Google hari ini telah mengumumkan sesuatu yang sudah dijangkakan iaitu perkhidmatan Stadia akan mula dikurangkan sehingga penutupan secara penuh pada 18 Januari 2023. Stadia dilancarkan pada tahun 2019, dan dari awal lagi tidak menerima sambutan yang memberangsangkan yang membawa kepada pelbagai masalah, termasuk juga penutupan studio permainan video mereka sendiri.

Di dalam blog yang ditulis oleh Phil Harrison iaitu Naib Presiden dan Pengurus Besar Stadia, beliau mengatakan yang Stadia dilancarkan dengan asas teknologi yang baik akan tetapi gagal mendapat sambutan seperti yang mereka jangkakan.

Mereka juga akan melakukan pembayaran balik penuh kepada semua pengguna yang melakukan pembelian perkakas Stadia melalui Google Store, permainan video dan juga sebarang kandungan tambahan melalui Stadia Store. Pemain boleh mengakses perkhidmatan ini sehingga tarikh penutupan dengan majoriti pembayaran balik dijangka selesai sekitar pertengahan Januari tahun depan.

Google juga mengatakan teknologi yang digunakan oleh Stadia sudah terbukti berkesan dan mereka melihat ia boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti di YouTube, Google PLay dan juga teknologi realiti terimbuh dan ia juga akan ditawarkan kepada rakan industri.

Sohor Kini