Informasi Permainan Video Terkini
Ciri-Ciri Permainan Terbaik Dan Mengapa The Last of Us Adalah Pilihan Saya

Ciri-Ciri Permainan Terbaik Dan Mengapa The Last of Us Adalah Pilihan Saya

Diterbitkan pada Apr 16, 2019 oleh .

Apabila bercakap mengenai permainan terbaik, tidak kira tahunan ataupun keseluruhan, setiap orang akan mempunyai pilihan tersendiri berdasarkan pengalaman mereka semasa bermain. Ciri-ciri permainan terbaik juga berbeza mengikut pemain, ada pemain yang lebih mementingkan jalan cerita, ada yang lebih mementingkan bentuk permainan dan ada juga yang lebih mementingkan kepadatan kandungan permainan itu sendiri.

Oleh disebabkan itu, agak sukar untuk mencari satu permainan yang saya boleh katakan terbaik sepanjang zaman dan mengharap semua orang akan bersetuju. Namun, melalui penulisan ini, saya akan menyatakan ciri-ciri permainan terbaik bagi saya secara peribadi dan mengapa walaupun sudah dikeluarkan 6 tahun yang lepas, The Last of Us masih merupakan permainan terbaik untuk saya.

Saya telah bermain pelbagai permainan menarik, untuk 6 tahun lepas, seperti Dragon Age: Inquisition, The Witcher 3, Metal Gear Solid The Phantom Pain, Uncharted 4, The Legend of Zelda: Breath of the Wild, God of War dan Red Dead Redemption 2 yang bagi saya merupakan permainan yang sangat berkualiti tetapi tiada yang dapat merampas takhta The Last of Us.

Berikut adalah ciri-ciri di dalam permainan yang menjadikan sesuatu permainan itu adalah terbaik bagi saya, 1) Mempunyai jalan cerita yang mendalam, 2) Mempunyai watak yang menarik, 3) Bentuk permainan yang baik, 4) Kualiti grafik yang baik dan yang paling penting bagi saya 5) Permainan yang mengubah persepsi terhadap permainan video. Seterusnya saya akan menerangkan sedikit mengapa ciri tersebut adalah penting dan juga mengapa The Last of Us memenuhi ciri-ciri tersebut dengan baik.

Mempunyai Jalan Cerita Yang Mendalam

Penceritaan di dalam permainan video kian menjadi elemen yang penting, tidak kira sebagai sampingan ataupun perkara utama, jalan cerita memainkan peranan untuk memastikan setiap aksi serta kelakuan di dalam permainan boleh diikuti oleh pemain dan masuk akal. Ada juga penceritaan menjadi perkara utama di dalam permainan, permainan-permainan yang dikeluarkan oleh Telltale Games contohnya.

Bagi saya, permainan terbaik harus mempunyai kombinasi yang baik di antara penceritaan dan bentuk permainan, oleh disebabkan saya lebih menyukai elemen penceritaan di dalam permainan video, jika penceritaan diberikan sedikit keutamaan berbanding bentuk permainan sudah cukup baik.

Pada pengalaman saya sendiri, The Last of Us menawarkan jalan cerita yang sangat mendalam. Tiada permainan lain yang membuatkan saya terus teringat jalan cerita walaupun sudah lama bermain. Walaupun saya akhir sekali bermain The Last of Us 2-3 tahun yang lepas, kadang-kadang saya akan membuka Youtube untuk menonton kembali babak-babak daripada permainan tersebut.

Penceritaan yang disediakan di dalam permainan ini adalah sesuatu yang saya hargai sehingga sekarang, dan sering kecewa apabila permainan-permainan lain tidak dapat menandingi kualiti penceritaan ataupun impak yang diberikan.

Mempunyai Watak Yang Menarik

Watak di dalam permainan video terbahagi kepada dua iaitu watak yang dikawal oleh pemain dan juga watak-watak lain yang mungkin hadir untuk jangka masa yang lama ataupun sekejap sahaja. Ia mempunyai perhubungan yang terus dengan penceritaan. Penceritaan yang baik akan memberikan pelbagai watak yang menarik. Begitu juga sebaliknya, watak-watak yang menarik akan memberikan penceritaan yang lebih bermakna.

Disebabkan pemain akan mempunyai kaitan yang lebih rapat dengan watak terutama watak yang dikawal oleh pemain, perwatakan di dalam permainan video lebih penting jika ingin dibandingkan dengan siri TV dan filem. Watak-watak tersebut akan memberi kesan kepada pengalaman pemain bermain sesuatu permainan.

The Last of Us memberikan watak yang menarik bukan sahaja watak utama seperti Joel dan Ellie, bahkan watak-watak lain juga diberi perwatakan dan penceritaan yang baik walaupun hanya hadir buat sementara waktu sahaja. Bagi saya, ia dipenuhi dengan banyak watak yang menjadikan penceritaan sangat kuat. Watak-watak seperti Tess, Marlene, Henry dan Sam contohnya benar-benar membantu memberi dinamik kepada penceritaan.

Manakala watak Joel dan Ellie, bagi saya masih merupakan dua watak utama yang terbaik pernah hadir di dalam permainan video. Perkembangan watak untuk kedua-dua watak tersebut dilakukan dengan sangat baik. Komplikasi perhubungan antara Joel dan Ellie juga memberi satu dinamik yang baik. Ia dibantu lagi kedua-dua watak tersebut mempunyai pelbagai adegan yang sangat memberi pelbagai kenangan manis dan juga pahit.

Bentuk Permainan Yang Baik

Walaupun saya lebih mementingkan penceritaan akan tetapi bentuk permainan masih lagi perlu sekurang-kurangnya menarik dan dilakukan dengan baik. Permainan yang hanya memfokuskan penceritaan, dan bentuk permainan dihasilkan dengan ringkas masih merupakan satu permainan yang baik akan tetapi sukar untuk menjadi yang terbaik.

Permainan video mempunyai gaya dan konsep yang berlainan, tetapi saya berpendapat permainan video yang terbaik harus mempunyai bentuk permainan yang sekurang-kurangnya memberi cabaran kepada pemain dan memberikan pelbagai perkara yang berlainan untuk menjadikan ia lebih menarik.

Jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan lain, The Last of Us tidaklah mempunyai bentuk permainan yang terbaik, namun ia cukup baik untuk menjadikan permainan tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada penceritaan. Dengan tetapan yang lebih sukar, permainan tersebut mempunyai cabaran yang tersendiri tambahan lagi jika ingin bermain secara menyelinap.

Kepelbagaian cara bermain, serta penjahat/zombi yang disertakan juga memberi The Last of Us bentuk permainan yang lebih baik terutama untuk pertempuran. Ia tidak disertakan dengan pilihan pemain ataupun mempunyai pengakhiran berbeza, menjadikan ia bukanlah satu permainan yang mempunyai nilai replaybility yang tinggi. Walau bagaimanapun ia juga bermakna dengan sekali bermain sudah cukup memberi satu pengalaman yang penuh.

Grafik Yang Berkualiti

Grafik yang berkualiti boleh dikatakan subjektif, tidak semestinya permainan yang mempunyai rekaan model yang seperti manusia sebenar, dan tekstur yang beresolusi tinggi sahaja boleh dianggap grafik yang berkualiti akan tetapi grafik yang seperti Octopath Traveler juga boleh dikatakan sebagai mempunyai kualiti yang baik. Ia adalah bergantung kepada jenis permainan dan bersesuaian atau tidak dengan kandungan yang cuba disertakan.

Kualiti grafik juga bergantung kepada pelbagai rekaan lain seperti rekaan watak, rekaan persekitaran, penggunaan warna dan juga jenis arahan seni yang digunakan. Campuran kesemua ini yang menentukan kualiti sesuatu grafik dan ia tidak kegemaran pemain serta keperluan permainan tidak semestinya sama.

Bagi The Last of Us, boleh dikatakan mereka cuba menyampaikan satu pengalaman yang seakan filem, kualiti grafik harus nampak seperti realiti. Walaupun dikeluarkan untuk PS3, The Last of Us menyertakan kualiti grafik yang menjadi kejutan dengan kemampuan konsol yang sudah berada di pengakhiran generasi. Selain mempunyai rekaan watak yang baik, rekaan zombi yang pelbagai kekuatan utama The Last of Us adalah rekaan persekitaran, saya boleh katakan sehingga sekarang ia masih satu permainan yang mempunyai persekitaran yang cantik walaupun berlaku di dunia yang sudah mengalami kehancuran.

Rekaan watak, rekaan dunia, membantu The Last of Us untuk memberikan satu pengalaman yang terus kekal di dalam kenangan. Grafik yang disertakan tidaklah mempunyai kualiti yang setanding dengan permainan sekarang, walaupun turut dikeluarkan versi Remastered untuk PS4 ia lebih kepada peningkatan kelancaran permainan sahaja, namun pada masa permainan tersebut dikeluarkan ia adalah mempunyai kualiti grafik yang sangat baik.

Mengubah Persepsi Terhadap Permainan Video

Ciri terpenting bagi saya bagi menentukan sesuatu permainan itu sebagai permainan terbaik adalah bagaimana kehadiran permainan tersebut mengubah persepsi saya mengenai apa yang boleh dijangkakan daripada permainan video. Ia mungkin bergantung kepada ciri-ciri lain yang disertakan di atas, ia juga mungkin tidak langsung berkait.

Contohnya, permainan yang mungkin tidak mengandungi penceritaan terbaik, ataupun bentuk permainan yang paling menarik, boleh mengubah persepsi pemain terhadap permainan video di dalam sesuatu yang langsung tidak berkait. Perkara itu yang menjadikan sesuatu permainan lebih diingati walaupun bukanlah mempunyai kualiti yang terbaik.

The Last of Us adalah permainan yang membuatkan saya terus merasakan permainan video merupakan satu seni yang boleh dikembangkan melangkaui sekadar bermain untuk keseronokan ataupun sekadar menjadi pelepas kebosanan. Ia mengandungi kandungan yang harus dicontohi oleh permainan-permainan lain terutama daripada segi penceritaan.

Permainan oleh Naughty Dogs ini membuktikan permainan video boleh menyampaikan penceritaan lebih baik berbanding siri TV ataupun filem dan pada masa sama tidak membuang elemen yang menjadikan ia satu permainan video yang menarik. Kejayaan penyampaian The Last of Us membuatkan saya teruja dan sentiasa ternanti-nanti jika ada permainan-permainan yang dapat memberikan satu yang lebih baik di masa hadapan.


Ciri-ciri yang saya sertakan di atas merupakan ciri-ciri yang saya beri perhatian di dalam memilih permainan terbaik, tidak kira untuk tahunan ataupun untuk secara keseluruhan. Buat masa ini, The Last of Us masih merupakan permainan yang sangat istimewa untuk saya, ia memenuhi segala ciri-ciri di atas, walaupun bukanlah yang terbaik bagi ciri tersebut secara tersendiri tetapi apabila digabungkan bersama di tambah lagi dengan ciri yang kelima, ia adalah permainan terbaik yang pernah saya mainkan. Saya berharap, The Last of Us 2 yang akan dikeluarkan kelak dapat mengambil takhta ini.

Seperti biasa, perkara begini merupakan subjektif. Setiap pemain mempunyai pilihan berbeza dan ciri-ciri yang berlainan. Kongsikan ciri-ciri yang menjadi sesuatu permainan adalah terbaik bagi anda dan/atau kongsikan permainan yang masih lagi permainan terbaik anda sehingga sekarang. Tidak kira permainan baharu ataupun yang sudah lama dikeluarkan.


TIPS & ULASAN