Pada tahun lepas kami telah kongsi-kan 10 Permainan Menarik Di Apple Arcade, selepas artikel tersebut, Apple Arcade telah menerima pelbagai permainan baharu dengan boleh dikatakan ia menerima sekurang-kurangnya dua atau tiga permainan baharu setiap bulan. Oleh itu, kami merasakan sekarang adalah masa terbaik untuk hadir dengan senarai baharu dengan kami menjadikan ini adalah Bahagian 2 dengan senarai sebelum ini adalah Bahagian 1.
Kebanyakan permainan yang kami sertakan dikeluarkan pada tahun ini, oleh itu senarai ini boleh juga dikatakan sebagai permainan-permainan menarik Apple Arcade untuk tahun ini, bersesuaian dengan kita sudah memasuki bulan akhir untuk tahun ini.
Tanpa lengahkan masa lagi, berikut adalah 10 permainan menarik di Apple Arcade yang anda harus cuba jika merupakan pelanggan bagi perkhidmatan ini;
Football Manager 2023 Touch
Football Manager walaupun sudah dikeluarkan sejak 17 tahun yang lepas masih lagi merupakan permainan simulasi pengurusan bola sepak terbaik yang ada sekarang. Football Manager 2023 adalah permainan terbaru mereka yang dikeluarkan bermula pada bulan November lepas. Selain daripada versi untuk konsol, PC dan juga Mobile, khusus buat pelanggan Apple Arcade versi Touch juga kembali di tawarkan.
Football Manager 2023 Touch adalah versi yang lebih ringkas berbanding versi-versi lain, akan tetapi ia masih mengekalkan tatamain yang ramai kenal dan suka bagi permainan siri ini. Ia mempunyai simulasi yang mendalam serta senarai pemain yang sangat meluas. Bagi versi Touch, saya sedikit mempunyai masalah di dalam kawalan dan mengawal menggunakan alat kawalan lebih mudah. Namun, jika anda sudah membiasakan diri ia akan menjadi lebih mudah.
Dead Cells+
Dead Cells bukanlah satu permainan baharu akan tetapi melalui versi Dead Cells+ ia ditawarkan secara percuma untuk pelanggan-pelanggan Apple Arcade dan ia adalah permainan aksi yang semua patut main terutama yang meminati genre roguelike. Sebagai satu permainan roguelike, Dead Cells menawarkan satu kawasan yang dicipta secara rawak dan pemain perlu melalui sejauh yang mungkin sehinggalah mati.
Kematian di dalam permainan ini bukanlah pengakhiran dengan pemain boleh mencuba semula sekali lagi, walaupun kehilangan kebanyakan kuasa dan senjata, akan tetapi terdapat beberapa barangan yang akan kekal dan membantu untuk menjadikan sesi seterusnya lebih baik dan pemain juga boleh bersedia.
Angry Birds Reloaded
Angry Birds adalah antara permainan terawal yang memasuki telefon pintar, semasa ia masih lagi tidak menjadi kebiasaan seperti sekarang. Melalui Angry Birds Reloaded, Rovio telah membawa semula permainan ini tetapi dengan penambah-baikkan untuk grafik memberikan pengalaman baharu kepada permainan klasik ini.
Walaupun Angry Birds telah dikeluarkan dengan pelbagai genre berlainan akan tetapi tatamain secara klasik ini masih lagi antara yang terbaik dan melalui Angry Birds Reloaded ia boleh menjadi pengisi masa yang terluang.
Battleheart: Legacy+
Battleheart: Legacy seperti Dead Cell dan Angry Birds bukanlah satu permainan baharu akan tetapi ia adalah antara permainan RPG klasik yang dibangunkan khusu untuk telefon pintar. Ia dikeluarkan pada tahun 2014 lagi, dan membawa rekaan grafik yang mungkin boleh dikatakan ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan permainan sekarang, namun ia masih lagi satu permainan yang sangat baik.
Walaupun satu permainan yang khusus untuk peranti mudah alih, tetapi ia menyertakan kandungan yang boleh mengambil masa berpuluh-puluh jam, dan mungkin lebih jika pemain ingin melihat segala yang ditawarkan. Walaupun bukan permainan baharu, semua patut mencuba permainan ini dan bagi yang sudah pernah, mungkin masa untuk kembali bermain.
The Gardens Between+
The Garden Between adalah permainan pengembaraan dan juga tekaria yang dibangunkan untuk konsol sebelum turut dikeluarkan untuk telefon pintar. Ia sudah dikeluarkan pada tahun 2019 lagi, tetapi baru-baru ini mula ditawarkan untuk Apple Arcade melalui versi The Gardens Between+.
