Asus telah mengumumkan ROG Ally lebih kurang setahun selepas Valve melancarkan Steam Deck, memberikan pesaing kepada pasaran yang baharu iaitu yang saya gelar sebagai ‘PC Mudah Alih’ ataupun portable PC. Perkara pertama yang menjadi kelebihan kepada ROG Ally berbanding Steam Deck adalah Asus membawa ROG Ally terus ke pasaran Malaysia secara rasmi manakala Steam Deck walaupun selepas setahun dilancarkan masih tiada pelancaran rasmi di sini.

Kelebihan kedua adalah ROG Ally menggunakan Windows 11 berbanding Steam Deck yang menggunakan sistem operasi tersendiri. Ini adalah kelebihan kerana ia memastikan ROG Ally tidak berbeza dengan PC ataupun laptop yang anda gunakan sekarang dan boleh memasang segala aplikasi ataupun klien permainan di PC, dan juga perisian-perisian yang bukan permainan video. Namun, kelebihan ini juga adalah satu kekurangan bagi ROG Ally yang saya akan terangkan lebih lanjut di dalam ulasan ini.

Spesifikasi

Paparan7-inci FHD IPS (1920 x 1080), 120Hz
CPUAMD Ryzen Z1 Extreme (8C/16T, sehingga 5.1GHz)
GPUAMD Radeon Graphics (AMD RDNA 3, 8.6 teraflops)
RAM16GB LPDDR5
Storan512GB M.2 PCIe 4.0 SSD
Batteri40Wh/2600mAH
Dimensi280 x 111 x 21.2~32.4 mm
Berat608g
HargaRM3,299

Perisian

Seperti yang saya nyatakan di atas, ROG Ally menggunakan Windows 11 sebagai sistem operasi yang menjadikannya benar-benar satu PC ataupun laptop di dalam bentuk konsol mudah alih. Ia adalah baik kerana segala perkara yang anda lakukan menggunakan PC, anda boleh lakukannya dengan ROG Ally ini. Segala gedung tempat anda membeli permainan video juga boleh digunakan di ROG Ally ini dan tidak terhad kepada Steam sahaja. Jika anda ingin, ROG Ally juga boleh disambung ke monitor dan menggunakannya sebagai satu PC.

Kekurangan yang hadir dengan menggunakan Windows 11 adalah pengalaman keseluruhan menggunakan ROG Ally sebagai konsol permainan video, iaitu tujuan utamanya. Windows 11 tidak dihasilkan untuk digunakan di platform sebegini, ataupun dikawal sepenuhnya menggunakan alat kawalan. ROG cuba menyelesaikan ini menggunakan Armoury Crate yang menjadi hab kepada kesemua perkara permainan video, seperti shortcut, tetapan dan kemaskini untuk sistem operasi.

Armoury Crate adalah satu penyelesaian baik, untuk memberi pengalaman yang konsisten akan tetapi ia terasa bagaikan muka depan sahaja, untuk melakukan sesuatu termasuk juga membuka permainan, ia masih lagi akan kembali ke Windows 11 seperti membuka klien sebelum membukan permainan, ini memberikan pengalaman yang berbeza-beza mengikut klien yang digunakan.

Satu lagi masalah dengan Windows 11 dan bukan dihasilkan secara khusus adalah ada masa sesuatu permainan tidak berfungsi seperti diharapkan. Ada masa permainan tidak dapat mengesan alat kawalan dan menjadikan input untuk permainan tersebut adalah papan kekunci dan tetikus, oleh kerana ROG Ally tidak mempunyai kedua-duanya ia akan menjadi masalah. ROG Ally menyediakan cara untuk menyelesaikannya melalui tetapan yang disediakan akan tetapi sepanjang saya menggunakan ROG Ally ini ia berlaku terlalu kerap yang menjejaskan pengalaman saya bermain.

