Demi memenuhi kehendak saluran dan platform penstriman video di peringkat global, Monsta memerlukan 52 episod untuk satu siri animasi. Disebabkan itu kita dapat menikmati Mechamato untuk dua musim bermula Disember 2021 dan kemudian pada Disember 2022.
Semasa MonstaCon 2023, CEO Monsta iaitu Nizam Abd Razak mengumumkan yang studio mereka kini sudah hampir siapkan musim ketiga dengan 13 lagi episod. Mechamato musim ketiga dijangka akan tiba pada tahun 2024 nanti dan mereka telah merancang untuk meneruskan kisah Mechamato untuk enam musim. Kejutan paling menarik adalah Monsta akan memperkenalkan watak baharu iaitu Maskmara.

Watak baharu ini diperkenalkan kerana selepas filem Mechamato Movie ditayangkan, ramai peminat inginkan lebih aksi watak Maskmana. Malah video raya tahun ini mengacah yang Piyan iaitu rakan Amato mungkin adalah Maskmana baharu. Sempena memenuhi permintaan peminat, Maskmara akan diperkenalkan terlebih dahulu sebelum meneruskan kisah Maskmana.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan aksi Maskmana, filem Mechamato Movie akan tiba di Netflix pada bulan November ini. Tahun 2027 adalah jangkaan Monsta dalam perancangan lima tahun mereka untuk mempunyai filem BoBoiBoy X Mechamato.