Jika saya katakan Spider-Man: Across the Spider-Verse adalah satu surat cinta untuk peminat animasi dan Spider-Man, mungkin ramai yang mengatakan ia adalah sekadar satu ayat klise sahaja. Namun, itu benar-benar perkara pertama yang saya fikirkan selepas menonton filem ini. Mengapa saya katakan begitu. Spider-Man: Across the Spider-Verse telah membuatkan saya jatuh cinta dengan animasi dan juga jatuh cinta dengan Spider-Man.
Filem pertama Spider-Man: Into the Spider-Verse telah membawa satu gaya animasi yang unik dan menjadi perkara positif utama bagi filem tersebut. Oleh itu, saya pada awalnya terfikir bagaimana filem kedua ini ingin mempertingkatkan lagi penawaran mereka, dan saya boleh katakan sangat kagum dengan apa yang dilakukan di dalam filem kedua ini.

Across the Spider-Verse mengekalkan gaya dan kualiti animasi sebelum ini, tambahan itu, telah memperluaskan lagi penggunaan animasi yang berbeza bukan sahaja untuk menggambarkan dunia mesta yang berlainan tetapi juga satu alat yang berkesan di dalam penyampaian adegan-adegan yang beremosi. Ada masa saya terlupa untuk memfokuskan kepada penceritaan kerana terlalu terpesona dengan animasi yang diperlihatkan.
Gandingan beberapa Spider-man untuk menyelamatkan orang awam ataupun bertempur dengan penjahat, dilakukan dengan sangat menarik walaupun ada masa saya merasakan setiap aksi mungkin boleh diperlihatkan dengan lebih jelas. Namun, saya tetap berpuas hati dengan apa yang disampaikan.

Seperti yang diperlihatkan di dalam treler dan premis penceritaan ini sendiri, terdapat ramai Spider-Man yang diperlihatkan, benar, bukan semua adalah watak penting tetapi dapat melihat kesemua Spider-Man ini adalah antara perkara yang membuatkan saya jatuh cinta dengan kepelbagaian watak adiwira ini.
Di dalam filem ini, selepas beberapa tahun kejadian di dalam Into the Spider-Verse, Miles Morales kembali berseorangan menjadi wira labah-labah di bandar New York. Selain mempunyai masalah untuk berhubung dengan ibu bapanya, dia juga merindui Gwen Stacy sebagai seorang rakan dan juga sebagai adiwira.

Oleh itu, apabila Gwen Stacy kembali ke dunianya, Miles Morales terus ingin tahu mengenai apa perkembangan Gwen dan di dalam perasaan ingin tahu inilah Miles Morales secara tidak langsung terlibat dengan Spider-Society iaitu satu organisasi yang tujuannya adalah mencegah permasalahan multimesta. Organisasi ini diketuai oleh Miguel O’Hara yang juga adalah Spider-Man 2099.
Penceritaan yang disampaikan di dalam filem ini bagi saya adalah menarik akan tetapi dengan satu masalah yang besar, ini adalah bahagian pertama. Walaupun filem ini mempunyai duration, 23 lebih panjang berbanding filem pertama akan tetapi pengakhiran berlaku ketika penceritaan mencapai klimaks.

Saya tidak nafikan pengakhiran sebegini membuatkan saya ternanti-nanti filem seterusnya iaitu Spider-Man: Beyond the Spider-Verse yang dijangka tiba pada tahun depan, akan tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada pengalaman keseluruhan untuk filem ini kerana memberikan perasaan penceritaan yang tidak sempurna dan tidak puas.
Namun begitu, dengan membawa klimaks penceritaan ke bahagian akhir, ia telah memberi ruang untuk perkembangan penceritaan bukan sahaja bagi Miles Morales, tetapi juga untuk Gwen Stacy dengan diperlihatkan serba sedikit kisah hidupnya, mengenai Miguel O’Hara, dan beberapa lagi watak baharu yang saya memilih untuk rahsiakan walaupun anda mungkin telah mengetahuinya jika menonton treler.

Perkembangan watak-watak ini menjadi penceritaan utama bagi filem ini, walaupun terdapat beberapa watak jahat, termasuk juga The Spot, akan tetapi mereka terasa sampingan sahaja. Sebaliknya, penceritaan lebih mengenai perhubungan Miles dengan ibu bapanya, perhubungan Miles dengan Gwen dan juga pengenalan kepada multimesta yang dipanggil oleh Miles, Spider-Verse.
Adakah ini mencukupi untuk menampung kekecewaan klimaks berlaku di bahagian akhir filem. Saya boleh katakan tidak. Sony Pictures sebelum ini telah mengubah judul Spider-Man: Across the Spider-Verse 2 ke Spider-Man: Beyond the Spider-Verse akan tetapi dengan pengakhiran sebegini saya masih menganggap ini adalah bahagian pertama sahaja dengan banyak lagi penceritaan dan soalan perlu dijawab.

Sekurang-kurangnya saya boleh katakan siri filem ini masih lagi mempunyai penceritaan terbaik berdasarkan Spider-Man di layar perak, ya termasuk juga jika dibandingkan dengan Spider-Man: No Way Home dan Spider-Man 2. Dengan filem ketiga, yang saya rasakan penutup bagi trilogi ini, hanya akan tiba pada tahun depan, penceritaan masih berpotensi untuk menjadi jauh lebih epik berbanding sekarang yang masih tidak selesai.
Akhir kata, saya bukan ingin mengulangi ayat klise filem ini adalah satu surat cinta untuk peminat animasi dan Spider-Man, tetapi itu adalah rumusan terbaik saya boleh nyatakan bagi filem ini. Saya keluar dari menonton filem ini dengan perasaan yang gembira wujudnya animasi dan watak Spider-Man di dalam dunia ini. Pengakhiran mungkin membuatkan ramai yang kecewa, tetapi ini adalah satu filem animasi dan satu filem Spider-Man yang wajib ditonton.
Penafian: Tayangan untuk Spider-Man: Across the Spider-Verse disediakan oleh Sony Pictures bagi tujuan ulasan ini.