualan mereka di Steam apabila menjadi antara yang mendapat pendapatan tertinggi.

Baca: Ulasan Starfield

Call of Duty

Call of Duty masih lagi antara permainan FPS paling popular, oleh itu tidak mengejutkan ia adalah antara permainan di dalam kumpulan ini. Di Steam ia sekadar menggunakan judul Call of Duty, tetapi penyenaraian adalah untuk Call of Duty: Modern Warfare III, tidak pasti jika jumlah pendapatan ini turut mengambil kira Call of Duty: Warzone.

https://www.youtube.com/watch?v=mHDEDDrGYvo

Baldur’s Gate 3

Sebagai permainan terbaik tahun ini, tidak mengejutkan yang Baldur’s Gate 3 berada di dalam kumpulan ini, ini juga telah membuktikan yang walaupun permainan ini sudah dikeluarkan untuk beberapa tahun yang lepas secara akses awal, pelancaran penuh kemudian masih lagi mendapat penerimaan yang baik dan terus dibeli oleh pemain-pemain baharu.

Counter-Strike 2

Counter-Striker 2 dilancarkan secara rasmi pada bulan lepas, oleh itu tidak pasti jika jumlah pendapatan untuk permainan ini turut menyertakan jumlah bagi CS:GO iaitu permainan sebelum ini. Jika ya, oleh itu tidak mengejutkan ia berada di dalam kumpulan ini, jika tidak, ia menunjukkan yang jumlah yang tinggi dilakukan oleh pemain untuk beberapa bulan yang lepas di dalam permainan ini.

PUBG: Battlegrounds

Permainan yang dikeluarkan pada 5 tahun lepas terus popular di Steam dan terus menjana pendapatan yang baik di Steam. Ramai yang sudah meminta untuk Krafton hadir dengan permainan baharu bagi PUBG: Battlegrounds ini, akan tetapi dengan ia masih lagi menjana pendapatan yang baik, kita mungkin perlu menantikan lebih lama untuknya.

Hogwarts Legacy

Dengan premis permainan pengembaraan berdasarkan Harry Potter, Hogwarts Legacy telah menerima sambutan yang sangat baik. Semasa dilancarkan telah menjadi permainan paling popular di pelbagai platform termasuk juga di Steam. Selain menjana pendapatan yang tinggi, permainan ini telah menerima ulasan yang baik.

Dota 2

Satu lagi permainan oleh Valve sendiri selepas Counter-Strike 2, Dota 2 juga terus menjadi permainan popular walaupun sudah dilancarkan lebih 10 tahun yang lepas. Walaupun battle pass yang menentukan hadiah untuk The International tidak mendapat sambutan seperti tahun-tahun yang lepas, Dota 2 masih lagi menjana pendapatan yang baik untuk Valve.

Cyberpunk 2077

Selepas bermula dengan langkah kiri semasa dilancarkan pada tahun 2020, CD Projekt Red terus menambah-baik permainan ini dan pada tahun ini mereka telah melancarkan DLC pertama yang juga terakhir bagi permainan iaitu Phantom Liberty. Ini ditambah lagi dengan kemaskini 2.0 yang dikeluarkannya telah menarik minat ramai pemain dan memastikan mereka menjadi antara permainan dengan pendapatan tertinggi pada tahun ini.

Apex Legends

Apex Legends, satu lagi permainan percuma untuk dimainkan dan walaupun sudah berumur lebih 4 tahun terus menjadi permainan yang menjana pendapatan buat EA dan terus menjadi antara permainan ‘live service‘ yang paling popular di Steam. Dengan permainan ini terus melalui fasa baharu dengan pelbagai perubahan, ia mungkin akan terus berjaya untuk beberapa tahun lagi.

Destiny 2

Destiny 2 menerima penambahan terbaru pada awal tahun lepas iaitu Lightfall, oleh itu tidak mengejutkan jika ia tersenarai di dalam kelab istimewa ini. Tambahan lagi, permainan ini juga menyertakan pas semusim yang sudah semestinya menjadi pilihan oleh pemain-pemain yang bermain permainan ini setiap hari. Penambahan seterusnya akan tiba pada tahun ini, yang mungkin akan mengekalkan permainan ini di dalam senarai ini.

https://www.youtube.com/watch?v=i-7Cq7LLPr4

Sons of the Forest

Satu-satunya permainan akses awal yang ada di dalam senarai ini, Sons of the Forest tampaknya popular di kalangan pemain-pemain di Steam terutama bagi pemain yang menantikan permainan ketahanan hidup yang seterusnya untuk dimainkan. Permainan ini juga popular di kalangan penstrimer menjadikan ia terus menerima sambutan.

Jika anda ingin melihat permainan-permainan yang berada di dalam kumpulan Gold, Silver dan Bronze anda boleh layari laman steam – Best of 2023.

Leave a Reply