Asus dan ROG sudah semestinya akan terus mempertingkatkan pengalaman menggunakan Armoury Crate dan ROG Ally ini, dan saya juga berharap mereka dapat bekerjasama dengan Microsoft untuk hadir dengan Windows 11 yang menyokong platform sebegini. Buat masa ini, ironinya saya boleh katakan yang pengalaman menggunakan Steam Big Pictures adalah lebih baik berbanding menggunakan Armoury Crate.

Saya juga boleh katakan yang ROG Ally juga kekurangan pelbagai fungsi yang sudah menjadi kebiasaan untuk konsol, antaranya adalah suspend permainan, untuk membolehkan saya memulakan sesi permainan kembali secara cepat selepas menutupnya.

Rekaan

Sebelum saya memegang sendiri ROG Ally, saya merasakan yang ia mungkin terlalu besar untuk digunakan secara mudah alih, akan tetapi saya boleh katakan yang kegunaannya adalah selesa dan saya tidak mempunyai sebarang masalah ataupun rungutan. Rekaan secara umumnya adalah seperti mana yang pengguna biasa dengan konsol-konsol mudah alih yang lain – Nintendo Switch ataupun Steam Deck. Ia sudah semestinya lebih besar berbanding Nintendo Switch akan tetapi saiznya tidak terlalu terasa dan saya boleh mengakses kesemua butang yang disertakan tanpa sebarang masalah.

Bagi penggunaan yang lama melebihi satu jam, anda mungkin terasa ia sedikit beratnya tetapi tidak terlalu sangat sehingga menyebabkan sesi permainan menjadi kurang selesa. Selain itu, ia juga tidak terasa terlalu panas, walaupun saya kebiasaannya bermain dengan sambungan ke kuasa, dan bermain permainan berat seperti Cyberpunk 2077 untuk tempoh yang agak lama, kepanasan konsol ini tidak menjadi masalah.

Setiap butang di ROG Ally terasa sangat baik, setiap kegunaan terasa tactile seperti menggunakan alat-alat kawalan yang mahal, kesemua port berada di bahagian atas iaitu satu USB-C digunakan untuk mengecas ataupun mengeluarkan paparan kepada monitor, port XGm untuk kegunaan kad grafik luaran, picu audio, slot untuk mikroSD, butang volume dan butang kuasa. Satu sahaja USB-C sedikit menyusahkan jika anda merancang untuk menggunakannya sebagai PC, penggunaan dongle adalah diperlukan.

Paparan & Audio

ROG Ally menyertakan paparan sebesar 7-inci yang menggunakan panel IPS, secara amnya saya berpuas hati dengan paparan yang diberikan. Ia tidak sebaik seperti yang saya sudah biasa dengan Nintendo Switch yang menggunakan OLED, akan tetapi jika anda menggunakan monitor IPS untuk kegunaan harian, anda boleh jangkakan kualiti yang lebih kurang di ROG Ally.

Sokongan sehingga 120Hz adalah perkara yang baik akan tetapi sepanjang pengalaman saya bermain sukar untuk saya mengguna pakai kadar segar semula tersebut. Kadar reaksi tidak sebaik monitor gaming, tetapi masih memuaskan dan saya juga tidak merasakan yang anda ingin bermain secara kompetitif menggunakan ROG Ally. Ia boleh digunakan di tempat yang terang akan tetapi anda perlu menukar tetapan kecerahan secara manual, tetapi saya boleh katakan ia mempunyai kecerahan yang mencukupi untuk pelbagai keadaan.

Saya juga sangat berpuas hati dengan kualiti audio yang ditawarkan oleh ROG Ally. Bunyi adalah kuat, dan kebanyakan sesi permainan saya adalah bermain menggunakan speaker berbanding menggunakan set fon kepala. Kualiti bunyi serta dinamik audio adalah sangat baik, dialog dan bunyi di belakang dapat diasingkan dengan sangat baik sekali. Kualiti sedikit berkurangan apabila menggunakan volume yang terlalu tinggi akan tetapi ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Jika anda bermain di dalam bilik ataupun di tempat yang kurang bising, menggunakan speaker adalah pilihan yang mencukupi untuk sesi permainan, jika anda memiliki set fon kepala yang berkualiti tinggi sudah semestinya kualiti bunyi tidak boleh dibandingkan akan tetapi untuk penggunaan umum, saya sangat gembira dengan kualiti yang diberikan.

