Samsung OLED 4K S95C merupakan kemaskini untuk Samsung OLED 4K S95B yang dikeluarkan sebelum ini yang merupakan antara TV dengan panel QD OLED terbaik yang boleh didapatkan di pasaran. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila saya boleh katakan yang Samsung S95C adalah pilihan TV yang baik bukan sekadar untuk tontonan umum tetapi untuk digunakan bagi sesi permainan video.
Unboxing
Spesifikasi
Samsung OLED 4K S95C | |
---|---|
Saiz Skrin | 65-inci |
Resolusi | 3,840 x 2,160 (120Hz sehingga 144Hz) |
Panel | QD OLED |
Pemproses | Neural Quantum Processor 4K |
Sistem Operasi | Tizen |
HDR | HDR10+ (Adaptive/Gaming) |
Audio | 4.2.2CH 70W Dolby Atmos & Dolby Digital Plus |
I/O | 4x HDMI 2.1 (1x ARc), 2x USB-A 2.0, Optical Audio |
Harga Jualan | RM 12,999 (55″) RM 15,999 (65″) RM 30,999 (77″) |
Rekaan
Samsung menggunakan terma “Infinity One Design” bagi rekaan untuk TV ini yang memfokuskan kepada rekaan TV yang nipis. Saya boleh katakan yang rekaan untuk S95C ini kelihatan sangat cantik di setiap sudut pandangan akan tetapi kerana bingkai paparan yang sangat nipis, saya boleh katakan agak mustahil untuk pemasangan TV ini dilakukan secara berseorangan, seperti yang anda boleh tonton di dalam video Unboxing kami sertakan di atas.
S95C dapat memberikan rekaan yang nipis untuk TV ini adalah melalui penggunaan ‘One Connect’ iaitu hab untuk setiap sambungan elektronik bagi TV ini dan meninggalkan paparan untuk menyertakan panel sahaja. One Connect ini boleh dipasang dan dibuka dengan mudah, untuk mempermudahkan lagi pemasangan ataupun jika ingin melakukan pemindahan.
Menggunakan stand yang tersedia dengan TV ini, One Connect akan diletakkan di bahagian belakang stand, manakala jika memilih untuk mount TV ke dinding, One Connect ini boleh diletakkan di bahagian belakang TV, ataupun di tempat lain selagi ia dapat disambung menggunakan wayar sambungan yang tersedia.
Oleh itu, anda boleh memilih kedudukan hab One Connect di tempat yang paling memudahkan untuk anda mengakses port dan tidak lagi terhad kepada satu kedudukan sahaja. Bercakap mengenai port, TV ini mempunyai 4 port HDMI 2.1 termasuk juga satu dengan sokongan eARC bagi penggunaan bersama dengan soundbar.
Prestasi
Kualiti gambar yang diberikan oleh S95C adalah antara yang terbaik pernah saya alami daripada sebuah TV. Ini tidak mengejutkan kerana TV ini hadir dengan teknologi Quantum Dot yang memberikan penyampaian warna yang sangat jitu lebih baik berbanding TV-TV OLED tanpa teknologi ini. Kualiti paparan ini lebih terserlah apabila menggunakannya untuk menonton kandungan-kandungan ataupun bermain permainan video dengan sokongan HDR1O+.
Terdapat empat tetapan terbina untuk grafik bagi TV ini iaitu Dynamic, Standard, Movie dan Filmmaker. Pilihan terbaik untuk memperlihatkan warna serta kualiti sebenar panel S95C adalah Dynamic akan tetapi semasa penggunaan saya ada masa warna terlalu terang yang menjadikan pembahagian di antara subjek dan background tidak jelas yang akan sedikit mengganggu pengalaman saya menonton.
Standard adalah pilihan terbaik untuk kegunaan umum, terutama di dalam bilik yang bercahaya. Jika anda lebih gemar menggunakan TV di dalam gelap sama ada untuk menonton filem ataupun bermain permainan video, tetapan Filmmaker adalah pilihan yang lebih baik, dan boleh tukar ke mod Movie jika terasa warna kurang menarik.
Tahap keterangan untuk TV ini adalah baik, saya dapat menggunakan TV ini dengan memuaskan tidak kira dengan keadaan semasa di dalam bilik, tidak kira semasa terang dengan lampu ataupun cahaya matahari, ataupun di dalam bilik gelap, ia boleh memberikan pengalaman tontonan yang baik untuk setiap keadaan berbeza ini.
