Apa yang membuatkan platform penstriman Netflix unik dan digemari ramai adalah, majoriti siri TV mereka ditawarkan dengan kesemua episod serentak. Ia cuba sesuatu yang berbeza dengan apa yang televisyen lakukan, iaitu setiap episod dilancarkan secara mingguan.

Namun, sejak kebelakangan ini Netflix telah mula hilang pelanggan. Pesaing mereka seperti Disney+, HBO Max, Apple TV+, Paramount+, Peacock dan lain-lain menawarkan benda sama dengan apa yang televisyen buat – setiap episod keluar mingguan dan masih boleh mempunyai ramai pelanggan.

Apabila semua episod keluar serentak, pengguna boleh terus maratonton (binge watch) kesemua. Jika satu siri TV ada 10 episod dan setiap episod adalah satu jam, pengguna boleh habiskan masa 10 jam terus tonton tanpa henti.

Tetapi Netflix kelak mungkin akan berhenti menawarkan kesemua episod siri TV serentak. Dengan melakukan perkara ini, pelanggan terpaksa kekal melanggan kerana perlu tonton secara mingguan berbanding habis satu siri TV dan boleh henti langganan dan hanya langgan semula jika ada kandungan baru. Ia juga membolehkan sesuatu kandungan kerap dibincangkan di Internet pada jangka masa lebih panjang dan turut mengurangkan beberan.

Kita bandingkan Stranger Things 4, bahagian pertama hadir dengan 7 episod dan hanya sekitar dua minggu ia sudah berhenti menjadi hangat. Tetapi Obi-Wan Kenobi di Disney+ yang dikeluarkan secara mingguan, walaupun ia tidak memuaskan dan begitu menarik – ia masih hangat dibincangkan.

Tidak pasti sama ada perkara ini akan berlaku ataupun tidak. Kerana Netflix terkenal dengan kemampuan boleh maratonton.

Sohor Kini