Ulasan Star Wars Jedi: Survivor

Jika saya ingin senaraikan permainan-permainan susulan yang membuat penambahan yang mencukupi untuk menjadikan ia satu permainan yang lebih baik berbanding permainan asal – saya boleh senaraikan Star Wars Jedi: Survivor di dalam senarai tersebut. Survivor bukan sahaja mengembangkan lagi tatamain untuk permainan ini, tetapi juga menyertakan penceritaan dan dunia yang lebih menarik. Namun, sedikit mengecewakan kerana prestasi permainan telah mengganggu pengalaman bermain walaupun selepas menerima beberapa kemaskini.

Star Wars Jedi: Survivor berlaku 5 tahun selepas kejadian di dalam permainan pertama dan Cal Kestis tidak lagi bersama dengan dengan kumpulan yang lama sebaliknya Cal lebih bergerak secara sendiri bersama dengan pejuang di bawah arahan Saw Gerrera. Permainan ini pada awalnya tidak menjelaskan mengapa Cal berpisah dengan Cere, Greez dan juga Merrin tetapi kemudian akan berjumpa semula dengan mereka dan juga serba sedikit memberitahu mengapa mereka mengikut aluan sendiri.

Di dalam 5 tahun ini, Cal Kestis juga menjadi seorang protagonis yang lebih matang dan ini adalah perkara pertama yang dipertingkatkan di dalam permainan ini. Cal Kestis terasa lebih menarik dengan pelbagai lapisan perwatakan yang berbeza. Perkembangan watak yang diberikan kepada Cal juga dilakukan dengan baik di dalam filem ini. Ini ditambah lagi, Cal juga akan berjumpa dengan ramai lagi watak lain yang setiap-nya memainkan peranan yang tersendiri.

Terdapat beberapa watak jahat utama di dalam permainan ini, dan saya boleh katakan setiap daripadanya dilakukan dengan mencukupi. Masih terasa tenggelam dengan watak-watak lain, tetapi melakukan satu kerja yang baik untuk menjadikan penceritaan yang menarik – bercakap mengenai penceritaan, antara rungutan saya mengenai penceritaan permainan Fallen Order adalah motivasi perjuangan iaitu mencari senarai nama ‘kanak-kanak yang force sensitive’ kurang menarik, manakala di dalam Survivor perjuangan Cal adalah mencari tempat yang selamat daripada Empire yang bagi saya motivasi perjuangan yang lebih masuk akal dan menarik.

Oleh itu, saya lebih menyukai untuk mengikut penceritaan di dalam permainan kali ini. Tambahan pada itu, Survivor juga melakukan satu kerja yang baik di dalam menghasilkan cabang penceritaan, walaupun secara amnya penceritaan banyak menggunakan pengulangan plot yang sama untuk beberapa bahagian akan tetapi secara keseluruhannya setiap cabang penceritaan ini menjadikan penceritaan keseluruhannya lebih menarik.

Pengembaraan di dalam permainan ini saya boleh katakan mempunyai penambah-baikkan yang paling ketara berbanding permainan pertama. Survivor tidaklah menyertakan jumlah planet yang lebih banyak akan tetapi setiap planet dan kawasan yang boleh diteroka oleh pemain adalah lebih luas dan rekaan yang lebih menarik. Mengembara di dalam permainan ini menjadi bahagian yang penting untuk permainan selain melakukan penceritaan dan misi utama.

Tambahan pada itu, pemain tidak lagi sekadar mengembara untuk mencari pancho, sebaliknya terdapat pelbagai lagi barangan kosmetik yang boleh didapatkan – seperti sebelum ini, rekaan berlainan untuk lightsaber, rekaan untuk BD-1 dengan tambahan rambut dan juga misai untuk Cal. Pemain juga boleh dapatkan pelbagai ‘token’ berbeza yang boleh ditukar untuk mendapat pelbagai lagi barangan lain termasuk juga power-up.

Mengembara masih tidak memberikan barangan yang lebih berkuasa kerana kemahiran masih lagi bergantung kepada kebolehan Cal sendiri berbanding senjata yang digunakan. Namun, dengan lebih banyak barangan yang boleh dicari serta dengan pelbagai watak yang boleh dijumpai, saya lebih motivasi untuk melakukan pengembaraan berbanding permainan pertama.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan ‘Rumors’ yang boleh dianggap sebagai misi sampingan, ‘Bounties’ untuk Cal mencari serta membunuh Bounty Hunter dan juga “High Republic Chamber” yang akan menyertakan tekaria tersendiri. Kepelbagaian perkara untuk dilakukan ini menjadikan Survivor terasa lebih luas dan pemain boleh meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Ini juga dibantu dengan Survivor akhirnya mempunyai ‘fast travel’ walaupun masih terhad kepada tempat meditation sahaja dan bukan boleh digunakan di mana-mana sahaja.

Jika pemain tidak mengembara, Survivor juga mempunyai hab baharu iaitu Pyloon’s Saloon dan tidak lagi terhad kepada Mantis sahaja. Di dalam Saloon ini, Cal dapat berjumpa dengan pelbagai watak semasa mengembara dan meminta mereka untuk menetap di Saloon ini. Ini akan menjadikan Saloon ini mempunyai lebih ramai orang, lebih meriah, dan juga mempunyai lebih aktiviti. Cal juga boleh bercakap dengan orang-orang di dalam Saloon ini untuk mencari Rumors seterusnya, ataupun melakukan akiviti sampingan seperti bermain Holotactics. Berkebun juga kembali tetapi kini boleh dilakukan di tempat yang lebih luas iaitu di atas Pyloon’s Saloon ini.

