Meneruskan pengeluaran bagi siri yang lepas iaitu NBA 2K22 Arcade Edition, 2K Games dan Visual Concept hadir dengan permainan baharu iaitu NBA 2K23 Arcade Edition, bagi kebanyakan bahagian ia adalah permainan yang sama dengan versi sebelum ini dengan kemaskini untuk pasukan serta pemindahan pemain dan juga penambahan mod “The Greatest”.
Saya telah mencuba NBA 2K23 Arcade Edition yang juga sudah boleh dimuat turun bagi pelanggan Apple Arcade, dan merasakan yang ia adalah permainan yang mencukupi bagi anda yang ingin bermain permainan bola kerajang di telefon pintar, dengan kebanyakan mod adalah memfokuskan kepada sesi permainan solo, tetapi turut menawarkan multi-pemain bagi yang inginkannya.
Mod Permainan
Terdapat empat mod secara amnya iaitu Play Now iaitu sesi permainan secara terus, melawan AI ataupun dalam talian secara rawak ataupun dengan rakan. Ia juga menyertakan mod Blacktop di mana pemain boleh memilih dari 1v1 sehinggalah 5v5.
Sepanjang percubaan saya, mencari pemain secara dalam talian agar sukar dan jika ada pun sesi permainan tidak lancar dengan ia sering terputus. Oleh itu saya lebih meluangkan masa bermain bersama dengan rakan, yang boleh dicari dengan mudah jika berada berhampiran. Jika tidak, anda boleh menjemput melalui Game Center.
Sesi multi-pemain menyokong rentas platform akan tetapi oleh kerana ia dilancarkan untuk iOS sahaja, ia menyokong rentas platform di antara peranti Apple seperti iPhone, iPad, Macbook dan juga Apple TV.
Mod seterusnya adalah MyCareer yang merupakan mod kegemaran saya di dalam permainan NBA 2K di konsol dan termasuk juga Arcade Edition walaupun ia tidak mempunyai kebanyakan perkara yang menjadikan MyCareer menarik bagi versi konsol.
Ia adalah mod di mana pemain akan mencipta pemain sendiri dan boleh memilih posisi dan juga gaya permainan, sama ada ingin menghasilkan pemain yang ‘menyerang’ rim seperti Giannis Antetokounmpo ataupun pemain yang lebih gemar melakukan 3-pointer seperti Steph Curry.
Ia mempunyai kebolehan mengubah kemahiran dan juga penggunaan badge yang mendalam, membolehkan anda benar-benar menghasilkan pemain sendiri. Untuk meningkatkan tahap, pemain akan menggunakan VC.
Oleh kerana NBA 2K23 Arcade Edition tidak menyertakan sebarang pembelian di dalam aplikasi, VC hanya boleh didapatkan dengan bermain, tetapi untuk permulaan pemain akan diberikan 100k, yang mencukupi untuk meningkatkan tahap pemain ke yang memuaskan.
Di dalam mod ini, pemain akan mengawal atlit sendiri sahaja dengan rakan pasukan lain akan dikawal oleh AI. Kemasukan bermain juga bergantung kepada jurulatih (AI), jika bermain dengan baik, pemain akan bermain lebih banyak minit seperti atlit sebenar. Pemain juga boleh meminta untuk dipindahkan jika ingin bermain dengan pasukan lain.
Jika sudah habis mempertingkatkan tahap ataupun sebelum lagi, VC juga boleh digunakan untuk mendapatkan barangan kosmetik, seperti kasut yang akan digunakan semasa bermain.
Mod seterusnya adalah mod baharu iaitu TheGreatest, melaluinya pemain boleh memilih salah seorang daripada atlit bola kerajang, ini termasuk juga legenda-legenda permainan seperti Allen Iverson, Kareem Abdul-Jabbar ataupun atlit baharu seperti Luka Doncic dan Devin Booker.
Pemain akan menggunakan atlit pilihan untuk melalui pelbagai cabaran melawan dengan pasukan atlit lain di Division Champions sebelum ke peringkat Final Champion. Setiap kali bermain, pemain boleh meningkatkan tahap atlit dan juga keseluruhan mod ini. Ia adalah satu mod yang baik untuk sesi solo, dan saya sering bermain sekurang-kurangnya satu perlawanan sehari.