S95C masih tidak mempunyai sokongan untuk Dolby Vision oleh itu jika anda menonton ataupun bermain kandungan-kandungan yang dihasilkan dengan Dolby Vision sebagai asas, ia tidak akan memberikan pengalaman seperti yang sepatutnya. Namun, saya boleh katakan warna, sokongan HDR10+ sudah mencukupi.
Dengan sokongan kadar segar semula sehingga 120Hz, TV ini adalah pilihan yang baik untuk kegunaan bersama dengan konsol generasi terkini seperti PlayStation 5 dan Xbox Series. Sepanjang menguji TV ini, saya menggunakannya dengan Xbox Series X dan ia adalah satu pengalaman bermain permainan video yang terbaik pernah saya alami menggunakan TV.
Dengan sokongan resolusi 4K sehingga 120Hz, saya boleh bermain mana-mana permainan tanpa sebarang masalah. TV ini juga akan secara automatik akan menggunakan mod yang mengurangkan kadar kependaman dan juga input lag yang rendah semasa bermain permainan video juga membantu untuk menjadikannya menghampiri pengalaman yang diberikan oleh monitor gaming tetapi dengan saiz TV yang lebih besar.
S95C juga menyokong resolusi 4K dengan kadar segar semula sehingga 144Hz untuk penggunaan dengan PC yang menyokong 144Hz. Ia adalah baik untuk sesi permainan di PC, terutama menggunakan aplikasi seperti Steam Big Pictures. TV ini juga menyokong Variable Refresh Rate (VRR) yang menjadi elemen penting bagi konsol dan AMD FreeSync untuk mengurangkan stutter.
Audio adalah antara peningkatan yang paling ketara berbanding model S95B sebelum ini, ia kini menyertakan 4.2.2 dan juga 70W untuk memberikan audio yang lebih berkuasa. Bagi penggunaan untuk menonton filem, video dan juga bermain permainan video saya boleh katakan prestasi yang diberikan adalah mencukupi tetapi tidak menakjubkan. Dialog ataupun vokal boleh didengari dengan baik tetapi tidak terlalu kuat. Jika anda berada di kawasan yang bising, anda mungkin mempunyai masalah untuk mendengar audio daripada TV ini.
Perisian
Samsung S95C seperti TV Samsung yang lain turut menggunakan sistem operasi Tizen yang terbaru untuk tahun 2023. Ia mempunyai antaramuka yang mudah untuk digunakan, setiap ikon aplikasi berada di bahagian depan dan mengaksesnya adalah mudah dan cepat.
Jika anda memasang konsol, seperti saya menggunakan Xbox Series X, ikon Xbox Series X akan secara automatik diletakkan di bahagian menu utama untuk memudahkan lagi akses kepada konsol. Pilihan perisian juga adalah baik dengan kebanyakan platform penstriman yang popular boleh dimuat turun.
Ia juga menyertakan sokongan untuk Bixby, SmartThings dan juga Multi-View yang membolehkan saya meletakkan dua paparan berbeza secara bersebelahan. Sedikit mengecewakan saya tidak boleh menggunakan multi-view ini bersama dengan sesi bermain permainan di konsol. Selain itu, buat masa ini sokongan Gaming Hub juga masih tidak tiba disertakan.
Kesimpulan
Akhir kata, Samsung S95C adalah satu TV yang sangat berkualiti dari segi paparan dengan penyampaian warna termasuk juga warna hitam adalah sangat baik terutama dengan sokongan teknologi Quantum Dot. Ia juga mempunyai tahap kecerahan yang baik untuk memastikan pengalaman menonton adalah baik tidak kira berada di dalam bilik yang terang ataupun gelap. Walaupun tanpa sokongan Dolby Vision akan tetapi dengan HDR10+ yang baik, kekurangan tersebut tidak sangat dirasai.
Dengan sokongan 4K@120Hz, FreeSync dan juga Auto Game Mode (ALLM), TV ini juga adalah antara pilihan terbaik untuk sesi bermain permainan video. Saya dapat bermain menggunakan Xbox Series X tanpa sebarang masalah, input lag untuk TV ini juga adalah rendah memberikan pengalaman bermain menghampiri menggunakan monitor gaming.
Audio adalah baik tetapi tidak menakjubkan dengan kualiti bunyi tidaklah memberangsangkan terutama untuk bass. Jika TV berada di ruang tamu ataupun mana-mana kawasan yang selalunya bising, kekuatan audio mungkin rendah untuk penggunaan yang baik.
Penafian: Samsung OLED 4K S95C disediakan oleh Samsung Malaysia.