EA Sports FC ataupun nama sebelum ini FIFA telah melalui beberapa perubahan sejak beberapa tahun yang lepas, perubahan pertama bermula dengan hadir dengan konsol generasi terbaru iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series. EA beralih dengan memperkenalkan ‘hypermotion’ yang memberi kelainan yang agak ketara bagaimana permainan simulasi bola sepak ini dimainkan.
Perubahan seterusnya hadir dengan penjenamaan semula, nama FIFA yang telah menjadi sebahagian besar permainan ini untuk lebih 29 tahun yang lepas tidak lagi digunakan dengan EA Sports FC telah dipilih untuk menggantikannya dan ini adalah ulasan untuk EA Sports FC 24 yang akan dikeluarkan secara rasmi pada 29 September 2023.
Seperti mana yang saya lakukan untuk tahun-tahun yang lepas, ulasan saya akan memfokuskan kepada Ultimate Team dan juga tatamain secara umum. EA telah memberikan beberapa penambahan untuk mod-mod lain, akan tetapi saya tidak merasakan yang ia adalah perubahan besar dan tidak akan menjadi bahagian penting bagi permainan ini.
Sejak EA memperkenalkan Hypermotion, tatamain telah berubah setiap tahun ia dilancarkan dan EA Sports FC 24 merupakan tahun ketiga untuk Hypermotion dan ia adalah perubahan yang paling ketara berbanding beberapa dua tahun sebelum ini. Tatamain terasa lebih perlahan tetapi pada masa memberikan lebih kawalan kepada pemain dan terasa ‘teknikal’.
Saya sentiasa menggemari cara bermain yang lebih mementingkan melakukan passing pendek ataupun digelar sebagai ‘Tiki-Taka’ di dalam dunia bola sepak, pada masa sama saya juga tidak menyukai terlalu menggunakan skill. Perkara utama yang membuatkan saya boleh bermain dengan cara ini adalah kerana pergerakan pemain semasa menyerang yang baik.
Pemain-pemain yang dikawal oleh AI bergerak dengan baik untuk memberi ruang agar saya dapat mengelak daripada bola dirampas. Ia adalah sesuatu yang dipertingkatkan sejak daripada FIFA 23 melalui pelbagai kemaskini yang tiba, dan EA Sports FC 24 menjadikannya lebih baik. Ia tidak sempurna, masih terdapat kejadian di mana pergerakan pemain tidak masuk akal seperti menjauhi diri daripada pembawa bola dan memasuki tempat yang sukar untuk menerima bola.
Perkara yang menjadi rungutan saya pada tahun lepas adalah agar sukar untuk melawan pemain-pemain yang menggunakan “High Pressing”, tetapi di dalam EA Sports FC 24 saya tidak merasakan ia terlalu bermasalah kerana sentiasa ada pemain yang akan membuka ruang untuk melarikan diri daripada pressing tersebut.
Selain pergerakan pemain yang dikawal oleh AI, pemain kawalan sendiri juga terasa lebih kemas walaupun tanpa menggunakan skill. Jika anda biasa dengan cara Xavi bermain, saya boleh katakan EA Sports FC 24 membolehkan saya untuk menjadi seperti Xavi, saya boleh bergerak ke kiri ke kanan, ke depan ataupun belakang, dan memusing badan untuk menjaga bola sebelum melakukan passing. Kesemua ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa perlu gerakan skill.
Bagi melakukan jaringan, saya mempunyai perasaan yang bercampur, saya suka kerana merasakan yang ia benar-benar mementingkan bagaimana bola ditendang, kedudukan pemain dan juga kemahiran pemain yang digunakan. Namun, pada masa sama saya juga dapati kadang-kadang pemain menendang dengan cara yang sangat janggal membuatkan tendangan jauh tersasar.
Ini membuatkan pada awal saya tidak menyukainya kerana terasa seperti pepijat, akan tetapi selepas meluangkan lebih masa, saya menyedari yang saya perlu berfikir lebih lanjut mengenai cara ataupun kedudukan untuk saya melakukan tendangan dan juga arah ia akan dilakukan. Ini akan menentukan tendangan yang baik ataupun tidak.
Berbeza pula dengan pertahanan yang saya sangat tidak menyukainya. Saya tidak pasti ia adalah sesuatu yang diinginkan oleh EA ataupun buat masa ini sekadar satu pepijat, akan tetapi saya merasakan pergerakan pertahanan terlalu janggal, dan setiap tackle terasa terlalu lemah. Secara amnya, saya boleh katakan yang saya tidak 100% mengawal pemain pertahanan saya.
