Warner Bros. sebenarnya sudah lama ingin kembalikan filem Harry Potter. Sebelum ini mereka ada idea untuk menjadikan teater Cursed Child sebagai filem. Dua tahun lepas mereka sedang menilai semula sama ada lebih baik diadaptasi terus ke siri TV platform penstriman dan minggu lepas akhirnya dikhabarkan siri ini sedang dibangunkan.
Semasa pengumuman HBO Max berubah menjadi Max, siri Harry Potter diumumkan secara rasmi.
Siri TV ini adalah olahan semula dengan watak-watak ikonik akan dilakonkan oleh pelakon baharu. Bukan itu sahaja, Warner Bros. turut menyatakan yang siri TV ini akan diadaptasi mengikut 7 buku yang asal. J.K. Rowling juga telah dipilih untuk menjadi penerbit eksekutif.
Buat masa ini masih tiada senarai pelakon lagi dan bilakah siri ini akan disiarkan. Tetapi agak menarik melihat Warner Bros. ingin terus menjadikan IP Wizarding World mereka ini berkembang ke siri pula.