Minggu ini, peminat-peminat Spider-Man boleh menonton Spider-Man Across the Spider-Verse yang memulakan tayangannya pada hari ini. Tidak cukup dengan itu, Amy Pascal dan Avi Arad iaitu penerbit bagi filem ini telah berkongsi dua berita baik untuk peminat.
Ketika majlis tayangan perdana untuk Across the Spider-Verse, Amy Pascal mengatakan yang filem animasi ‘Spider-Woman’ dan juga filem aksi nyata Miles Morales sedang dibangunkan. Bahkan, Avi Arad mengatakan filem Spider-Woman akan menemui peminat lebih awal berbanding yang dijangkakan.
Bagi filem Spider-Woman, tidak disahkan lagi jika ia adalah projek yang akan diarahkan oleh Olivia Wilde, manakala untuk filem aski nyata Miles Morales, masih tidak banyak informasi yang dikongsi.
Pada masa yang sama, Amy Pascal juga berkongsi kemaskini mengenai filem Spider-Man 4 lakonan Tom Holland, beliau mengatakan yang filem ini masih di dalam pembangunan tetapi dihentikan buat sementara waktu kerana mogok penulis.
Dengan pelbagai projek berkait dengan Spider-Man, Sony nampaknya semakin serius dalam mengembangkan dunia Sony’s Spider-Man Universe. Kelak kita akan menerima filem Kraven The Hunter, Madame Web, El Muerto dan banyak lagi.
Filem Spider-Man Across the Spider-Verse telah menerima ulasan yang positif dengan mempunyai markah 95% di Rotten Tomatoes dan kami sendiri juga memberikan skor 9/10 yang anda boleh baca di pautan berikut – Ulasan Spider-Man: Across the Spider-Verse.