Acer telah mengumumkan kemaskini untuk pilihan komputer desktop mereka yang antaranya adalah Predator Orion 5000 kini dilengkapi dengan pilihan kad grafik siri RTX 40. Mereka mengumumkan dua pilihan iaitu Intel Core i5 bersama dengan RTX 4070 Ti yang saya gunakan di dalam ulasan ini dan juga Intel Core i7 bersama dengan RTX 4080 satu lagi pilihan yang lain.
Spesifikasi
Sebelum saya teruskan ulasan ini, berikut adalah spesifikasi ringkas untuk Predator Orion 5000 yang saya gunakan buat beberapa minggu yang lepas. Spesifikasi-spesifikasi lain seperti I/O ataupun slot naik taraf saya kongsikan di bahagian Rekaan.
CPU | Intel Core i5-134000F |
GPU | NVIDIA GeForce RTX 4070 Ti (12GB) |
RAM | 16GB |
Storan | 1024GB, M.2 |
Harga | RM9,399 |
Prestasi
Saya telah mencuba pelbagai permainan menggunakan Predator Orion 5000 dan secara umum saya boleh katakan yang setiap permainan-permainan tersebut tidak memberikan saya sebarang masalah, walaupun dengan tetapan tertinggi menggunakan paparan 4K.
Di ulasan ini saya akan kongsikan dengan lebih lanjut mengenai tiga permainan yang saya rasakan dapat memperlihatkan keupayaan untuk PC ini iaitu Cyberpunk 2077, Diablo IV dan juga The Last of Us Part I. Kesemua permainan ini dimainkan menggunakan monitor Predator X38 dengan resolusi 3840 x 1600 dan kadar kelancaran tanpa had.
Cyberpunk 2077
Saya memilih Cyberpunk 2077 kerana ingin mencuba tetapan Ray Tracing Overdrive yang terdapat di dalam permainan ini. RT Overdrive saya boleh katakan adalah penggunaan Ray Tracing yang terbaik setakat ini di dalam permainan video, dan ia juga dapat memperlihatkan penggunaan DLSS 3 yang disokong oleh siri kad grafik RTX 40.
Menggunakan tetapan RT Overdrive tanpa perubahan sebarang tetapan secara sendiri, permainan ini memberikan kadar kelancaran secara purata 63.1 FPS, dengan ada kadang-kadang jatuh lebih rendah tetapi sangat jarang berlaku dengan kadar stuttering adalah lebih kurang 30 saat sahaja untuk tempoh bermain selama sejam.
Saya boleh katakan ini adalah prestasi yang sangat baik terutama dengan mengambil kira, RT Overdrive adalah tetapan yang tertinggi anda boleh gunakan di dalam permainan ini. Tidak ingin menggunakan DLSS? Ia tidak boleh dimainkan langsung tanpa mengubah tetapan, saya boleh katakan ia mungkin boleh dimainkan secara 30FPS jika menggunakan paparan 1080p, akan tetapi bagi saya DLSS 3 melakukan super sampling yang baik untuk tidak menggunakannya kerana perbezaan kualiti grafik tidak mempunyai perbezaan yang ketara.
Sepanjang sesi permainan ini, kadar penggunaan CPU adalah 63% secara purata dengan tertinggi adalah 92%. Tidak mengejutkan, penggunaan GPU adalah lebih tinggi dengan 89% secara purata dan tertinggi menggunakan 100%. Oleh itu saya boleh katakan yang anda boleh melakukan perkara lain semasa bermain permainan ini seperti melayari internet, ataupun mendengar lagu, tetapi bukan aplikasi yang berat.
Bagi kadar suhu untuk CPU adalah 69°C secara purata dan tertinggi adalah 79°C manakala GPU pula adalah 67°C secara purata dan 73°C tertinggi yang bagi saya kadar suhu yang biasa.
Diablo IV
Saya memilih Diablo IV adalah kerana ia permainan yang baru sahaja dilancarkan dan walaupun mempunyai keperluan grafik yang tidak terlalu tinggi, yang memerlukan PC prestasi tinggi untuk bermain-nya tetapi saya menguji menggunakan tetapan tertinggi tanpa menggunakan sebarang DLSS, walaupun pada penggunaan umum saya masih mencadangkan untuk menggunakannya seperti yang saya nyatakan di atas.
