Ulasan Assassin’s Creed Mirage

Siri Assassin’s Creed dilancarkan pada tahun 2007. Ia memulakan hidup sebagai permainan seterusnya dalam siri Prince of Persia di bawah kendalian Patrice Désilets. Perubahan yang terlalu besar dilakukan ke atas mekanik permainan dan jalan cerita menyebabkan ia kemudiannya diubah kepada siri baharu Assassin’s Creed yang berkisar pertarungan antara kumpulan Assassin dan Kesatria Templar.

Pada tahun 2020 semasa AC Valhalla dilancarkan, perbezaan antaranya dan AC asal 2007 adalah sama seperti perbezaan AC dengan PoP. Ini membuatkan ramai merasakan siri popular Ubisoft ini sudah terlalu jauh menyimpang daripada idea asal Patrice Désilet yang meninggalkan syarikat pada tahun 2010.

Ini membawa kita ke tahun 2023 dengan Assassin’s Creed yang dengan beraninya kembali kepada fitrah asalnya. Dari segi mekanik, saiz, misi dan presentasi, Mirage ialah permainan yang akan menggembirakan peminat siri asal di bawah Désilets tetapi akan dibenci mereka yang mula menyertai siri ini sejak Origins.

Cerita

Kerana watak yang dikawal dalam Mirage ialah Basim, ramai pasti menyangka Mirage adalah kesinambungan kepada Valhalla. Tetapi jangkaan ini salah kerana kita dimulakan dengan Basim di waktu muda sebelum menyertai Assassin. Beliau dihantui mimpi buruk tanpa sebab dan keinginan untuk mencari jawapan kepada misteri ini menjadi teras utama Mirage.

Kita kini di Baghdad pada kurun ke-9 di bawah pemerintahan Khalifah Abasiyyah. Dengan kepimpinan yang kucar-kucir, kumpulan The Ancient Ones sekali lagi cuba menjadi tangan gelap yang mengawal khalifah secara rahsia. Seperti AC Origins, Odyssey dan Vahalla, menjadi tugas pemain memburu ahli the The Ancient Ones satu persatu.

Tanpa menyambung sebarang plot Valhalla, ia seakan usaha Ubisoft untuk membebaskan Mirage daripada beban lore yang sudah terlalu berat, semak dan kucar-kacir yang semakin membesar seperti bola Katamary Damacy. Walaupun aku mengkategorikan diri sebagai peminat tegar AC, aku sendiri sudah terlupa ada terjadi selepas Desmond Miles mati dan kita mengikuti DNA watak lain pula di dunia sebenar.

Masalah Ubisoft sama seperti masalah MCU sekarang. Jalan cerita terlalu besar sehingga membuatkan pemain baharu takut untuk membeli permainan baharu sementara pemain lama pula semakin pening dengan jalan cerita yang semakin sukar difahami. Kami rasakan Mirage ini adalah seperti sebuah reboot untuk konsol generasi. Jika anda memang mencari masa yang tepat untuk berjinak-jinak dengan siri AC, Mirage ialah pilihan paling tepat kerana semua bermula daripada sifar.

Corak Permainan

Perkara yang paling mengejutkan bagi aku ialah Ubisoft bukan sahaja kembali kepada asas pada jalan cerita, malahan corak permainan juga kembali ke AC 2007. Tiada lagi elemen RPG dan keperluan untuk level up. Pemain hanya perlu memilih misi, cari penyelesaian terbaik untuk melengkapkannya dan terus ke misi seterusnya.

Anda sukakan Black Flag? Corak permainan Mirage adalah lebih sama dengan Black Flag kerana hanya perlu tekan butang serang, elak, tangkis atau gunakan alatan lain (seperti sumpit dan pisau) untuk mengalahkan musuh. Kembali kepada kawalan lebih mudah. Harus aku akui di sini aku lebih selesa dengan corak permainan Origins dan Valhalla yang lebih taktikal serta aktif. Kepakaran diperlukan untuk membunuh ketua bukan sekadar menekan empat butang. Dalam hal ini sekali lagi ia bergantung kepada sama ada ada sukakan AC klasik atau AC era RPG.

Dalam Origins, Odyssey dan Valhalla terdapat keperluan untuk grinding ke tahap tertentu sebelum jalan cerita boleh diteruskan. Ini sebab utama mengapa ketiga-tiga permainan tadi memakan masa 80 jam untuk dihabiskan.

