Starfield dikatakan sebagai permainan Skyrim ataupun Fallout di angkasa dan saya boleh katakan sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut. Jika anda mencari permainan seperti ini, saya boleh katakan yang Starfield akan memberi masa yang baik untuk anda. Starfield juga sebelum ini dikatakan sebagai permainan yang memberi kebebasan kepada pemain untuk mengembara di angkasa melawat pelbagai planet, bagi bahagian ini saya tidak merasakan ia akan memenuhi keinginan pemain yang inginkannya dan bagi saya, ia bukan masalah besar kerana permainan ini adalah lebih daripada itu.
Seperti pembukaan di atas, Starfield secara keseluruhannya adalah permainan yang boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama menyertakan pelbagai elemen permainan yang sangat baik dan berkualiti tinggi dan ada satu lagi bahagian yang terasa elemen tersebut tidak siap ataupun dilakukan dengan kurang menarik. Oleh itu, jika anda membaca ulasan ini dan mendapati perkara di bahagian yang pertama menjadi fokus untuk anda, permainan ini akan menjadi permainan yang sangat menyeronokkan seperti apa yang saya rasa, jika tidak permainan ini mungkin bukan untuk anda pada waktu ini.

Perkara pertama yang saya letakkan di dalam bahagian pertama ataupun bahagian ‘positif’ adalah misi sampingan ataupun penceritaan Faction. Saya meluangkan masa lebih kurang 70 jam bermain untuk ulasan ini, dan akan meneruskan sesi permainan selepas ini. Daripada 70 jam tersebut, saya boleh katakan meluangkan masa 20 jam untuk bermain penceritaan utama dan melakukan misi utama dan selebihnya adalah melakukan misi dan juga penceritaan sampingan terutamanya Faction.
Faction bukanlah sesuatu yang baharu di dalam permainan Bethesda, melaluinya anda boleh menyertai pelbagai kumpulan berbeza, tetapi sebelum menyertainya saya perlu melakukan beberapa misi yang akan membuka penceritaan berkait dengan kumpulan ini. Starfield melakukan perkara ini dengan sangat baik sekali, penceritaan, watak dan rekaan misi membuatkan saya terus bermain permainan ini walaupun sudah menghabiskan penceritaan utama.

Selain itu, terdapat juga misi-misi lain yang tidak berkait dengan mana-mana kumpulan akan tetapi lebih kepada misi setempat juga dilakukan dengan memuaskan dan juga misi yang berkait dengan companion di dalam permainan ini. Kebiasaannya misi yang disertakan adalah ringkas akan tetapi mencukupi untuk memberi lapisan dan nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan. 50 jam saya meluangkan untuk melakukan Faction dan misi sampingan ini, saya boleh katakan antara 50 jam terbaik pernah saya luangkan di dalam permainan video – dan saya masih mempunyai banyak perkara yang ingin dilakukan di dalam permainan ini.
Menjadi pelengkap kepada perkara di atas, perkara seterusnya di dalam bahagian positif adalah rekaan kawasan-kawasan di dalam Starfield. Saya merujuk kepada kawasan yang mempunyai penempatan tersendiri, anda boleh melawati banyak planet, tetapi sebilangan kecil sahaja yang mempunyai penempatan ataupun mempunyai ‘tujuan’, dan kawasan-kawasan ini dilakukan dengan mendalam dan memberi gambaran sebenar dunia di angkasa lepas.


