Skip to main content

Samsung Soundbar HW-Q800C adalah penawaran terbaru bagi pilihan soundbar kelas pertengahan daripada Samsung dan merupakan model kemaskini untuk HW-Q800B yang dilancarkan sebelum ini. Jika anda membaca ulasan saya untuk TV Samsung OLED 4K S95C, antara rungutan kecil saya adalah kualiti audio TV tersebut adalah baik untuk dialog akan tetapi kurang dari segi bass dan juga volume. Oleh kerana itu, HW-Q800C adalah satu penyelesaian yang sangat baik.

Unboxing

Spesifikasi

Samsung HW-Q800C
Channel5.1.2
Jumlah Speaker11 (Tengah, Atas, Tepi, Tweeter)
Jenis SubwooferNirwayar
DolbyATMOS Music, ATMOS, Dolby MAT, Dolby Digital Plus, Dolby True HD
Pintasan Video4K, HDR10+
I/O1 x HDMI (Masuk), 1 x HDMI (Keluar), eARC, CEC, Optical, Wi-Fi, Bluetooth
Harga JualanRM3,999

Rekaan

Soundbar untuk HW-Q800C mempunyai rekaan yang biasa bagi sebuah soundbar dengan rekaan sepanjang lebih kurang 1.1 meter, bingkai menggunakan plastik dengan gril memenuhi soundbar adalah metal. Tinggi adalah 60 meter yang bagi saya tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan kebanyakan TV untuk membolehkan soundbar diletakkan di depan tanpa risau ia akan menutup sebahagian daripada TV.

Sebarang tetapan ataupun informasi mengenai soundbar ini akan dipaparkan di bahagian depan, ia sekadar teks, dan hanya boleh memaparkan satu informasi pada satu masa yang serba sedikit membuatkan pengubahan tetapan sedikit leceh, akan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sering dilakukan. Oleh itu saya tidak merasakan ia adalah masalah yang besar.

Manakala subwoofer yang akan disambung secara nirwayar (automatik) mempunyai rekaan petak yang agak besar iaitu 403 untuk tinggi dan juga panjang yang mungkin tidak akan muat di kebanyakan rak TV, akan tetapi dengan sambungan secara nirwayar, ia boleh diletakkan di mana-mana bahagian sahaja tanpa perlu terlalu risaukan dengan kedudukan soundbar itu sendiri.

Bagi sambungan, ia mempunyai HDMI untuk masuk dan keluar dengan sokongan eARC, Optical dam juga boleh disambung secara nirwayar menggunakan Wi-Fi dan juga Bluetooth. Jika anda menggunakan TV Samsung, sambungan secara Wi-Fi juga menyokong Dolby Atmos. Namun, bagi percubaan ini, saya menggunakan HDMI bersama dengan Samsung S95C.

Kawalan boleh dilakukan melalui alat kawalan jauh yang disertakan bersama dan juga butang fizikal di atas soundbar untuk mengawal Volume, Channel dan juga power. Jika menggunakan TV Samsung, kawalan volume juga boleh dilakukan menggunakan alat kawalan jauh TV.

Prestasi

Selepas memasang soundbar ini ke TV, dan jika menggunakan TV Samsung anda mempunyai dua pilihan tetapan iaitu menggunakan soundbar sahaja ataupun menggunakan soundbar bersama dengan TV melalui teknologi yang digelar sebagai ‘Q-Symphony’ oleh Samsung. Saya akan jelaskan kelebihan untuknya di bawah.

