Bukan lagi rahsia yang Amato dalam siri Mechamato adalah ayah BoBoiBoy. Tetapi kita belum pernah lagi tonton bagaimana BoBoiBoy membesar bersama Amato yang merupakan hero dengan robot MechaBot. Sempena hari raya tahun ini Monsta telah hadir dengan video Temani Raya.
Video ini adalah satu rentas BoBoiBoy-Mechamato di mana Amato dewasa bersama dengan Oboi iaitu BoBoiBoy ketika kecil dan MechaBot. Kejutan yang ada dalam video ini adalah Pian versi dewasa. Video ini memperlihatkan keluarga Amato menziarahi Pian di Mercu Destar.
Video ini turut mendedahkan yang kapal angkasa MYS Kebenaran adalah binaan Mercu Destar dan melibatkan Pian. Paling mengejutkan video ini besar kemungkinan mendedahkan identiti Maskmana dalam filem BoBoiBoy Movie 2 adalah Pian. Kerana dalam Mechamato Movie Maskmana adalah tiga orang berbeza jadi mungkin Pian menggantikan ayah beliau sebagai hero bertopeng ini.
Video ini turut membuktikan betapa eratnya persahabatan Amato dan Pian dan bagaimanai BoBoiBoy telah terlibat dengan keluarga hero sejak kecil. Tidak lupa juga yang video seperti ini adalah berkait dalam semua kandungan Spheraverse menjadikan dunia ini lebih besar dan ada banyak jalan cerita boleh disampaikan.
Sejak Temani Raya diterbitkan di TikTok, YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter video ini telah menerima jumlah tontonan sebanyak lebih 20 juta dan menjadi sohor kini di pelbagai platform media sosial.