Pada awal bulan lepas, Apple telah membawa 30 permainan baharu untuk perkhidmatan langganan permainan Apple Arcade mereka. Selain permainan ‘Apple Arcade Originals’, mereka juga telah memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Timeless Classics yang memfokuskan kepada permainan lama yang popular termasuk juga permainan papan seperti chess, kategori kedua adalah ‘App Store Greats’ yang membawa permainan-permainan popular dari App Store ke Apple Arcade.
Pengenalan dua kategori baharu ini telah membantu untuk mempelbagaikan lagi penawaran permainan di Apple Arcade yang sebelum ini terhad kepada permainan Originals sahaja. Ia adalah baik, namun permainan video bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibangunkan dan tidak semua pembangun bersedia untuk mengeluarkan permainan di satu platform sahaja tambahan lagi menghasilkan permainan yang tidak mempunyai pembelian di dalam aplikasi.
Namun, mungkin sedikit ‘kekurangan’ adalah apabila lambakan permainan disertakan ia akan menjadi rambang mata dan tidak pasti permainan mana yang harus dicuba terlebih dahulu. Oleh itu, melalui artikel ini, saya akan senaraikan 10 permainan baharu menarik di Apple Arcade.
Dibangunkan oleh Mistwalker iaitu studio yang ditubuhkan oleh Hironobu Sakaguchi, pencipta Final Fantasy selepas beliau meninggalkan Square Enix pada tahun 2004. Fantasian membawa permainan klasik JRPG di dalam rekaan grafik yang unik. Selain itu, ia juga menawarkan rekaan runut bunyi oleh komposer terkenal Nobuo Uematsu yang juga pernah terlibat dengan Final Fantasy.
Membawa kisah mengenai Leo yang baru sedar diri di satu kilang yang mempunyai banyak robot, dia juga mendapat yang dia tidak mengingati langsung mengenai dirinya. Pada percubaan saya, permainan ini mempunyai rekaan pertempuran yang baik iaitu mengikut turutan seperti permainan klasik JRPG. Namun, ia mempunyai keunikan seperti magis yang boleh dibengkokkan untuk menyerang lebih ramai penjahat serentak dan juga sistem Dimengeon Battle yang akan mengurangkan kejengkelan pertempuran secara rawak.
Permainan ini juga mesra pemain kasual tidak kira yang berpengalaman permainan JRPG ataupun tidak. Bagi jalan cerita pula, seperti mana permainan JRPG, penceritaan mempunyai pelbagai cabang dan menjadi makin menarik dengan pengenalan watak baharu dan juga pelbagai misteri. Sedikit mengecewakan, ia tidak mempunyai sebarang lakonan suara.
Platinum Games adalah satu pembangun yang tidak perlu diperkenalkan lagi, dan mereka melancarkan satu permainan mudah alih untuk Apple Arcade juga merupakan satu kejutan. World of Demons adalah permainan aksi, hack and slash yang mempunyai rekaan grafik seperti satu lukisan minyak.
Di dalam permainan ini, pemain bermain sebagai Onakari iaitu seorang samurai yang cuba melawan maklhuk ghaib ataupun Yokai yang sebelum ini hidup bersama dengan manusia tetapi tiba-tiba menjadi jahat. Selain melawan Yokai, dia juga dapat menggunakan kuasa Yokai selepas mengalahkan mereka.
Saya sangat menyukai bentuk permainan yang disertakan, ia menawarkan bentuk pertempuran yang ringkas untuk dikawal menggunakan telefon pintar akan tetapi turut menyertakan pelbagai kombinasi serangan yang menjadikan setiapnya lebih menarik. Apabila, mendapat lebih banyak Yokai, pelbagai serangan lain dapat dilakukan. Penulisan dialog juga agak melucukan walaupun tema permainan yang serious.
Star Trek: Legends adalah permainan RPG yang membolehkan pemain menggunakan pelbagai watak daripada siri-siri Star Trek melalui sistem gacha. Namun, sebagai satu permainan Apple Arcade, ia tidak menyertakan sebarang pembelian di dalam aplikasi walaupun sistem kebiasaan yang ada di dalam permainan gacha masih disertakan contohnya in game currency dan sistem gacha itu sendiri.