Mod terakhir adalah The Association iaitu mod seperti MyGM ataupun MyLeague di dalam NBA 2K23, di mana pemain akan menjadi pengurus untuk sesuatu pasukan dan boleh mengawal ataupun melakukan simulasi untuk melalui musim di dalam NBA.
Pemain boleh melakukan penukaran pemain, mendapatkan rookie melalui draft dan membentuk pasukan seperti yang dikehendaki. Sepanjang saya bermainnya, ia adalah baik dengan simulasi pemindahan adalah baik walaupun ada masa ia kurang realistik.
Pengalaman Bermain
Bagi mana-mana mod pun pemain meluangkan masa bermain, pengalaman bermain adalah memuaskan, saya menggunakan iPhone 14 Pro Max, dan boleh menggunakan tetapan Very High untuk kesemuannya dan ia boleh dimainkan dengan baik walaupun saya merasakan yang FPS sedikit rendah berbanding yang saya inginkan, dan ia tidak mempunyai sebarang tetapan untuk meningkatkan ataupun menghadkan FPS.
Bagi saya grafik yang digunakan adalah memuaskan walaupun tidak banyak perbezaan dengan permainan sebelum ini. Ia menawarkan rekaan wajah ataupun atlit secara keseluruhan yang realistik. Penghasilan environment yang baik dengan lampu, penonton dan juga court yang baik.
Bagi kawalan pula, saya mempunyai rungutan yang sama seperti semasa saya bermain NBA 2K22 Arcade Edition, iaitu kawalan menggunakan touchscreen adalah sukar untuk saya membiasakan diri dan terasa pergerakan sangat floaty, saya masih menggunakannya jika ingin bermain secara kasual akan tetapi saya lebih banyak bermain menggunakan alat kawalan, sama ada DualSense ataupun alat kawalan Xbox yang sepenuhnya disokong.
Anda boleh mengubah suai alat kawalan touchscreen dan mencari susunan yang terbaik, akan tetapi saya masih merasakan yang menggunakan alat kawalan lain adalah pengalaman yang lebih baik.
Antara kekurangan yang saya ingin untuk 2K Games dan Visual Concept sertakan melalui kemaskini ataupun di permainan yang akan datang adalah fungsi Call Plays dan juga Playbook. Bagi saya bola kerajang adalah permainan yang mementingkan strategi, dan antara perkara yang penting adalah melakukan gerakan-gerakan berdasarkan playbook untuk mencari ruang dan juga membuka peluang bagi menjaring.
NBA 2K23 Arcade Edition tampaknya tidak menyertakan fungsi ini, dan pergerakan adalah bergantung kepada gerakan AI yang dilakukan, ia sedikit mengelirukan jika pemain sekadar mengawal satu pemain seperti di dalam MyCareer.
Selain itu, saya juga rindukan fungsi untuk melakukan simulasi perlawanan, tetapi boleh bermain pada bila-bila masa sahaja. Ia adalah antara fungsi utama yang saya gunakan apabila bermain NBA 2K, dan versi Arcade ini tidak menyertakannya, tetapi masuk akal kerana ia mungkin memerlukan penggunaan pemprosesan yang tinggi.
Rumusan
Akhir kata, NBA 2K23 Arcade Edition adalah permainan yang mencukupi bagi peminat-peminat permainan bola keranjang, ataupun yang ingin bermain secara kasual. Ia mempunyai pelbagai mod untuk bermain secara solo ataupun multi-pemain. Grafik yang ditawarkan adalah memuaskan walaupun tidak membawa perbezaan yang ketara berbanding permainan lepas.
Kawalan adalah baik dengan pelbagai ubah suai boleh dilakukan untuk mencari tetapan yang terbaik akan tetapi pengalaman yang terbaik adalah menggunakan alat kawalan lain seperit DualShock, DualSense ataupun alat kawalan Xbox yang disokong sepenuhnya oleh iOS.
Jika anda sedang mencari permainan simulasi bola kerajang untuk telefon pintar, NBA 2K23 Arcade Edition boleh dimuat turun melalui Apple Arcade dan ia tidak menyertakan sebarang pembelian di dalam aplikasi.