Netflix sebelum ini dilaporkan ingin berhentikan menawarkan kandungan bersiri dengan semua episod disiarkan secara serentak. Antara sebabnya adalah platform penstriman video pesaing kebanyakannya menyiarkan episod siri TV secara mingguan agar pelanggan kekal melanggan dan tidak berhenti melanggan selepas menonton kesemuanya serentak.

Binge Watch atau maratonton adalah antara ciri unik pada Netflix dan turut menjadikan platform mereka popular. Tetapi, Netflix kini berpendapat dengan penawaran kandungan bersiri yang disiarkan semua episod serentak ia dapat membantu menjadikan platform mereka lebih relevan dan turut menjadikan sesuatu kandungan itu lebih popular – lebih-lebih yang baru dilancarkan. Antara contoh yang mereka berikan adalah Monster: The Jeffrey Dahmer Story yang kini menjadi siri paling popular dengan lebih 746 jam tontonan setakat Oktober ini.  

Contoh lain yang mereka berikan adalah kejayaan Squid Game yang menjadi siri TV bukan bahasa Inggeris pertama mereka paling popular. Mereka turut percaya yang dengan kebolehan maratonton iaitu mula dengan episod pertama dan tonton sehingga episod akhir membolehkan pelanggan menikmati kandungan dengan lebih imersif. Pelanggan turut kemudian akan berkongsi dengan rakan, membuatkan lebih ramai ingin tonton, melanggan dan kekal setia dengan Netflix.

Tetapi Netflix turut sudah mula menguji penawaran kandungan bersiri dengan episod yang tidak disiarkan secara serentak, misalnya Guillermo del Toro’s Cabinet of Curiosities yang mempunyai lapan episod yang akan disiarkan selama empat hari berturut-turut bermula 25 Oktober nanti. Lain adalah Stranger Things 4 yang hadir dengan dua bahagian dengan jarak siaran agak lama untuk setiap bahagian.

Buat masa ini pesaing Netflix iaitu Disney+, Prime Video, HBO Go atau Apple TV+ masih menawarkan kandungan bersiri secara mingguan.

Sohor Kini