Tom Henderson iaitu yang sering berkongsi informasi dalaman untuk permainan yang sedang dibangunkan telah mengeluarkan satu video yang bercakap mengenai permainan terbaru untuk siri Grand Theft Auto iaitu GTA 6. Beliau telah menyentuh mengenai tarikh pelancaran, latar tempat dan juga rekaan peta. Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Antara yang diperkatakan adalah GTA 6 masih di peringkat awal pembangunan dan hanya akan tiba sekitar tahun 2024 atau 2025. Ia juga dikatakan akan berlaku di zaman moden untuk Vice City dan akan menyertakan peta yang dinamik, sepertimana yang dilakukan oleh Epic Games untuk Fortnite. Seperti GTA 5, ia juga akan menyertakan beberapa watak utama yang boleh dimainkan, termasuk juga watak wanita.

Laporan yang diperkatakan oleh Tom Henderson juga telah disahkan oleh Jason Schreier yang mengatakan beliau juga mendengar perkara yang sama terutama untuk tarikh pelancaran. Beliau mengatakan agak mustahil untuk GTA 6 akan tiba dalam masa setahun dua lagi.

Rockstar Games juga dikatakan ingin memfokuskan kepada kesihatan dan juga kesejahteraan pekerja mereka selepas mendapat kritikan semasa pembangunan Red Dead Redemption 2, dan akan mengambil selama yang diperlukan untuk membangunkan GTA 6.

Dengan GTA Online yang terus menjadi penjana keuntungan buat Rockstar Games, mereka di dalam posisi yang tidak mendesak untuk hadir dengan permainan baharu. GTA Online juga akan dilancarkan untuk PS5 dan Xbox Series, sesuatu yang akan dikembangkan lagi.

Sohor Kini