Oleh itu, ini adalah peluang terbaik untuk pemain mencubanya, kerana ia adalah satu permainan pengembaraan yang mempunyai penceritaan yang baik dengan perwatakan yang mendalam. Ia juga menyertakan tatamain dan tekaria yang menarik dan ada masa mencabar,
Gris+
Gris juga adalah satu lagi permainan yang dibangunkan untuk konsol dan di bawa ke peranti pintar. dibangunkan oleh Normada Studio dan diterbitkan oleh Devolver Digital. Ia adalah permainan yang membawa rekaan grafik yang sanga menawan dengan gaya seperti satu lukisan tangan.
Tatamain adalah ringkas dengan memfokuskan kepada pengembaraan akan tetapi ia berjaya dicampur dengan penceritaan yang sangat mendalam mengenai satu topik yang serious. Jika anda mencari permainan yang akan memberikan anda pelbagai perasaan dan juga grafik yang menawan, Gris+ adalah permainan yang anda harus cuba.
Shovel Knight Dig
Shovel Knight Dig adalah permainan sampingan untuk siri Shovel Knight Yacht Club Games, ia boleh dikatakan dibangunkan khusus untuk telefon pintar. Mengekalkan konsep permainan platforming, tetapi juga menyertakan elemen roguelike. Pemain akan gali di kawasan yang direka secara rawak untuk mengumpul gem dan melawan penjahat.
Pemain juga perlu melalui pertempuran bos sebelum dapat ke kawasan baharu, jika mati pemain akan kembali ke atas tetapi akan dapat menggunakan gem yang dikumpul sebelum ini untuk mempertingkatkan tahap. Jika anda meminati Shovel Knight ataupun permainan roguelike secara umum, ia adalah satu permainan yang baik.
Horizon Chase 2
Horizon Chase 2 adalah permainan susulan kepada Horizon Chase yang merupakan permainan arked lumba kereta. Ia dibangunkan oleh Aquiris Game Studio dan buat masa ini hanya ditawarkan di Apple Arcade sebelum turut ditawarkan di platform lain pada tahun lepas.
Ia menawarkan sesi lumba kereta yang menarik dengan rekaan grafik yang menawan melalui penggunaan gaya seni yang klasik tetapi masih lagi mengekalkan grafik yang berkualiti dan juga lancar. Meminati permainan lumba kereta di telefon pintar? Horizon Chase 2 adalah permainan yang anda harus cuba, ia juga menyokong sesi multi-pemain.
Jetpack Joyride 2
Jetpack Joyride 2 adalah permainan susulan untuk Jetpack Joyride yang dikeluarkan pada tahun 2011, yang kedua ini pada awalnya diumumkan untuk iOS dan Android, dan telah dilancarkan secara akses awal di beberapa negara. Namun, Apple Arcade telah mengambil permainan ini untuk dijadikan sebagai Apple Arcade Originals
Ia adalah permainan susulan yang baik untuk permainan popular mereka sebelum ini. Ia menyertakan bentuk permainan yang baik untuk pemain yang sekadar ingin bermain secara kasual semasa masa terluang, ataupun boleh bermain dengan lebih mendalam melalui sistem mendapatkan senjata berbeza dan peningkatan tahap yang disertakan.
Baca: Ulasan Jetpack Joyride 2 – Antara Permainan Terbaik Di Apple Arcade
NBA 2K23 Arcade Edition
Kami telah menyertakan NBA 2K21 Arcade Edition di dalam Bahagian 1 dan tidak lama selepas itu, NBA 2K22 Arcade Edition dikeluarkan dan yang terbaru adalah NBA 2K23 Arcade Edition yang menyertakan segala pembaharuan termasuk juga pemindahan pemain terkini untuk NBA.
Ia mempunyai pelbagai mod untuk bermain secara solo ataupun multi-pemain. Grafik yang ditawarkan adalah memuaskan walaupun tidak membawa perbezaan yang ketara berbanding permainan lepas. Kawalan adalah baik dengan pelbagai ubah suai boleh dilakukan untuk mencari tetapan yang terbaik akan tetapi pengalaman yang terbaik adalah menggunakan alat kawalan lain seperti DualShock, DualSense ataupun alat kawalan Xbox yang disokong sepenuhnya oleh iOS.
Baca: Ulasan NBA 2K23 Arcade Edition – Permainan Bola Keranjang Yang Mencukupi
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.