Diarahkan oleh Pierre Coffin, Minions & Monsters menemui penonton sebagai filem spin-off ketiga dan filem ketujuh secara keseluruhan dalam francais Despicable Me kelolaan Illumination. Secara ringkasnya saya boleh katakan yang filem ini jelas terbahagi kepada dua kualiti penyampaian yang berbeza. Jika melihat kepada treler, premis utama filem ini adalah mengenai minions yang ingin menghasilkan filem berkait dengan raksasa yang memerlukan mereka untuk mencari raksasa yang sebenar, tetapi bahagian tersebut hanya separuh kedua untuk filem ini berbanding menjadi fokus utama.

Ironinya, separuh masa pertama filem ini bagi saya menjadi kekuatan utama untuk keseluruhan filem ini. Saya melihatnya sebagai satu call back kepada era keemasan Hollywood lama serta keajaiban sinema awal. Penghormatan yang diberikan kepada legenda-legenda filem bisu seperti Buster Keaton dan Charlie Chaplin adalah satu kejutan yang saya sangat hargai. Kualiti visualnya juga kekuatan tambahan bagi filem ini. Animasinya sungguh memukau, dan saya sangat menghargai kreativiti pasukan produksi dalam menggunakan pelbagai gaya seni yang berbeza, contohnya, gabungan animasi rubber-hose klasik untuk menyegarkan lagi penyampaian unsur jenakanya.

Selain itu, saya juga boleh puji keberkesanan dua minions iaitu James dan Henry sebagai watak utama. Persahabatan mereka dipaparkan dengan penuh keikhlasan dan sifat saling menyokong. James menonjol dengan cemerlang sebagai minion yang kreatif dan berwawasan besar, manakala Henry mengimbangi dinamik tersebut sebagai rakan karib yang sentiasa setia di sisinya. Interaksi mereka berdua berjaya menghidupkan perjalanan emosi dalam cerita ini dengan cukup berkesan bersama dengan Ed yang sering menjadi pembantu mereka.

Namun begitu, peralihan ke separuh masa kedua sedikit mengecewakan saya apabila filem ini mula kehilangan pesona uniknya. Ia seolah-olah merosot menjadi komedi fizikal dan kelam-kabut yang tipikal, mengingatkan saya kepada aksi slapstick ala Minion yang biasa kita lihat. Tambahan pula, filem ini menyisipkan satu plot sampingan yang memfokuskan kepada watak robot makhluk asing bernama Dort (disuarakan oleh Jesse Eisenberg) yang jatuh cinta kepada seorang pejuang hak wanita. Pada pandangan saya, jalan cerita ini terasa sangat janggal, dikembangkan dengan terlalu nipis, dan jelas tidak sesuai dengan nada naratif yang telah dibina dengan baik dari awal, walaupun pada akhirnya ia membawa peranan yang penting di dalam penceritaan utama.

Akhir kata, walaupun filem ini sedikit terjejas dengan separuh masa kedua yang kurang teratur serta penambahan jenaka tipikal yang seakan-akan diwajibkan untuk filem sebegini, ia tetap berjaya memaparkan satu penghormatan yang baik kepada keseronokan pengalaman menonton wayang beramai-ramai. Saya boleh menyimpulkan bahawa filem ini kekal sebagai salah satu entri yang paling menonjol dari segi kecantikan visual dan paling menambat hati dalam keseluruhan francaisnya, biarpun ia pada asasnya masih disasarkan khusus untuk penonton kanak-kanak.

Minions & Monsters
Filem ini sedikit terjejas dengan separuh masa kedua yang kurang teratur serta penambahan jenaka tipikal yang seakan-akan diwajibkan untuk filem sebegini, ia tetap berjaya memaparkan satu penghormatan yang baik kepada keseronokan pengalaman menonton wayang beramai-ramai.
Positif
James, Henry dan Ed
Call back filem-filem klasik
Negatif
Bahagian kedua sedikit meleret
7

Leave a Reply

Final Score