Walaupun tidak menggunakan DLSS, Diablo IV boleh dimainkan dengan sangat lancar dengan secara puratanya mencatat 116FPS dengan tertinggi adalah 154.5FPS. Stuttering juga sangat jarang berlaku iaitu lebih kurang 20 saat sahaja semasa sejam sesi bermain dan ia berlaku kebiasaan apabila memasuki kawasan baharu ataupun fast travel.
Bagi permainan Diablo IV yang ada masa dipenuhi dengan pelbagai penjahat pada satu masa, saya boleh katakan prestasi ini adalah baik, jika inginkan sesi permainan 120FPS ataupun 144FPS secara tetap, anda juga boleh memilih untuk membuka DLSS dan permainan ini juga menyokong DLSS 3 yang setakat ini khusus untuk kad grafik RTX 40.
Secara purata penggunaan CPU adalah 63% dengan mencecah 100% untuk tertinggi, manakala GPU adalah sangat tinggi dengan mencecah 93% secara purata dan 100% tertinggi. Oleh itu, jika tidak ingin menggunakan DLSS, pastikan anda tidak menggunakan sebarang aplikasi lain yang menggunakan GPU jika inginkan kadar kelancaran yang lebih stabil.
Kadar suhu CPU adalah normal dengan secara purata 66°C dan 79°C tertinggi begitu juga untuk GPU iaitu 68°C purata dan 72°C tertinggi.
The Last of Us Part I
Semasa pelancaran, The Last of Us Part I tidak mempunyai prestasi untuk PC yang terbaik, akan tetapi sejak daripada itu, ia telah menerima pelbagai kemaskini untuk mempertingkatkan prestasinya. Walaupun begitu berbanding dua permainan sebelum ini, saya boleh katakan yang The Last of Us Part I adalah permainan yang paling perlukan kuasa.
Namun, untuk menguji ini saya menggunakan tetapan tertinggi dan sekali lagi tidak menggunakan sebarang DLSS, sekadar ingin melihat prestasi sebenar, dan saya boleh katakan walaupun bukan yang terbaik tetapi secara purata masih lagi mencecah 43FPS adalah sudah mencukupi untuk permainan yang dibawa daripada konsol. Jika anda ingin sesi permainan 60FPS, DLSS akan sangat membantu untuk dengan mudah mencapainya.
Bagi penggunaan CPU semasa bermain The Last of Us Part I, secara purata ia mencecah 50% penggunaan dengan tertinggi mencecah 80%. Manakala GPU, permainan ini sepenuhnya menggunakan dengan kadar purata adalah 100%. Oleh itu, walaupun saya tidak menggunakannya akan tetapi DLSS adalah sangat diperlukan untuk permainan ini, terutama jika bermain menggunakan monitor melebihi 1440p.
Bagi suhu pula, normal untuk CPU dengan secara purata adalah 67% dengan tertinggi adalah 77% begitu juga untuk GPU walaupun digunakan 100% iaitu 65°C secara purata dan 71°C yang tertinggi.
Penanda Aras
Bagi memperlihatkan prestasi komputer ini untuk penggunaan lain, kami juga melakukan ujian penanda aras menggunakan PCMark 10 dan juga 3DMark untuk bahagian storan. Kedua-dua penanda aras ini memperlihatkan jumlah skor yang lebih tinggi berbanding purata berdasarkan rekod PCMark dan juga 3DMark.
PCMark 10
3DMark Storage Benchmark
Rekaan
Predator Orion 5000 menggunakan kerangka ‘Full Tower’ yang mempunyai rekaan fizikal 19.1-inci tinggi, 8.6-inci lebar dan 19.9-inci panjang yang bagi saya masih lagi saiz mudah untuk diurus ataupun dipindahkan jika perlu. Ia juga mempunyai beberapa tempat yang memudahkan untuk dipegang dan diangkat.
