Ruangan Gaming ataupun ‘Gaming Room’ bagaikan sudah menjadi kewajipan di dalam setiap rumah terutama dengan populariti permainan video yang kian meningkat. Ruangan ini juga kebiasaan digunakan untuk menonton kandungan hiburan seperti filem dan juga siri TV, tidak kira melalui penstriman dan juga cakera fizikal.

Bagi kami, perkara yang wajib untuk ada di ruangan gaming ini adalah TV dan juga soundbar terutama bagi yang meluangkan lebih masa bermain permainan video di konsol. Jika anda ada membaca dua ulasan kami sebelum ini, kami sudah meluangkan masa lebih sebulan mencuba Samsung OLED 4K S95C serta Samsung Soundbar HW-Q800C dan merasakan yang dua kombinasi adalah satu pilihan yang baik untuk mengisi ruangan gaming anda.

Anda boleh membaca ulasan penuh melalui pautan berikut; Ulasan Samsung OLED 4K S95C dan Ulasan Samsung Soundbar HW-Q800C. Melalui artikel ini, kami akan kongsikan lima sebab mengapa kombinasi ini adalah pilihan yang baik;

1. Sokongan 120Hz (Sehingga 144Hz)

Pertamanya sudah semestinya mengenai Samsung OLED 4K S95C yang menyokong kadar segar semula 120Hz ataupun 144Hz untuk penggunaan dengan PC. Perkara ini menjadi lebih diinginkan selepas hadirnya konsol generasi terkini iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series yang menyasarkan permainan-permainan boleh dimainkan dengan kadar kelancaran yang lebih tinggi berbanding konsol generasi lepas.

Sokongan ini juga bertambah baik dengan S95C mempunyai 4 HDMI 2.1 dengan kata lain, setiapnya menyokong 4K@120Hz, jika menggunakan soundbar HW-Q800C ia akan menggunakan satu HDMI sahaja dengan 3 HDMI lagi boleh digunakan untuk PlayStation 5, Xbox Series ataupun konsol-konsol lain yang anda miliki dan setiapnya akan memberikan pengalaman yang terbaik.

2. Kualiti Gambar

Seperti yang kami nyatakan di dalam ulasan, kualiti gambar yang dipamerkan oleh S95C adalah sangat baik, antara terbaik yang pernah kami alami daripada sebuah TV. Penggunaan teknologi Quantum Dot oleh Samsung benar-benar memberikan warna yang tepat ataupun ‘life like’. Ini ditambah lagi dengan TV ini menyokong HDR10+ dan juga AMD FreeSync.

Selain itu, tahap keterangan bagi TV ini adalah baik dan bersesuaian dengan pelbagai keadaan pencahayaan di dalam ruangan gaming anda. Tidak kira jika anda suka bermain dengan lampu dibuka ataupun di dalam gelap, TV ini boleh memberikan pengalaman yang terbaik untuk kedua-dua keadaan yang berbeza tersebut.

3. Tetapan Khusus

Kedua-dua S95C dan juga HW-Q800C menyertakan tetapan khusus untuk permainan video. Bagi S95C ia menyertakan Auto Low Latency Mode (ALLM) yang secara automatiknya membuatkan TV akan menggunakan ‘mode gaming’ yang mengurangkan latency dan juga lag, dua perkara yang akan mempertingkatkan pengalaman bermain permainan video. S95C juga menyokong Game Motion Plus, Super Ultra Wide Game View dan FreeSync.

Manakala HW-Q800C pula menyertakan tetapan Game Pro yang boleh digunakan untuk memastikan sesi permainan video lebih baik terutama permainan-permainan yang menyokong 3D Audio. Ini adalah perkara yang semakin penting, terutama permainan-permainan yang dikeluarkan untuk PS5 dan juga Xbox Series mula menyokong 3D Audio di dalam permainan mereka.

4. Q-Symphony

Jika menggunakan S95C secara kendiri, mungkin ia tidak memberikan kepuasan untuk audio walaupun ia masih jelas tetapi ada kekurangannya. Namun, pengalaman adalah jauh lebih baik apabila menggunakan TV ini bersama dengan soundbar HW-Q800C yang akan mempertingkatkan segala kekurangan yang di bawa oleh speaker TV tersebut.

Ini ditambah lagi dengan hadirnya teknologi Q-Symphony yang membolehkan soundbar digunakan bersama dengan speaker TV secara harmoni. Dengan kata lain, TV di speaker akan menjadi speaker tambahan untuk soundbar tersebut. Ini sangat membantu jika pemain ingin mengalami bunyi surround dan juga 3D Audio dengan lebih baik.

5. Rekaan

Ini mungkin tidak sangat mempunyai kaitan dengan pengalaman anda bermain permainan video akan tetapi rekaan yang menawan untuk S95C dan HW-Q800C sudah semestinya akan membuatkan ruangan gaming anda kelihatan lebih menarik dan kemas. Panel yang nipis untuk TV dan saiz soundbar yang tidak terlalu besar akan membuatkan anda tidak membazir terlalu banyak ruangan untuknya.

Rekaan ‘Infinity One Design’ bersesuaian dengan segala susunan perabot yang berbeza, di tambah lagi dengan kegunaan kotak ‘One Connect’ memudahkan lagi untuk meletakkan TV ini tetapi pada masa sama memudahkan mengakses bahagian I/O. Manakala HW-Q800C pula menyertakan subwoofer yang disambung secara nirwayar pula akan juga memudahkan untuk meletakkannya tanpa perlu mengubah sebarang kedudukan perabot semata-mata untuk meletakkannya.

Jika anda sedang di dalam perancangan untuk mempunyai ruangan gaming tersendiri ataupun ingin mempertingkatkan pengalamannya, kami sangat mencadangkan untuk menyertakan Samsung OLED 4K S95C serta Samsung Soundbar HW-Q800C yang sangat baik digunakan bersama, ia akan melengkapkan pengalaman bermain tidak kira dari segi kualiti gambar ataupun audio.

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai kedua-dua produk ini di pautan berikut – Samsung OLED 4K S95C dan Samsung Soundbar HW-Q800C.

Penafian: Samsung OLED 4K S95C dan Samsung Soundbar HW-Q800C disediakan oleh Samsung Malaysia.

Sohor Kini