Sama ada pemain ingin melakukan pengembaraan ini ataupun tidak juga bergantung kepada jika pemain menyukai pertempuran di dalam permainan ini ataupun tidak. Pada asasnya, pertempuran masih terasa seperti permainan pertama tetapi Cal kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk gaya pertempuran yang berlainan. Cal boleh menggunakan 2 ‘Stance’ pada satu masa daripada 5 Stance yang berbeza. Stance adalah cara penggunaan lightsaber yang akan memberikan gaya pertempuran berlainan.

5 Stance yang disertakan adalah Single, Double-Bladed, Dua Wield, Blaster dan Crossguard. Setiap daripada Stance ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tiga yang pertama adalah seperti permainan sebelum ini, manakala Blaster memberi tambahan untuk Cal menggunakan Blaster bersama dengan Lightsaber manakala Crossguard pula menjadikan lightsaber lebih berkuasa tetapi pergerakan lebih perlahan. Bagi menambah lagi kuasa ataupun kebolehan, Cal juga boleh menggunakan Perks yang turut boleh dicari dengan mengembara, mencari token, dan juga menyelesaikan “High Republic Chamber”.

Kesemua ini, ditambah lagi dengan Cal boleh meningkat tahap untuk setiap Stance dan juga Force menjadikan pertempuran adalah lebih baik, tetapi saya masih tidak menyukainya. Pergerakan penjahat ada masa terasa sedikit mengelirukan, terutama dengan kejauhan capaian mereka yang membuatkan lebih sukar untuk mengelak, bagi tahap kesukaran Jedi Knight iaitu pertengahan. Kebanyakan penjahat juga mempunyai ‘Block Meter’ yang selagi ada, serangan tidak akan menjejaskan nyawa yang ada masa sedikit menjengkelkan. Permainan ini juga ada menyertakan beberapa ‘adegan’ semasa pertempuran yang memberi penjahat peluang untuk melawan balik yang bagi saya terasa sangat janggal dan mengganggu kelancaran perlawanan.

Saya sekadar bermain tahap kesukaran Jedi Knight sahaja, dan seperkara yang membuatkan saya tidak ingin menggunakan tahap kesukaran yang lebih tinggi adalah kerana pilihan yang dilakukan oleh pembangun untuk terus menggunakan meditation. Jika saya mati, saya akan kembali ke tempat terakhir meditation, yang akan memerlukan saya untuk berjalan semula tambahan pada itu, jika Rest semua penjahat akan kembali, ia perkara yang saya tidak suka di dalam permainan pertama dan masih lagi disertakan di dalam permainan ini, yang serba sedikit mengganggu pengalaman saya mengembara dan juga membuatkan saya tidak terasa untuk meningkatkan tahap kesukaran.

Survivor adalah satu permainan yang cantik, rekaan watak, rekaan pelbagai penjahat dan juga rekaan dunia akan tetapi mengembara di dalam permainan ini terjejas pengalamannya kerana masalah prestasi yang masih lagi ketara walaupun telah menerima beberapa kemaskini. Terdapat dua pilihan grafik iaitu Performance Mode ataupun tidak, Performance Mode akan menghadkan resolusi kepada 1440p untuk memberikan kadar kelancaran yang lebih tinggi, ataupun tutup untuk mencecah resolusi lebih tinggi tetapi dihadkan kepada 30FPS.

Kebiasaan untuk permainan-permainan lain saya akan memilih untuk mendapat kadar kelancaran yang lebih tinggi, tetapi Survivor di PlayStation 5 saya merasakan menutup Performance Mode adalah pilihan yang lebih baik, walaupun terhad kepada 30FPS sahaja, tetapi kelancaran adalah lebih stabil berbanding Performance Mode yang FPS naik dan turut terlalu kerap sangat mengganggu pengalaman bermain. Saya boleh menghabiskan permainan ini, dan melakukan pelbagai aktiviti sampingan tanpa sebarang masalah akan tetapi pengalaman akan lebih baik jika prestasi adalah lebih stabil.

Selain masalah grafik ini, saya juga sering menjumpai masalah tidak dapat menuju ke sesuatu tempat kerana tekaria yang disertakan tidak dapat diselesaikan kerana masalah pepijat. Saya kebiasaannya perlu menutup permainan dan membukanya semula untuk meneruskan pengembaraan. Walaupun tidak selalu berlaku, tetapi masih menjengkelkan terutama jika saya tidak pasti sama ada saya tidak melakukan perkara yang betul ataupun ia adalah pepijat.

Akhir kata, Star Wars Jedi: Survivor adalah pemain yang lebih baik untuk setiap aspek permainan berbanding permainan pertama. Penceritaan lebih menarik, perwatakan lebih pelbagai, pengembaraan terasa luas serta kaya, pertempuran terasa lebih lancar, dan pelbagai bahagian lain terasa peningkatannya. Namun, permainan ini mempunyai masalah prestasi yang tidak stabil walaupun sudah menerima beberapa kemaskini, sesetengah pilihan mekanik permainan seperti meditation dan juga beberapa bahagian pertempuran masih terasa menjengkelkan dan membuatkan permainan ini terlalu menyusahkan jika pemain ingin mencabar diri dengan bermain tahap kesukaran yang lebih tinggi.

Penafian: Kod permainan Star Wars Jedi: Survivor disediakan oleh EA untuk tujuan ulasan ini.

Star Wars Jedi: Survivor
Star Wars Jedi: Survivor adalah permainan yang lebih baik di setiap aspek berbanding permainan yang pertama tetapi masalah prestasi mencacatkan pengalaman bermain.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Dunia Lebih Luas Dan Kaya
Pertempuran Lebih Pelbagai
Negatif
Masalah Prestasi Yang Ketara
Pilihan Rekaan Permainan Yang Menjengkelkan
8

Sohor Kini