Bateri

Ketahanan bateri untuk ROG Ally saya boleh katakan mengecewakan, anda boleh memilih empat pilihan untuk mod operasi iaitu Silent, Performance, Turbo dan juga mod lalai Windows. Menggunakan Turbo yang akan menggunakan CPU dan GPU dengan lebih tinggi, saya boleh bertahan daripada 100% kurang daripada sejam. Ia meningkat kepada sejam lebih sehingga 2 jam untuk mod Performance dan lebih 2 jam untuk mod Silent.

Saya boleh katakan yang mod Performance adalah mod paling rendah yang boleh dipilih untuk kebanyakan permainan yang saya cuba, mod Silent menjadikan prestasi terlalu rendah. Oleh itu, walaupun ROG Ally adalah konsol mudah alih, akan tetapi bermain secara mudah alih adalah tidak memberangsangkan yang membuatkan saya lebih gemar menggunakan mod Turbo dan menyambungnya ke kuasa.

Kurang ketahanan bateri ini kita mungkin boleh salahkan kapasiti bateri iaitu 40Wh sahaja, akan tetapi saya lebih cenderung untuk mengatakan yang ia mungkin disebabkan penggunaan Windows 11. Seperti kita sedia maklum, Windows 11 bukanlah sistem operasi yang khusus untuk konsol, oleh itu banyak perkara yang sedang berjalan di belakang tanpa kesedaran pengguna, yang secara langsungnya memberi kesan kepada ketahanan bateri secara keseluruhan.

Prestasi

Bagi menguji prestasi untuk ROG Ally saya menggunakan mod Turbo dan resolusi 1080p untuk kesemua permainan dan bermain tiga permainan iaitu Cyberpunk 2077, Baldur’s Gate 3, dan Hi-Fi Rush. Daripada keempat-empat permainan ini, saya boleh rumuskan yang ROG Ally adalah konsol yang akan memberikan pemain sesi bermain 1080p dan 30FPS tanpa sebarang masalah untuk kebanyakan permainan termasuk juga yang terbaru.

Cyberpunk 2077

Cyberpunk 2077 adalah antara permainan yang menyertakan tetapan khusus untuk Steam Deck, bagi percubaan saya untuk ROG Ally ini saya telah memilih tetapan ini yang menggunakan tetapan High untuk kebanyakan bahagian, dengan beberapa ditetapkan sebagai Medium. Saya juga menggunakan AMD FidelityFX yang berfungsi seperti DLSS bagi kad grafik NVIDIA.

Menggunakan tetapan ini, Cyberpunk 2077 secara puratanya memberikan kelancaran 36.7FPS yang bagi saya sudah cukup baik. Ada yang mencecah sehingga 90FPS tetapi itu adalah bahagian menu dan bukan semasa bermain. Kadar kelancaran adalah yang jatuh lebih rendah berbanding 20FPS tetapi sangat jarang berlaku iaitu lebih kurang 6.3% sahaja daripada sesi keseluruhan. Kebiasaan tempat FPS terjejas adalah apabila keluar daripada menu ataupun selepas melakukan fast travel ke tempat yang baharu. Selain daripada itu sesi permainan adalah baik

Menggunakan tetapan ini, saya boleh katakan kualiti grafik adalah baik dan dengan kelancaran stabil 30FPS, ia memberikan pengalaman bermain yang memuaskan, terutama bagi permainan Cyberpunk 2077 yang dunianya dipenuhi dengan lampu neon dan pantulan di setiap sudut. Mungkin terdapat beberapa bahagian yang kelihatan kabur tetapi tidak sangat dirasai ataupun menjejas pengalaman bermain.