Setiap kawasan ini direka dengan keunikan tersendiri mengikut keadaan ataupun tujuan tempat tersebut, terdapat New Atlantis yang boleh dianggap sebagai bandar besar yang kelihatan lebih modem, Akila City mengambil inspirasi daripada pekan ‘Cowboy’ dan Neon, bandar yang lebih ‘bebas’ dan bertemakan lebih kepada cyberpunk. Ini tidak ditambah lagi dengan tempat-tempat kecil seperti Cydonia, Hopetown dan Paradiso yang setiap-nya mempunyai keunikan tersendiri.
Kapal angkasa adalah perkara seterusnya yang saya boleh katakan dilakukan dengan sangat baik di dalam permainan ini. Menghasilkan kapal angkasa anda sendiri mengikut keperluan dan juga cara bermain adalah memuaskan, ditambah lagi dengan ia tidak memerlukan grind terlalu lama untuk mendapat kapal yang dikehendaki. Sesetengah bahagian terkunci di sebalik ‘skill tree’ yang sedikit menjengkelkan akan tetapi selain daripada itu, ia adalah satu tatamain tambahan yang dilakukan dengan baik.


Ini termasuk jugalah dengan pertempuran kapal ataupun dogfight, ia tidak kompleks seperti permainan-permainan Star Wars: Squadrons ataupun Ace Combat, tetapi masih memberikan kepuasan apabila berjaya untuk melawan dengan penjahat ataupun terasa tercabar apabila tewas. Kawalan adalah ringkas, tetapi anda boleh mengawal penggunaan tenaga kapal yang terhad semasa bertempur adalah menarik menjadikan seperti satu permainan-mini semasa pertempuran ini berlaku.
Perkara yang sama juga saya boleh katakan untuk pertempuran secara am di dalam permainan ini, saya boleh katakan ia adalah penggunaan senjata yang terbaik pernah dilakukan di dalam permainan Bethesda, jauh lebih baik berbanding Fallout 4 ataupun Fallout 76 dan terasa lebih menarik berbanding Skyrim walaupun senjata adalah jenis yang berbeza. Ini ditambah lagi dengan ‘kuasa tambahan’ yang boleh didapatkan oleh pemain menjadikan sesi pertempuran lebih menarik dengan boleh menggunakan senjata yang berbeza. Rekaan senjata di dalam permainan ini juga menarik dan nampak kelainan berbanding permainan-permainan lain.


Sistem “RPG” di dalam permainan ini juga adalah baik, anda boleh memilih untuk mendapatkan pelbagai kebolehan melalui skill tree dan oleh kerana untuk mendapatkan satu point bagi mendapat kemahiran adalah sukar dan mengambil masa, ia menjadikan setiap pilihan adalah penting. Tambahan pada itu, permaminan ini tidak menyediakan cara untuk anda set-semula oleh itu ia akan terus kekal. Ia terasa sangat terhad, tetapi bagi saya bersesuaian dengan konsep yang dibawa oleh permainan ini melalui NG+.
Beralih kepada perkara yang kurang baik ataupun di dalam bahagian ‘negatif’, pertama adalah penceritaan utama adalah mengecewakan. Ia masih lagi antara penulisan yang baik, akan tetapi jika saya ingin bandingkan penceritaan utama dengan penceritaan sampingan, ia bagaikan langit dan bumi. Sepanjang penceritaan utama saya merasakan ia bergerak kepada terlalu banyak perkara yang dirumuskan di bahagian akhir dengan terlalu mengejut dan sedikit terasa ‘lazy writing’ bagaimana misteri terungkai.

Penceritaan utama ini masih penting untuk membawa pemain ke bahagian akhir dan juga membuatkan “New Game+” terasa seperti kesinambungan berbanding permulaan baharu akan tetapi saya tidak boleh buang perasaan yang penceritaan utama untuk permainan ini tidak lebih daripada pembukaan sahaja untuk Starfield berbanding menjadi bahagian yang penting untuknya kerana melakukan misi utama saya lebih banyak bergerak dari satu planet ke planet yang lain dengan terlalu kerap, bagaikan permainan ini memperlihatkan kawasan-kawasan yang ada di dalam permainan ini.
Seterusnya adalah beberapa tatamain tambahan yang disertakan di dalam permainan ini tetapi terasa seperti tidak siap ataupun dilakukan dengan kurang menarik. Dua perkara tersebut adalah outpost dan juga pemilikan rumah. Outpost pada awalnya adalah menarik, akan tetapi terasa ia mempunyai banyak perkara yang mengehadkan kegunaannya selain itu, motivasi untuk melakukannya tidak mencukupi. Manakala pemilikan rumah di dalam permainan ini terasa sangat tidak berguna selain daripada ada, sedangkan saya sekadar meluangkan masa di dalam kapal sahaja yang lebih menarik.