Kami boleh habiskan Mirage dalam masa 20 jam sahaja. Sama seperti pengalaman kami memainkan AC 2007. Tiada keperluan melakukan misi-misi sisi, mencari peti harta, memburu haiwan mistik atau melakukan permainan-mini semata-mata untuk meningkatkan tahap watak Basim. Masih terdapat misi sisi dan memburu harta tetapi ia tidak lagi dirasakan perlu sehingga terasa membebankan.

Lebih menarik ialah peta Mirage juga amat kecil. Mungkin yang paling kecil sejak AC II. Masa diambil untuk pergi dari titik paling utara ke titik paling selatan menggunakan kuda adalah sekitar 7 minit sahaja. Bukan 30-40 minit seperti peta Origins. Masa dihabiskan dalam misi bukan berjalan dari satu titik peta ke satu titik peta untuk meneruskan jalan cerita.

Siapa ingat perjalanan lebih 30 minit antara Oasis Siwa ke Alexandria yang perlu dilakukan dalam Origins? Walaupun disajikan vista padang pasir yang cantik, ia masih 30 minit yang lebih baik dihabiskan melakukan perkara selain menunggang unta.

Tak Semuanya Indah

Ya permainan kini lebih pendek dengan peta lebih kompak. Corak permainan juga kembali seperti asal dengan lebih banyak misi memerlukan Basim menjadi siluman dan bukannya Viking yang menggunakan kekerasan sepanjang masa. Ini semuanya. bagus tetapi Mirage masih mempunyai beberapa kepincangan lama.

Pertama sekali ialah misi yang majoritinya sama seperti permainan terdahulu. Siasat, guna Eagle Vision, bunuh pengawal, tikam, bunuh dan kemudian pergi ke misi seterusnya dan ulang. Variasi misi mungkin hanya ada tiga. Dalam 20+ jam permainan, kami hanya ingat satu misi sahaja yang mempunyai kelainan kerana ada twist di penghujung seperti filem M Night Shamalayan.

Valhalla menjadi bosan kerana terlalu panjang tetapi ada banyak misi yang terasa epik dan mengejutkan dibantu dengan elemen mitos Norse yang penuh magik. Misi dalam Odyssey pula banyak yang kelakar seperti menjadi atlet bina badan bidang terjun di sukan Olimpik, memburu hero palsu yang mengambil identiti Alexios/Cassandra dan menghapuskan haiwan mistik seperti pengembaraan Hercules.

Walaupun nama permainan ini Mirage, tiada elemen fantastik dimasukkan dalam misi. Tiada misi yang mengambil elemen Hikayat 1001 Malam. Ada satu misi bonus Ali Baba dan 40 Penyamun tetapi ini hanya untuk pembeli versi Deluxe. Kesemua misi terlalu serius sehingga menjadikan jalan cerita mendatar.

Rasa Tak Puas

Aku boleh katakan terasa kurang puas memainkan Assassin’s Creed Mirage. Isunya bukanlah ia terlalu pendek tetapi kurangnya variasi misi, banyak elemen dibuang, jalan cerita yang mendatar, dan tiada kesinambungan langsung apa yang berlalu di dunia luar Animus (adakah selepas 15 tahun ia dilupakan sahaja?).

Sebagai peminat tegar AC sejak permainan pertama aku faham mengapa Ubisoft mengambil langkah-langkah di atas. Maklum balas dari peminat di forum majoritinya mahukan AC kembali ke formula klasik. Tetapi tindakan Ubisoft untuk membuang terlalu banyak elemen baharu ini pastinya tidak akan menggembirakan semua pihak.

Dari sudut pandangan peribadi aku, ia terlalu drastik sehingga membuatkan Mirage terasa seperti Assassin’s Creed 2007 remastered dan bukan sebuah permainan baharu. Mungkin semua benda yang tiada ini akan dikembalikan dalam DLC akan datang? Hanya Ubisoft yang tahu jawapannya.

Assassin's Creed Mirage
Mirage kembali kepada AC asal buat pertama kalinya sejak Syndicate. Keputusan yang berani kerana mengikut kehendak majoriti peminat. Persoalannya adalah permainan dari tahun 2007 masih lagi serasi untuk tahun 2023?
Positif
Grafik yang cantik terutamanya pada konsol generasi semasa.
Peta lebih kencil misi dan elemenen stealth kembali seperti AC asal.
Jalan cerita lebih terus dan tak meleret. Hanya sepanjang 20 jam.
Negatif
Terlalu banyak elemen baharu dibuang sehingga terasa seperti sebuah permainan remastered.
Cerita pendek terasa seakan tergantung.
7

Sohor Kini