Jetpack Joyride 2 adalah permainan susulan untuk Jetpack Joyride yang dikeluarkan pada tahun 2011, yang kedua ini pada awalnya diumumkan untuk iOS dan Android, dan telah dilancarkan secara akses awal di beberapa negara. Namun, Apple Arcade telah mengambil permainan ini untuk dijadikan sebagai Apple Arcade Originals dan telah dilancarkan di perkhidmatan tersebut bermula hari ini.
Permainan ini masih lagi mengekalkan bentuk permainan yang lebih kurang dengan permainan yang pertama, iaitu gabungan di antara genre “endless runner” dan “shooter”. Pemain akan menjadi Berry ataupun Betty yang akan menaiki jetpack dan memasuki tempat-tempat penjahat untuk bertempur. Pemain akan bergerak secara automatik, dan boleh mengawal naik dan turun sahaja untuk mengelak dari serangan penjahat ataupun menembak penjahat.
Ia adalah bentuk permainan yang ringkas tetapi bukan secara negatif kerana ia adalah permainan kasual yang pemain boleh main apabila mempunyai masa yang terluang, akan tetapi ada masa ia masih lagi mencabar terutama apabila melawan bos, tetapi tidaklah terlalu sukar sehingga memerlukan bermain secara berulang-ulang kali dan ia akan menjadi lebih mudah dengan meningkatkan tahap nyawa dan juga serangan.
Jika pemain ingin bermain dengan lebih mendalam, ia juga menyertakan pelbagai sistem yang sudah menjadi kebiasaannya di dalam permainan mudah alih.
Antaranya adalah sistem log masuk harian, dan juga menyertakan objektif untuk mendapatkan pelbagai token dalam permainan yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap pelbagai aspek permainan ini. Jetpack Joyride 2 juga mempunyai pilihan senjata yang pelbagai, akan tetapi ia bukanlah senjata yang akan diperoleh secara terus, sebaliknya pemain boleh dapatkan semasa bermain di sesuatu peringkat.
Pemain boleh nyah-kunci senjata dengan menjumpainya di dalam sistem kotak tikam iaitu ‘Power-ups’. Setiap kali menggunakan token untuk sistem ini, pemain akan mendapat coins dan juga senjata, sama ada yang baharu ataupun yang sedia ada. Jika mendapat yang sedia ada ia akan menambah salinan untuk senjata tersebut, selepas mencukupi sejumlah tertentu, ia boleh ditingkatkan tahap.
Pemain juga akan diberikan beberapa jenis Vehicles, ia adalah seperti senjata di mana pemain perlu dapatkan token bertanda tanya semasa bermain untuk mendapatkan Vehicles secara rawak daripada 4 pilihan yang akan dibuka secara automatik semasa bermain. Pemain perlu mengumpul blueprints untuk meningkatkan Vehicles ini.
Satu lagi sistem yang diperkenalkan adalah Factory, di mana pemain boleh membina kawasan-kawasan yang berbeza dan ia akan menjadi coins ataupun token-token di dalam permainan ini secara pasif. Factory ini akan mengambil masa tertentu untuk mendapatkan coins dan token tersebut, ia akan menjadi alasan utama untuk pemain membuka permainan ini.
Bagi barangan kosmetik pula, pemain boleh menukar pakaian Berry ataupun Betty, dan pemain juga boleh menukar rekaan jetpack yang akan juga menukar senjata yang akan digunakan oleh pemain. Barangan kosmetik tambahan boleh didapatkan dengan terus bermain dan mencapai tahap tertentu ataupun dengan menggunakan Gems.
Anda mungkin sudah mula sedar yang permainan ini mempunyai beberapa ‘mata wang’ di dalam permainan iaitu Tokens, Blueprints dan juga Gems akan tetapi oleh kerana ini adalah permainan Apple Arcade, permainan ini tidak menyertakan sebarang pembelian di dalam aplikasi, menjadikan kesemua barangan seperti token serta blueprints dan juga coins hanya boleh diperoleh dengan bermain. Jadi bergantung sama ada anda menyukai berbelanja di dalam permainan ataupun tidak, permainan ini tidak akan memberi pilihan tersebut.
Semasa pelancaran ini, bagi mod kempen terdapat 30 peringkat kesemuanya dengan satu akan mengambil lebih kurang 5 minit untuk diselesaikan. Permainan ini juga mengatakan yang pelbagai peringkat tambahan akan disertakan dari semasa ke semasa. Selain itu, ia juga mempunyai mod Arcade yang akan mempunyai bentuk permainan berlainan dan menariknya ia akan mempunyai tiga mod berbeza pada satu masa dan akan sering ditukar. Ini menjadikan ia adalah satu permainan yang akan bertahan lama terutama jika pemain ingin mendapatkan kesemua senjata dan meningkatkan kesemua tahap.
Bagi grafik pula, ia adalah baik dan sangat lancar dimainkan, saya menggunakan iPhone 12 Pro Max, akan tetapi seperti kebanyakan permainan Apple Arcade, ia dihasilkan untuk dijalankan dengan baik di kesemua peranti-peranti yang menerima sokongan secara rasmi untuk permainan ini. Dari segi rekaan penjahat dan juga kepelbagaian senjata juga sangat baik, bahkan ada Vehicle iaitu Galaxy Ship yang akan membawa pemain ke angkasa lepas.
Akhir kata, Jetpack Joyride 2 adalah permainan susulan yang baik untuk permainan popular mereka sebelum ini. Ia menyertakan bentuk permainan yang baik untuk pemain yang sekadar ingin bermain secara kasual semasa masa terluang, ataupun boleh bermain dengan lebih mendalam melalui sistem mendapatkan senjata berbeza dan peningkatan tahap yang disertakan.
Pemain juga tidak perlu risaukan mengenai pembelian di dalam permainan, kerana walaupun mempunyai sistem yang kebiasaan untuk permainan mudah alih tetapi tiada langsung pembelian di dalam permainan yang boleh dilakukan.
Jika anda merupakan pelanggan untuk Apple Arcade, ataupun bercadang untuk melanggan, Jetpack Joyride 2 adalah antara permainan terbaik yang anda boleh main sekarang.
Penafian: Akses awal untuk Jetpack Joyride 2 disediakan oleh Halfbrick Studios untuk tujuan ulasan ini.