Apple melaburkan sebanyak $1 bilion untuk memasukkan filem Apple TV+ mereka ke pawagam. Filem pertama yang akan ditayangkan adalah Killers of the Flower Moon yang merupakan filem Hollywood terpanjang dengan durasi 3 jam 26 minit.
Filem ini akan diedarkan oleh Paramount. Dengan Paramount dikendalikan oleh UIP di Malaysia, mereka hari ini mengesahkan yang filem ini akan ke pawagam tempatan pada 19 Oktober akan datang.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi filem ini besar kemungkinan hanya akan ditayangkan dalam format IMAX. Bermakna jadual tayangan di Malaysia akan terhad. Tarikh siaran di Apple TV+ masih belum diumumkan jadi turut tidak pasti berapa lama filem ini akan berada di pawagam.
Killers of the Flower Moon mengisahkan keluarga Osage Nation yang kaya raya kerana minyak pada tahun 1920-an. Keluarga orang asli Amerika ini kemudiannya dimanipulasi oleh orang-orang putih yang dengki, kejam, sehingga menyebabkan pembunuhan dengan tragedi Reign of Terror.
Filem ini ditulis oleh Eric Roth dan Martin Scorsese dengan Scorsese turut menjadi pengarah. Pelakon yang terlibat adalah Robert De Niro, Leonardo DiCaprio, Lily Gladstone, Jesse Plemons, Tantoo Cardinal, Cara Jade Myers, JaNae Collins, dan Jillian Dion.