Apple iaitu syarikat teknologi disebalik peranti iPhone dan Macbook telah dilaporkan ingin berbelanja sebanyak $1 Bilion (~RM4.4 Bilion) setahun untuk menerbitkan beberapa filem ke pawagam. Usaha ini dikatakan untuk menarik minat peminat filem ke perkhidmatan langganan mereka iaitu Apple TV+.

Apple telah berbincang dengan beberapa studio untuk bekerjasama bagi tujuan ini, antara yang dinyatakan adalah filem Killers of the Flower Moon oleh Martin Scorsese dengan pelakon utama adalah Leonardo DiCaprio, filem Argylle oleh Matthew Vaughn, dan filem Napoleon oleh Ridley Scott.

Ini bukanlah pertama kali Apple berbelanja untuk mendapatkan hak filem, dengan pelancaran Apple TV+, Apple telah mendapatkan hak siaran untuk pelbagai filem tetapi kebanyakannya secara terus ke perkhidmatan penstriman.

Oleh itu, jika laporan ini benar, Apple mungkin mengubah ataupun menambah strategi baharu. Mengeluarkan filem ke pawagam terlebih dahulu adalah perkara yang sama dilakukan oleh Warner Bros dan juga Disney sebelum membawa filem tersebut ke HBO Max dan Disney+.

Apple juga dikatakan ingin membawa filem-filem ke pawagam secara meluas sekurang-kurangnya selama sebulan sebelum filem tersebut ditawarkan di Apple TV+, namun ini sekadar perancangan awal yang tidak disahkan lagi.

Apple TV+ ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple Arcade dengan harga bulanan RM29.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga atau RM78.90 untuk versi Premier.

Sumber: Bloomberg

Sohor Kini