Berdasarkan kenyataan oleh pembangun, Tilting Point mereka mengatkan dari awal lagi permainan ini dibangunkan untuk Apple Arcade. Oleh itu, keseimbangan untuknya sudah ditetapkan bagi ia boleh dimainkan tanpa memerlukan sebarang pembelian di dalam aplikasi.
Sistem permainan yang disertakan tidak membawa sebarang kelainan jika ingin dibandingkan dengan permainan lain yang mempunyai genre sama. Sistem pertempuran ringkas, akan tetapi masih menarik terutama apabila melawan penjahat yang tahap lebih tinggi, selain daripada itu sistem automatik disediakan untuk anda bermain secara idle. Penceritaan juga ringkas, akan tetapi masih menarik untuk melihat watak-watak daripada pelbagai generasi Star Trek bersama.
NBA 2K21 adalah permainan simulasi bola keranjang utama, tiada permainan lain yang dapat menyaingi pengaruh mereka. Ia juga terkenal dengan permainan yang mempunyai pembelian di dalam permainan bagi setiap sudut permainan. NBA 2K21 Arcade Edition telah membuang segala itu, dan anda akan memperoleh permainan yang boleh dimainkan secara terus tanpa perlu risau mengenainya.
Di dalamnya, ia menyertakan mod-mod biasa seperti Play Now untuk anda bermain melawan AI menggunakan mana-mana pasukan, ia juga boleh dimainkan secara dalam talian untuk perlawanan biasa ataupun Black Top 3v3, yang terakhirnya adalah mod My Career.
Bentuk permainan dan juga kawalan bagi saya cukup mendalam untuk menjadikan ia menghampiri seperti NBA 2K21 versi konsol ataupun PC, terutama jika bermain menggunakan alat kawalan, tanpanya ia terasa sedikit arked dan banyak yang terasa pelik. Mod paling menarik sudah semestinya My Career yang tidak lagi bergantung kepada transaksi-mikro, tetapi banyak elemen permainan sedikit mengecewakan kerana ia tidak membawa sesi permainan yang seimbang.
Clah Hanz adalah studio pembangun yang terkenal dengan siri permainan Everybody Golf. Melalui Clap Hanz Golf mereka buat pertama kalinya mengeluarkan permainan simulasi golf untuk platform yang bukan PlayStation. Dengan pelbagai pengalaman yang mereka ada, permainan ini membawa satu permainan simulasi golf yang baik.
Ia menyertakan beberapa mod seperti Tour, Score Attack dan juga Survival Mode. Walaupun menyertakan grafik yang lebih kasual, bentuk permainan adalah mendalam. Bahkan jika anda terlepas pandang bahagian tutorial untuknya, anda akan keliru mengenai cara kawalan. Ia mempunyai sistem kawalan yang agak mengelirukan akan tetapi mendalam untuk pemain yang inginkan “simulasi” berbanding arked.
Taiko no Tatsujin adalah satu permainan irama oleh Bandai Namco yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Pukulan gendang-nya adalah sesuatu yang menjadi kegemaran untuk ramai pemain genre ini. Taiko no Tatsujin Pop Tap Beat adalah versi di telefon pintar dan bagi saya ia adalah satu gandingan yang baik.
Selain pilihan lagu yang menarik dan sudah dijangkakan daripada siri ini, ia juga membawa rekaan grafik yang sangat menawan. Bagi anda yang tidak biasa dengan permainan ini, ia mempunyai dua kawalan asas iaitu memukul gendang di bahagia tengah dan satu lagi adalah bahagian tepi bergantung kepada jenis yang dipaparkan dalam skrin.
Ia nampak ringkas, akan tetapi apabila digabungkan dengan pelbagai lagi cara pukulan lain, seperti berterusan ia sangat mencabar. Di tahap-tahap kesukaran yang tinggi ia juga memerlukan ketelitian. Bagi saya ia sedikit sukar untuk kawalan secara skrin sesentuh, terutama kerana ia terletak di tengah. Namun, ia masih lagi permainan Taiko no Tatsujin yang baik.
