Ulasan Galaxy Buds2 Pro – Sesuai Untuk Gaming?

Dengan populariti permainan video di telefon pintar, satu lagi perkara yang menjadi tumpuan bersama adalah penggunaan set fon kepala dan juga TWS. Ia adalah kerana pengalaman bermain permainan video di telefon pintar, jauh lebih baik jika menggunakan set fon kepala ataupun TWS, berbanding menggunakan pembesar suara dari telefon terus. Tambahan jika anda sedang bermain di kawasan yang bising ataupun ramai orang.

Antara yang membuat penawaran TWS adalah Samsung, dan pilihan terbaru mereka adalah Galaxy Buds2 Pro yang dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos. Saya telah mencubanya lebih pada 2 minggu dan boleh katakan ia TWS yang baik dan sesuai untuk digunakan bagi sesi bermain permainan video. Ini bukan sahaja telefon pintar, tetapi saya juga telah mencubanya di komputer riba dan juga Nintendo Switch yang telah menyokong tambatan bluetooth.

Fungsi

Galaxy Buds2 Pro menawarkan kualiti bunyi yang memuaskan di mana saya akan terangkan dengan lebih lanjut di bahagian seterusnya, manakala di bahagian ini saya akan berkongsi beberapa fungsi lain ditawarkan yang serba sedikit memberi nilai tambah kepada penawaran TWS ini.

Antara fungsi tersebut adalah ia menyertakan ciri pembatalan hingar aktif (ANC) yang bagi saya dilakukan dengan mencukupi walaupun anda tidak boleh mengharapkan ia akan “membatalkan” kesemua hingar tetapi kebanyakan bunyi tidak senang di persekitaran akan dipadamkan, membantu untuk memberi pengalaman mendengar yang lebih baik.

Melalui tetapan, saya boleh memilih untuk mengaktifkan ANC, Ambient Sound ataupun menutup terus, ia juga boleh ditukar dengan menggunakan kawalan sentuhan di TWS itu sendiri. Ambient Sound bagus digunakan semasa sedang berada di kawasan awam, manakala ANC sesuai apabila sedang ingin fokus termasuk juga semasa sedang bermain.

Dari segi kadar kalis ia menerima penarafan IPX7 dengan kata lain ia tidak mempunyai sebaran penarafan untuk ketahanan daripada habuk, akan tetapi bagi kalis air ia menerima penarafan 7 yang membolehkan anda menyelam semasa memakai TWS ini di dalam air dengan kedalaman 1-meter selama 30 minut. Namun, ia bukanlah sesuatu yang penting untuk penggunaan bermain permainan video, akan tetapi jika anda sedang menggunakan semasa berjalan di dalam hujan, ia tidak akan memberi sebarang masalah.

Bagi bateri pula, untuk penggunaan secara berterusan ia bertahan lebih kurang 5 jam dengan penggunaan ANC dan lebih lama jika menutupnya. Manakala bekas untuk menyimpan TWS itu sendiri dapat menyediakan ketahanan bateri tambahan sehingga 18 jam, oleh itu dengan pengecasan penuh ia memberikan lebih sekurang-kurangnya 23 jam penggunaan tanpa memerlukan dicas semula. Bekas boleh dicas menggunakan sambungan USB-C yang tersedia di dalam kotak, ataupun menggunakan pengecas nirwayar.

Penggunaan

Bagi melakukan tambatan, ia adalah seperti mana-mana TWS yang lain menggunakan bluetooth, melainkan anda menggunakan telefon pintar Samsung di mana tambatan boleh dilakukan dengan lebih mudah dengan arahan akan dipaparkan secara terus di telefon. Manakala untuk penggunaan di telefon jenama lain, konsol seperti Nintendo Switch dan juga PC, anda hanya perlu menekan TWS semasa ia berada di dalam bekas untuk beberapa saat sehingga lampu berkelip.

Dengan menggunakan bluetooth yang terkini, ia boleh di tambat kepada beberapa peranti tanpa sebarang masalah dengan anda boleh menukar dengan mengakses-nya melalui tetapan sahaja. Manakala jika menggunakan lebih daripada satu peranti Samsung, tambatan akan bertukar secara automatik bagi peranti yang menggunakan akaun Samsung yang sama.

Satu lagi kekurangan, ataupun kelebihan jika anda menggunakan telefon pintar ataupun tablet Samsung adalah ia mempunyai aplikasi Galaxy Wearable yang membolehkan akses tetapan yang lebih mudah. Buat masa ini masih tiada cara lain mengakses tetapan selain menggunakan peranti Samsung.

Antara fungsi yang menarik disediakan adalah Earbud Fit Test yang membolehkan anda menukar kedudukan ataupun menukar putik yang tersedia dengan beberapa saiz untuk mendapat kekemasan yang terbaik. Ini bukan sahaja akan memberi pengalaman mendengar yang terbaik, tetapi juga memberikan fungsi ANC yang paling maksimum.

