Beberapa hari lepas, industri permainan video telah dikejutkan dengan ketirisan pelbagai kandungan untuk Grand Theft Auto 6 yang sedang dibangunkan oleh Rockstar Games. Antara yang tertiris adalah pelbagai video permainan tersebut di peringkat pembangunan dan juga kod sumber juga disebarkan.

Hari ini, Rockstar Games telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan terdapat pihak ketiga yang telah mengakses sistem mereka secara haram dan telah menyebarkan fail-fail dan video untuk GTA 6.

Mereka juga mengatakan yang sangat kecewa dengan cara pemain-pemain mengetahui mengenai permainan seterusnya oleh mereka tersebut, akan tetapi mengatakan buat masa ini mereka menjangkakan tiada sebarang gangguan untuk pembangunan ataupun kesan jangka panjang bagi pembangun GTA 6 ini.

Walaupun Rockstar Games mengatakan tiada gangguan kepada pembangunan, Jason Schreier iaitu pemberita untuk Bloomberg mengatakan yang ketirisan ini akan memberi kesan kepada pembangunan dan antaranya adalah mungkin Rockstar Games akan menghadkan lagi kemudahan untuk bekerja dari rumah bagi mengelak perkara ini berulang.

Rockstar Games di dalam kenyataan sama juga mengatakan yang mereka akan memperkenalkan GTA 6 ini dengan cara yang lebih baik apabila mereka bersedia kelak.

Bacaan Lanjut: GTA 6 Dilaporkan Hanya Akan Tiba Se-awalnya Tahun 2025 – Berlaku Di Vice City.

Sohor Kini