The Hollywood Reporter telah melaporkan yang eksekutif di Warner Bros telah melakukan perbincangan awal untuk mereka hadir dengan siri TV berdasarkan dunia Harry Potter oleh J.K Rowling bagi HBO Max.
Namun, perbincangan tersebut masih di peringkat awal dan tiada sebarang keputusan dibuat termasuk juga mengenai penceritaan mahupun penulis. HBO Max dan Warner Bros juga telah mengeluarkan kenyataan yang tiada produksi sedang berlaku untuk siri TV Harry Potter.
Selapas berakhirnya siri Filem Harry Potter pada 9 tahun lepas, Warner Bros dan J.K Rowling telah mengembangkan dunia magis ini melalui Fantastic Beast and Where to find Them yang telah menerima 2 filem setakat ini, iaitu pada tahun 2016 dan 2018.
Produksi untuk filem ketiga pula masih sedang berlaku selepas beberapa kali tertunda akibat pandemik Covid-19, selain itu mereka juga telah menggantikan Johnny Depp dengan Mads Mikkelsen sebagai Grindelwald. Filem ini dijangka akan tiba pada Julai tahun hadapan.
Dengan kejayaan Disney membawa pelbagai siri Marvel dan juga Star Wars ke Disney+, sesuatu yang tidak mengejutkan jika Warner Bros cuba untuk melakukan perkara yang sama bagi IP mereka, terutama IP besar seperti Harry Potter ini.
Warner Bros dan Portkey Games juga bakal hadir dengan permainan Harry Potter iaitu Hogwarts Legacy yang telah tertunda dan hanya akan tiba pada tahun hadapan.