Rekaan

Dari segi reka bentuk pula, saya juga menyukainya. Ia hadir dengan rekaan yang lebih kecil berbanding generasi sebelum ini, dan secara lalainya saya dapat menggunakan TWS ini dengan baik tanpa memerlukan sebarang penukaran putik. Kerana bentuknya seperti kacang, ia boleh dimuatkan dengan baik di cuping telinga saya dan menjadikan ia TWS yang lebih berprofil rendah kerana tersembunyi di dalam telinga, sesuatu yang saya lebih gemar. Terutama jika menggunakan warna hitam ataupun Graphite. Ia juga hadir dengan dua warna lain iaitu Bora Purple dan White.

Manakala bekas untuk TWS juga mempunyai kekemasan yang menjadikan ia selesa dipegang, ia mempunyai sedikit tekstur yang menjadikan ia terasa lebih selamat untuk dipegang di tangan terutama jika anda menggunakannya ketika melakukan aktiviti riadah dan tidak mempunyai kocek. Saiz bekas juga tidak terlalu besar dan mudah untuk disimpan di mana-mana sahaja, seperti kocek ataupun di dalam beg.

Audio

Apabila bercakap mengenai kualiti audio, Galaxy Buds2 Pro mempunyai kualiti audio yang sangat baik, saya sebelum ini telah menggunakan pelbagai TWS termasuk juga untuk yang berharga lebih mahal. Ia memberikan bunyi yang jelas, terutama untuk dialog-dialog di dalam permainan. Saya tidak perlu berharap kepada sari kata untuk membantu semasa bermain, ia memberikan percakapan yang jelas.

Semasa bermain permainan seperti PUBG Mobile dan Apex Legends Mobile, ia memberikan satu bunyi yang baik untuk mengetahui kedudukan pemain lain dengan larian serta pergerakan dapat didengar dengar jelas termasuk juga dengan kedudukan yang jitu. Ia juga tidak mempunyai kadar kependaman yang tinggi. Ia juga menyokong Gaming Mode yang akan memberikan prestasi yang lebih baik di peranti Samsung.

Manakala dari segi muzik pula, ia mempunyai bass yang sangat baik, akan tetapi ada masa ‘terlalu’ baik sehinggakan mengelamkan bunyi yang lain seperti vokal dan juga instrument lain. Ia sama juga semasa bermain permainan video, di mana apabila adegan yang mempunyai muzik dan dialog, dialog tidak menjadi jelas seperti yang biasa. Namun, ia tidak terlalu ketara dan saya masih boleh menerimanya tanpa sebarang masalah.

Samsung juga mengatakan yang Galaxy Buds2 Pro menyokong 24-bit audio akan tetapi ia terhad kepada telefon Samsung yang menggunakan One UI 4.0 sahaja, jika anda menggunakan peranti yang menyokongnya anda boleh mencuba audio yang lebih baik ini melalui penstriman yang menyokongnya seperti Apple Music ataupun Tidal.

Bagi penggunaan mikrofon pula, saya boleh katakan ia memberikan prestasi yang memuaskan serta mencukupi untuk sesi permainan video tetapi bukanlah terlalu baik jika ingin dibandingkan dengan set fon kepala yang mempunyai mikrofon tersendiri kerana ada masa suara menjadi tidak jelas walaupun tanpa sebarang masalah dari segi sambungan internet. Selain itu, ia juga mempunyai pembatalan hingar yang baik untuk mikrofon, dan bunyi kipas tidak akan terlalu kedengaran lebih memudahkan untuk berkomunikasi semasa bermain.

Rumusan

Galaxy Buds2 Pro adalah satu TWS yang cukup baik, dengan harga RM899 ia menawarkan kualiti bunyi yang baik termasuk juga berbanding TWS yang berharga lebih mahal. Audio semasa bermain permainan video, mendengar lagu dan juga menonton kandungan hiburan memberikan pengalaman yang baik. Manakala ANC digunakan mencukupi walaupun tidak sebaik ANC di set fon kepala tetapi masih lagi antara terbaik di pasaran untuk TWS.

Ia juga akan memberikan pengalaman yang lebih baik jika anda menggunakan peranti Samsung. Seperti mana saya mengujinya menggunakan Samsung Galaxy S22 Ultra, pengalaman adalah lebih baik berbanding menggunakan peranti jenama lain yang hanya anda boleh menggunakan dengan tetapan lalai sahaja.

Mikrofon juga cukup baik untuk sesi permainan video secara multi-pemain, ia melakukan kerja yang baik untuk membuang bunyi-bunyi bising seperti kipas akan tetapi pada masa sama menjadikan suara sedikit kurang jelas dan berbunyi berlainan daripada asal.

Jika anda sedang mencari TWS untuk digunakan, bagi saya Galaxy Buds2 Pro adalah satu pilihan yang baik.

Penafian: Galaxy Buds2 Pro disediakan oleh Samsung Malaysia untuk tujuan ulasan ini.

Sohor Kini