Di bahagian depan terdapat panel tempered glass lutsinar yang memperlihatkan dua kipas dengan sokongan lampu RGB begitu juga bahagian tepi kiri yang mempunyai panel tempered glass lutsinar untuk memperlihatkan motherboard, satu lagi kipas dengan sokongan RGB dan juga kipas untuk CPU. Motherboard sendiri mempunyai 9 lampu di bahagian atas dan bawah RAM dan juga di bawah kad grafik.
Saya boleh katakan yang rekaan Predator Orion 5000 kali ini adalah lebih ringkas akan tetapi ini secara langsungnya menjadikannya lebih kemas. Selain itu, kebanyakan bahagian luaran untuk kerangka komputer ini boleh dibuka tanpa menggunakan sebarang alat, dan anda boleh membuka banyak bahagian seperti depan, tepi dan juga atas untuk memudahkan sebarang aktiviti untuk membersih ataupun menaik taraf sistem.
Bercakap mengenai naik taraf, Predator Orion 5000 menyertakan beberapa slot untuk penambahan, antaranya adalah 2 slot PCIe x16, 1 slot PCIe x1, dan 1 slot M.2 bersama dengan beberapa ruangan untuk meletakkan HDD dan juga SSD di bahagian dalam. Bagi I/O, di bahagian atas depan terdapat 3 x USB 3.2 Type A, 1 x USB 3.2 Type C, picu audio untuk set fon dan juga mikrofon. Manakala di bahagian belakang komputer, 3 x picu audio, 4 x USB 2.0 Type A, 1 x USB 3.2 Type A dan 1 x USB 3.2 Type C. Di kad grafik terdapat 1 port HDMI dan 3 port DP.
Predator Orion 5000 seperti saya nyatakan sebelum ini menyertakan tiga kipas dan juga kipas untuk CPU, menggunakan kipas dengan teknologi FrostBlade dan sepanjang saya menggunakannya seperti berdasarkan tiga permainan di atas, sentiasa memberikan kadar suhu yang normal walaupun untuk sesi bermain yang lama. Selain itu, saya juga boleh katakan yang ia tidak mengeluarkan bunyi yang terlalu mengganggu walaupun penggunaan intensif, bahkan terasa macam langsung bunyi untuk penggunaan yang biasa.
Aksesori/Perisian
Selain menyertakan komputer Predator Orion 5000 ini sendiri, di dalam kotak juga disertakan dengan papak kekunci dan juga tetikus Predator, kedua-dua adalah berwayar dan semasa penggunaan, ia adalah baik dan saya tidak terasa perlu menukar papan kekunci ataupun tetikus lain untuk menggunakan PC ini. Oleh itu, walaupun satu pembelian baharu, bagi saya anda tidak perlu risaukan mengenai aksesori sekurang-kurangnya buat masa terdekat dan boleh guna terus komputer ini.
Bagi perisian pula, anda boleh gunakan Predator Sense untuk melihat keadaan semasa komputer seperti suhu CPU, GPU dan juga sistem secara keseluruhan, mengawal kelajuan kipas dan juga mengawal lampu-lampu yang saya nyatakan di bahagian Rekaan, sama ada menggunakan tetapan yang sama di kesemua bahagian ataupun mengawal setiap kipas secara berlainan untuk memberikan lampu warna yang lebih meriah.
Harga
Bagi Predator Orion 5000 seperti spesifikasi yang kami gunakan untuk ulasan ini ditawarkan dengan harga RM9,399. Manakala terdapat juga pilihan untuk Intel Core i7 dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 yang ditawarkan dengan harga RM12,999. Berdasarkan prestasi yang diberikan, saya boleh katakan ia adalah harga yang berpatutan terutama untuk komputer yang siap pasang.
Harga ini mungkin RM2000 ataupun RM3000 lebih mahal jika dibandingkan dengan anda membina komputer secara sendiri, namun harga tambahan ini berbaloi ataupun tidak bergantung kepada jika anda ingin barangan di dalam komputer yang dijamin oleh Acer yang menyertakan jaminan selama 3 tahun dan juga akan memudahkan sebarang urusan penyelenggaraan ataupun masalah-masalah yang terjadi di masa hadapan.
Predator Orion 5000 buat masa ini hanya boleh didapati melalui Acer Concept Store sahaja dan tidak ditawarkan secara dalam talian.
Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz