Filem Blade kali pertama diumumkan tiga tahun lepas, dengan Mahersala Ali sebagai pemburu pontianak. Filem ini kemudiannya disahkan akan ditayangkan pada 3 November 2023 dan akan menjadi sebahagian daripada MCU Fasa ke-5. Kemudian kami laporkan yang filem ini akan diarahkan oleh Bassam Tariq.
Terkini, filem ini dilaporkan mempunyai banyak masalah. Pertama sekali Bassam Tariq telah menarik diri sebagai pengarah, kerana masalah jadual dan Marvel kini dalam proses mencari pengarah pengganti. Tetapi Bassam akan menjadi penerbit eksekutif untuk filem ini. Filem ini turut mempunyai masalah skrip, menurut THR ia telah ditulis semula banyak kali dengan kali pertama oleh Beau DeMayo (Star Trek: Strange New Worlds, The Witcher).

Antara masalahnya dilaporkan oleh CBR adalah, skrip yang masih belum siap ditulis dan hanya mempunyai 90 muka surat dan hanya mempunyai dua adegan aksi. Mahersala Ali turut dikatakan kecewa dengan skrip yang sedia ada. Kemudian turut dilaporkan yang Kevin Feige tidak boleh fokus kepada satu projek kerana terlibat dengan banyak projek MCU lain.

Adakah ini bermakna filem ini akan ditunda dan tidak boleh ditayangkan pada November tahun hadapan? Mahersala Ali sudah pun muncul sebagai cameo (suara sahaja) dalam filem Eternals ketika Dane Whitman/Black Knight (lakonan Kit Harington) menemui Ebony Blade.
Ini selari dengan perbincangan kami dalam podsiar Jeda Sat #1, di mana sejak adanya Disney+ kandungan MCU menjadi semakin tidak berkualiti kerana mempunyai pelbagai kandungan yang tidak berhenti dikeluarkan berbanding sebelum ini setahun hanya ada beberapa projek sahaja.