Jika saya menukar ke seorang pertahanan, pergerakan pertahanan tersebut terasa terlalu perlahan walaupun menggunakan pemain yang mempunyai kelajuan yang tinggi. Perkara ini membuatkan saya sering bolos kerana pemain lawan melakukan sedikit pergerakan dan membuatkan pertahanan saya sukar untuk mengejar.
Saya masih sedang mencari cara terbaik untuk melakukan pertahanan, tetapi buat masa sekarang mengawal pemain lain untuk membantu pertahanan adalah lebih baik berbanding terus mengawal pertahanan. Jika anda bermain EA Sports FC 24 sekarang, seperti saya, anda mungkin akan bolos gol-gol yang melucukan, ia juga berlaku kepada pihak lawan oleh itu akan ada gol jaringan anda yang tidak boleh “dibanggakan”.
Secara keseluruhannya, saya merasakan yang tatamain EA Sports FC 24 bermula dengan langkah kanan, ia mempunyai beberapa masalah seperti yang saya katakan di atas akan tetapi saya masih menyukainya, terutama bahagian memulakan serangan, ia baik untuk pelbagai gaya permainan yang berbeza. Namun, bahagian pertahanan dan juga pergerakan penjaga gol adalah sesuatu yang EA perlu pertingkatkan dalam masa terdekat ini.
Bagi Ultimate Team pula, perubahan adalah tidak besar akan tetapi setiap perubahan ataupun penambahan yang disertakan saya sangat menyukainya. Pertama adalah pemain wanita kini disertakan bersama di dalam mod ini, dan saya boleh membina pasukan campuran pemain wanita dan juga lelaki. Selepas Piala Dunia Wanita berlangsung pada tahun ini, ia adalah satu penambahan yang tepat pada masanya.
Pemain wanita memberi pilihan yang baharu untuk membina pasukan, sedikit kekurangan bagi saya adalah pemain-pemain wanita akan terhad kepada tengah dan juga penyerang sahaja untuk menjadikan mereka pemain yang baik. Oleh kerana perbezaan fizikal, posisi pertahanan tengah ataupun penjaga gol kurang bersesuaian walaupun mempunyai rating yang tinggi.
Tambahan pada itu, sistem Chemistry yang diperkenalkan semasa FIFA 23 menyukarkan untuk menggunakan pemain wanita ini, kerana mereka mempunyai liga berlainan dengan pemain lelaki, walaupun secara teknikalnya adalah dari kelab yang sama.
Pemain wanita akan menjadi lebih baik, apabila EA memperkenalkan kad yang mempunyai “Premium Chemistry” untuk membolehkan mana-mana pemain boleh digunakan tanpa risaukan Chemistry. Penukaran seterusnya adalah tiadanya penukaran posisi dengan pemain boleh menggunakan posisi alternatif dengan mudah, ia sangat membantu untuk membentuk pasukan dan juga SBC.
Penambahan ketiga yang saya suka adalah Evolutions, melalui fungsi ini pemain boleh mengambil pemain-pemain tertentu untuk menjadikan dia lebih baik berbanding kad asas dengan melakukan beberapa cabaran. Evolution adalah yang percuma dan ada yang berbayar.
Saya menyukainya kerana ia membolehkan mana-mana pemain mendapat kad istimewa tanpa perlu menantikan EA mengeluarkan promo. Kad yang sama juga boleh menerima beberapa kali Evolutions juga menjadikan potensi untuk fungsi ini sangatlah baik.
Selain itu, terdapat juga perubahan seperti tempoh masa untuk Squad Battle dipendekkan dan juga membolehkan saya untuk menebus objektif dengan segera juga adalah baik. Saya cuma mempunyai rungutan mengenai Tab Objectives yang sekadar memperlihatkan jumlah objektif yang boleh ditebus tetapi tidak memperlihatkan ia berada di tab yang mana. Bagi saya ia sedikit menjengkelkan kerana saya perlu mencari satu persatu.
Mengikut penukaran jenama, antaramuka EA Sports FC 24 juga diperbaharui, dan saya menyukainya kerana ia kelihatan lebih kemas, walaupun pemilihan sesuatu menu terasa janggal pada awalnya. Selain itu, beberapa pepijat dengan antaramuka juga ada contohnya saya tidak boleh mengakses Transfer Market secara terus melalui pemain konsep.
Akhir kata, EA Sports FC 24 selain daripada judulnya bukanlah satu perubahan besar untuk permainan simulasi bola sepak oleh EA ini, akan tetapi perubahan-perubahan yang disertakan melalui tatamain dan juga untuk mod Ultimate Team menjadikannya satu permainan yang bermula dengan langkah kanan dan sesuatu yang boleh dibina untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
Penafian: Kod permainan EA Sports FC 24 untuk PlayStation 5 disediakan oleh EA bagi tujuan ulasan ini.