Sebelum itu, saya boleh katakan sangat berpuas hati dengan kualiti audio yang diberikan oleh HW-Q800C ini. Ia mempunyai bunyi stereo yang sangat berkualiti, sound stage juga adalah baik, pembahagian bunyi kanan dan kiri adalah memuaskan tetapi bahagian tengah adalah yang terbaik memberikan penyampaian dialog dan juga vokal yang sangat jelas. Kualiti audio yang sangat baik ini adalah secara menyeluruh, tidak kira menonton filem, mendengar muzik, dan juga bermain permainan video. Bagi permainan video, saya langsung tidak terasa untuk menggunakan set fon kepala semasa bermain, kerana audio daripada soundbar ini sudah memadai dan immersive.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi SpaceFit Sound Pro membolehkan pengguna untuk menjadikan soundbar ini ditetapkan dengan tetapan terbaik mengikut keluasan bilik, ia akan dilakukan secara automatik. Saya juga boleh katakan yang volume untuk HW-Q800C boleh menjadi sangat tinggi, saya kebiasaannya menggunakan tahap 25-30 sahaja, dan ia sudah cukup kuat, kualiti audio akan berkurangan jika menetapkan volume yang tinggi, tetapi saya merasakan ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Kekurangan yang saya boleh nyatakan bagi soundbar ini adalah bunyi Surround dan juga Dolby Atmos walaupun memuaskan dan mencapai efek yang diinginkan akan tetapi ada masa ia terasa artificial ataupun buatan. Ini sudah dijangkakan kerana tiadanya speaker belakang, perkara ini boleh dipertingkatkan dengan menggunakan Q-Symphony yang saya nyatakan sebelum ini, speaker di TV akan menjadi speaker belakang. Ia membantu, tetapi tidak sebaik jika anda memasang speaker tambahan, sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah, perkara yang sama juga jika bercakap mengenai bunyi 360. Satu lagi rungutan yang saya boleh katakan, adalah prestasi penyampaian bunyi yang mempunyai bass-rendah bukanlah yang terbaik tetapi ia sangat niche dan tidak memainkan peranan yang besar di dalam pengalaman keseluruhan.

Tetapan

HW-Q800C mempunyai 4 mod utama iaitu Standard, Adaptive, Surround dan juga Game Pro. Semasa saya menguji soundbar ini, kebanyakan sesi saya menggunakan Standard sahaja dan merasakan ia sudah mencukupi.

Anda boleh menggunakan adaptive untuk mendapat tetapan yang terbaik sentiasa di atas kertas, tetapi saya merasakan ada masa ia tidak seperti yang saya inginkan. Surround seperti saya nyatakan adalah baik tetapi terasa artificial, tetapan ini akan menjadikannya lebih terasa oleh itu saya tidak sangat menggunakannya. Manakala semasa bermain permainan video saya menggunakan Game Pro bagi permainan yang mementingkan 3D Sound, jika tidak saya menggunakan Standard sahaja.

Jika anda pakar audio, pelbagai tetapan lain juga boleh dilakukan secara manual, seperti mempertingkatkan ataupun mengurangkan treble dan bass untuk memberikan kualiti audio yang anda inginkan. Anda juga boleh menggunakan ‘Night Mode’ jika tidak ingin menjadikan bunyi terlalu ‘bingit’ pada waktu malam dan juga Voice enhancement jika terasa ada kandungan yang tidak jelas suara ataupun vokalnya.

Kesimpulan

Akhir kata, Samsung Soundbar HW-Q800C adalah satu soundbar kelas pertengahan yang sangat berkualiti. Prestasi audio, stereo dan juga sound stage untuknya adalah memuaskan tidak kira untuk apa sahaja jenis kandungan yang berbeza. Pengalaman menonton filem, mendengar muzik dan juga bermain permainan video adalah sangat memuaskan.

Pengalaman penggunaan juga adalah lebih baik jika menggunakan bersama dengan TV Samsung yang menyokong teknologi Q-Symphony untuk menjadikan Surround dan Atmos lebih baik mengurangkan perasaan artificial yang mungkin sedikit terasa kerana tiadanya speaker belakang yang sebenar dan juga menggunakan channel 5.1.2.

Penafian: Samsung Soundbar HW-Q800C disediakan oleh Samsung Malaysia.

Leave a Reply