Pandang Pertama Samsung Galaxy Tab S9 Ultra

Pada bulan Julai lepas, Samsung telah mengumumkan kemaskini untuk penawaran tablet mereka iaitu Samsung Galaxy Tab S9 yang hadir dengan tiga model iaitu Samsung Galaxy Tab S9, Samsung Galaxy Tab S9+ dan Samsung Galaxy Tab S9 Ultra. Anda boleh baca artikel pengumuman maklumat lanjut, akan tetapi perkara utama yang membezakan tiga model tablet ini adalah saiz skrin iaitu 11-inci, 12.4-inci dan 14.6-inci.

Samsung telah menyediakan kami Samsung Galaxy Tab S9 Ultra dan selepas beberapa hari mencuba, dengan memfokuskan kepada bermain permainan video, berikut adalah pandang pertama kami.

Melalui padang pertama ini, saya memfokuskan kepada tiga bahagian yang menjadi fokus saya semasa mencuba tablet ini iaitu Skrin, Prestasi dan juga Pengalaman Umum.

Bagi skrin, dengan saiz 14.6-inci, ditambah lagi dengan penggunaan panel Dynamic AMOLED 2X, kualiti paparan adalah seperti yang anda jangkakan daripada mana-mana peranti mercu oleh Samsung iaitu sangat berkualiti tinggi.

Pengalaman bermain mana-mana permainan video dan juga menonton kandungan hiburan seperti filem dan siri TV adalah baik dan tiada rungutan daripada saya. Skrin ini juga menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, akan tetapi oleh kerana tidak banyak permainan yang menyokongnya fungsi ini tidak lebih daripada future proofing.

Manakala bagi prestasi, menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 dan juga RAM 12GB, kebanyakan permainan yang saya cuba tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain menggunakan tetapan tertinggi, antara permainan yang saya cuba adalah Honkai: Star Rail, Genshin Impact, Marvel Snap dan Call of Duty Mobile.

Satu-satunya permainan yang membuatkan saya merendahkan tetapan adalah Genshin Impact kerana masalah stuttering yang terlalu kerap. Namun, saya boleh katakan yang bagi Snapdragon 8 Gen 2, ia sepatutnya tidak mempunyai masalah, oleh itu saya akan menguji lebih lanjut dan akan kongsinya di ulasan penuh kelak.

Bagi pengalaman umum pula, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra adalah satu tablet yang besar, bermain dengan memegangnya akan menjadi tidak selesa selepas satu tempoh yang singkat. Jika anda masih ingin bermain menggunakan skrin sesentuh, cara terbaik adalah dengan meletakkan tablet di atas meja ataupun mana-mana permukaan.

Cara tersebut adalah yang baik tetapi bukan optimum, cara yang terbaik bagi saya adalah menggunakan alat kawalan dan bermain seperti tablet adalah satu monitor ataupun satu laptop. Walaupun ini adalah cara terbaik, akan tetapi tidak semua permainan menyokongnya memberikan pengalaman yang berlainan mengikut permainan yang berbeza.

Saya juga ingin menyentuh mengenai papan kekunci yang hadir bersama dengan tablet ini, dengan menggunakannya ia akan menjadikan tablet ini seperti satu laptop, akan tetapi semasa saya mencuba, tiada permainan yang menyokong secara terus kawalan menggunakan papan kekunci ini. Satu permainan yang saya dapat menggunakannya adalah Honkai: Star Rail, namun anda perlu menyambungnya ke alat kawalan terlebih dahulu.

Akhir kata, Samsung Galaxy Tab S9 Ultra, adalah satu tablet yang mempunyai paparan berkualiti tinggi, dan dikuasakan dengan cip pemprosesan serta jumlah RAM yang mencukupi untuk bermain kebanyakan permainan dengan tetapan yang tertinggi. Pengalaman bermain permainan video tidak konsisten kerana penggunaan alat kawalan dan juga papan kekunci tidak disokong oleh kesemua permainan yang ada. Namun, apabila ia berfungsi dengan baik, saya sangat menyukai pengalaman bermain permainan video di tablet ini.

Sohor Kini