Seperti yang saya katakan di atas, rekaan kawasan dan dunia di dalam permainan ini adalah cantik dan mendalam, akan tetapi prestasi permainan dan juga kualiti grafik saya boleh katakan tidak konsisten dan ada masa ia kelihatan baik dan ada masa ia kelihatan kurang memuaskan. Saya menggunakan Laptop Predator Triton 14 yang mempunyai spesifikasi seperti berikut;
- CPU: Intel Core i7-13700H
- GPU: NVIDIA GeForce RTX 4070 (8GB VRAM)
- RAM: 32GB
Tetapan grafik dan tahap kelancaran terbaik yang saya boleh dapat adalah menggunakan tetapan High dan mendapat kadar kelancaran secara purata lebih kurang 55 – 60FPS dan ini menggunakan FSR 2, jika tidak menggunakan upscalling ia akan jauh lebih rendah. Anda boleh dapatkan FPS yang lebih tinggi dengan merendahkan tetapan, tetepai bagi saya menggunakan High adalah pilihan yang terbaik bagi mendapat grafik dan prestasi yang terbaik boleh didapatkan. Jika tidak kisah bermain di bawah 60FPS, tetapan Very High boleh digunakan.


Bagi saya, prestasi ini tidak memuaskan terutama sudah terdapat pelbagai mod yang dikeluarkan oleh pemain lain untuk mempertingkatkan prestasi ini. Saya berharap yang Bethesda akan terus menambah-baik prestasi agar menjadikannya sekurang-kurangnya lebih mudah untuk mendapat kadar kelancaran melebihi 60FPS. Walaupun Starfield boleh dianggap sebagai permainan pihak pertama Xbox, namun ia tidak terasa seperti satu permainan pihak pertama kerana merasakan permainan ini masih memerlukan banyak peningkatan daripada segi grafik dan juga prestasi.
Perkara yang mengecewakan seterusnya adalah antaramuka di dalam permainan ini, saya merasakan yang ia adalah terlalu ringkas dan banyak informasi yang saya inginkan tidak diperlihatkan dengan baik. Ini bukan perkara yang asing untuk Bethesda, hampir kesemua permainan mereka akan mempunyai mod yang memperbaiki antaramuka untuk menjadi lebih baik, dan begitu juga di dalam Starfield. Saya mengelak untuk menggunakan mana-mana mod semasa ulasan ini, oleh itu pengalaman saya secara lalainya adalah kurang baik. Permainan ini juga mempunyai pelbagai pepijat dan ada yang menghalang daripada sesuatu misi diselesaikan.


Akhir kata, Starfield mempunyai penawaran yang baik melalui penceritaan dan juga misi sampingan, ditambah lagi dengan tatamain menarik untuk pertempuran termasuk juga dogfight, dan rekaan dunia yang menarik – ia adalah satu permainan yang sangat berkualiti tinggi dan memberikan pengalaman terbaik walaupun sudah bermain lebih 50 jam.
Namun, ia juga mempunyai beberapa kekurangan seperti prestasi di PC, grafik tidak menentu, beberapa bahagian permainan yang terasa tidak siap dan juga antaramuka yang terlalu ringkas dan kurang berguna kepada pemain. Walaupun dengan pelbagai masalah ini, saya masih merasakan Starfield adalah satu permainan yang anda akan mempunyai masa yang baik bermain, dan ia hanya akan jadi lebih baik dari semasa ke semasa. Oleh itu saya menganggap Starfield seperti Skyrim adalah satu permainan “generasi” yang akan dimainkan untuk waktu yang lama.
Penafian: Kod permainan Starfield disediakan oleh Bethesda untuk tujuan ulasan ini.