Baldur’s Gate 3

Baldur’s Gate 3 boleh dikatakan sebagai antara permainan terbaru dilancarkan, dan saya juga menyukai yang permainan ini mempunyai antaramuka yang khusus jika bermain menggunakan alat kawalan, ataupun bagi ROG Ally menggunakan alat kawalan yang terbina. Tetapan yang saya gunakan di ROG Ally adalah High dengan menggunakan AMD FSR 1.0 dengan tetapan Balance.

Menggunakan tetapan ini, saya mendapat kadar kelancaran purata 47.1FPS yang bagi saya sudah cukup baik, namun saya boleh katakan yang bahagian yang saya cuba adalah di kawasan pertama permainan ini sahaja. Baldur’s Gate 3 mempunyai kawasan-kawasan yang seterusnya yang saya boleh katakan akan memberikan kelancaran yang lebih rendah. Walaupun saya menggunakan tetapan high dan mendapat kadar kelancaran 47FPS, saya masih cadangkan untuk menggunakan tetapan medium terutama apabila memasuki bahagian kedua permainan.

Menggunakan tetapan high ini memberikan kualiti grafik yang memuaskan, saya juga mencuba Medium dan ia masih lagi cukup baik terutama bermain di skrin kecil seperti ROG Ally. Setiap elemen grafik di dalam permainan ini diperlihatkan dengan baik, kualiti tekstur juga adalah baik. Semasa pertempuran segala jenis serangan juga nampak sangat menarik. Seperti saya nyatakan di atas, Baldur’s Gate 3 juga mempunyai antaramuka yang khusus untuk kawalan menggunakan alat kawalan. Bagi pertempuran, ia tidak sebaik menggunakan papan kekunci dan tetikus, namun untuk pengembaraan ia adalah lebih baik.

Hi-Fi Rush

Saya memilih Hi-Fi Rush kerana saya merasakan ini adalah jenis permainan yang mungkin lebih bersesuaian untuk kegunaan dengan ROG Ally, seperti mana Nintendo Switch mempunyai permainan yang khusus untuknya. Bagi permainan ini, saya menggunakan tetapan High dan menggunakan AMD FSR 1.0 dengan mod Balanced.

Jangkaan saya, jika inginkan permainan yang boleh dimainkan 60FPS, Hi-Fi Rush adalah jenis permainan yang boleh dipilih, secara puratanya ia memberikan kadar kelancaran 65FPS, dengan ia tidak pernah jatuh di bawah 30FPS. Sesi permainan juga terasa sangat stabil tanpa sebarang gangguan walaupun semasa bertempur dengan ramai penjahat.

Kualiti grafik yang diberikan melalui tetapan High adalah sangat baik, penggunaan warna-warna terang di dalam permainan ini disampaikan dengan baik. Di tambah lagi dengan bentuk permainan untuknya yang kasual, memberikan satu pengalaman yang baik untuk bermain ROG Ally.

Rumusan

Jika anda benar-benar inginkan satu PC mudah alih yang senang untuk di bawa dan khusus untuk permainan video, ROG Ally adalah satu pilihan yang baik, namun saya masih berpendapat yang laptop masih lagi pilihan yang lebih baik, dan ia juga boleh dikatakan sebagai ‘mudah alih’. Ini terutamanya masalah bateri yang tidak tahan lama menjadikan konsep mudah alih ini kurang berjaya, ini ditambah lagi dengan antaramuka untuk ROG Ally tidak memberikan pengalaman yang baik untuk menjadikannya sebagai satu konsol.

Namun, sebagai konsol permainan video, ROG Ally memberikan prestasi yang memuaskan, terutama jika bag 1080p/30FPS untuk kebanyakan permainan dan 60FPS bagi permainan-permainan yang lebih ringan. Paparan serta kualiti audio yang diberikan juga cukup baik. Semua ini adalah pilihan yang anda tidak akan menyesal jika mempunyai RM3,299 untuk dibelanjakan.

Leave a Reply