James Gunn Akan Menjadi “Kevin Feige” Untuk DC Studios

Minggu lepas, Walter Hamada dilaporkan telah pun meletakkan jawatan sebagai presiden di DC Films. Terkini, Warner Bros. Discovery telah menggantikan DC Films sebagai DC Studios. Bukan itu sahaja, mereka turut telah menemui pengganti kepada Walter Hamada.

Pengganti ini adalah James Gunn dan Peter Safran yang akan menjadi pengerusi dan pegawai eksekutif bersama untuk DC Studios. Sebelum ini, Dan Lin iaitu individu di sebalik filem It, Lego dan beberapa lagi adalah calon mereka tetapi kerana tanggungjawab besar ke atas studio produksi Rideback – beliau menolak jawatan ini.

James Gunn dilaporkan telah bertemu dengan ketua filem Warner iaitu Michael De Luca, untuk perbincangan pembangunan satu atau lebih lagi filem DC. Tetapi pertemuan mereka ini memberi tanggungjawab yang lebih besar. James Gunn adalah seorang yang berbakat, beliau terkenal dengan filem MCU seperti Guardians of the Galaxy, filem DC The Suicide Squad dan siri TV Peacemaker.

Peter Safran pula terkenal sebagai penerbit untuk filem Shazam!, Aquaman, dan banyak lagi filem DC termasuk francais Conjuring. Gunn akan memfokuskan bahagian kreativiti, sementara Safran pula bahagian perniagaan. Tetapi mereka berdua turut akan terlibat dengan produksi filem dan melaporkan terus kepada CEO WB David Zaslav dan ketua filem Warner De Luca serta Pamela Abdy.

James Gunn dikatakan menandatangani kontrak untuk 4 tahun bersama Warner Bros. untuk jawatan ini.

Sohor Kini