Cozy Grove adalah permainan pengembaraan oleh Spry Fox, selain untuk Apple Arcade ia juga sudah dikeluarkan untuk konsol dan juga PC. Di dalam permainan ini, anda akan menjadi seorang Pengakap yang melalui ujian untuk menetap di satu pulau secara berseorangan. Namun, di pulau tersebut terdapat pelbagai roh-roh yang akan menemani pemain.
Selain mempunyai konsep survival yang ringkas, bentuk permainan adalah memfokuskan kepada anda mencari barangan tersembunyi di pulau ini. Di mana roh-roh tadi akan meminta tolong untuk mendapatkan pelbagai barangan. Menyelesaikannya akan meningkatkan tahap kem pemain.
Ia adalah permainan yang sesuai untuk dimainkan secara masa pendek, dengan rekaan grafik yang menarik ia adalah satu pengalaman yang tenang untuk bermain.
The Oregon Trail adalah permainan klasik yang memfokuskan kepada pengurusan perjalanan dan juga pengurusan kumpulan. The Oregon Trail oleh Gameloft cuba membawa permainan klasik tersebut kepada platform terbaru. Di dalam permainan ini, anda perlu memastikan sekumpulan penjelajah untuk sampai ke destinasi.
Oleh itu, anda perlu menguruh makanan, kesihatan dan juga pelbagai perkara lain. Semasa perjalanan, pemain juga akan melalui pelbagai kejadian yang bergantung kepada pilihan pemain akan memberi kesan kepada perjalanan tersebut. Ia mungkin akan memudahkan ataupun akan menyukarkan.
Permainan ini sangat sesuai untuk anda yang menyukai permainan yang memerlukan banyak pengurusan. Ia boleh dimainkan secara kasual akan tetapi ada masa ia memerlukan ketelitian untuk memastikan perjalanan tidak terhenti terlalu cepat.
Wonderbox: The Adventure Maker adalah permainan pengembaraan tekaria yang mempunyai rekaan dioramas. Bagi menyelesaikan tekaria pemain boleh memusing sesuatu kawasan untuk melihat bahagian tersembunyi. Selain itu, ia juga menyertakan pertempuran ringkas menggunakan pelbagai senjata sepeti pedang dan juga panah.
Selain permainan mod kempen yang mempunyai penceritaan ringkas, permainan ini juga membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan peringkat sendiri dan berkongsi-nya dengan pemain lain. Oleh itu, walaupun mod kempen mempunyai pilihan peringkat yang agak terhad buat masa ini, anda sentiasa boleh bermain peringkat-peringkat rekaan pemain lain.
Ia juga menyertakan mod dalam talian, jika anda ingin bermain bersama rakan ataupun secara rawak dengan pemain lain, namun semasa percubaan kami, ia agak sukar untuk mencari satu Party. Oleh itu, lebih baik jika anda bermain bersama rakan.
Really Bad Chess bukanlah satu permainan baharu, ia dikeluarkan sejak tahun 2016 akan tetapi sebagai sebahagian kategori baharu untuk Apple Arcade, Really Bad Chess+ disertakan dan ia adalah satu permainan yang menarik tidak kira anda menyukai permainan catur ataupun tidak.
Berbanding permainan catur biasa, Really Bad Chess adalah permainan yang catur yang selain daripada King pilihan buah catur akan diberikan secara rawak. Dengan kata lain, anda mungkin akan mendapat 6 Queen ataupun 6 Knights, oleh itu strategi biasa untuk catur mungkin tidak dapat digunakan.
Antara mod yang disertakan adalah daily board yang akan memberikan satu cabaran setiap hari, weekly challenge, ranked mode bagi yang ingin menguji kemahiran, freeplay dan juga 1v1 jika anda ingin bermain melawan rakan secara setempat.
Senarai di atas sudah semestinya sebahagian kecil sahaja daripada lebih 170 permainan yang ditawarkan melalui Apple Arcade. Jika anda ingin melihat senarai ini melalui versi video, kami sertannya di bawah.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.