Netflix Umum Geng Perompak Untuk Siri TV Berlin

Berlin adalah siri TV baharu Netflix yang masih lagi dalam pembangunan. Ia merupakan siri sampingan kepada La Casa De Papel atau Money Heist, yang menceritakan kisah Berlin lakonan Pedro Alonso sebelum beliau menyertai pasukan perompak dalam siri TV terkenal ini.

Siri ini akan mempunyai tona penceritaan yang berbeza dan di antaranya adalah romantik komedi. Walaupun begitu tema rompakan, penculikan dan aksi akan dikekalkan. Butiran penuh mengenai siri ini masih belum jelas kerana ia akan ditulis sambil penggambaran dilakukan nanti. Selain itu, walaupun ia berlaku dalam dunia Money Heist ia akan bersifat tersendiri dan tidak akan berkait rapat.

Di acara sidang media malam tadi, Netflix telah kongsi video memperlihatkan watak-watak utama yang merupakan geng perompak yang akan diketuai oleh Berlin. Berikut adalah senarai pelakon dan watak yang akan mereka mainkan;

  • Michelle Jenner sebagai Keila, jurutera elektronik.
  • Tristán Ulloa sebagai Damián, seorang profesor yang dermawan dan kawan baik Berlin.
  • Begoña Vargas sebagai Cameron, seorang kamikaze yang sukakan aksi/ganas/pengembaraan.
  • Julio Peña Fernández sebagai Roi, pembantu Berlin.
  • Joel Sánchez sebagai Bruce, orang kuat dalam geng.

Berlin akan kekal ditulis dan diarah oleh pencipta sama Money Heist iaitu Esther Martínez Lobato dan Álex Pina. Ia akan mempunyai lapan episod dan berlaku di sekitar Perancis dan Madrid. Penggambaran akan bermula pada 3 Oktober akan datang dan masih tiada perancangan bila ia akan disiarkan.

Sohor Kini