Sebelum ini telah kami laporkan yang Apple ingin berbelanja sebanyak $1 bilion iaitu sekitar RM4.4 bilion setahun untuk membawakan filem Apple TV+ ke pawagam. Ini adalah strategi mereka bagi menarik minat orang ramai untuk melanggan kepada platform penstriman video mereka.
Filem pertama yang Apple akan tayangkan adalah Killers of the Flower Moon. Filem ini adalah filem arahan Martin Scorsese dengan skrip oleh Eric Roth (Dune) yang diadaptasi dari novel dengan judul sama oleh David Grann. Filem ini akan ditayangkan di pawagam terpilih di Amerika pada bulan Oktober dengan kerjasama bersama Paramount.
Killers of the Flower Moon dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Robert De Niro, Lily Gladstone, Jesse Plemons, Cara Jade Myers, JaNae Collins, Jillian Dion, dan Tantoo Cardinal. Filem ini mengisahkan kisah pembunuhan bersiri ahli-ahli Osage Nation di Oklahoma pada tahun 1920-an yang dikenali dalam sejarah sebagai Reign of Terror.
Apple bekerjasama dengan Paramount kerana projek asal filem ini adalah milik Paramount Pictures. Tetapi disebabkan Covid-19 Apple telah membeli hak filem ini pada harga $180 juta.
Scorsese turut telah melakukan perjanjian jangka masa panjang bersama Apple TV+ bukan sahaja untuk filem tetapi juga untuk menghasilkan siri TV.
Sumber: The Verge