Untuk aku yang masih boleh dikatakan sebagai peminat baharu francais Star Wars, filem kegemaran aku masih lagi Rogue One kerana mempunyai penceritaan yang berbeza, unik, asli dan lebih menarik. Ia juga adalah satu filem tersendiri, yang mana jika aku lupa jalan cerita Star War pun masih boleh mengikuti perjalanan setiap watak.

Selepas 6 tahun menjadi filem tersendiri, Rogue One kini telah berubah. Star Wars: Andor yang akan disiarkan pada 21 September ini menjadi siri TV prekuel kepada filem hebat ini. Dalam siri ini, ia menceritakan kisah Andor lakonan Diego Luna lima tahun sebelum kejadian dalam filem.


Bersempena dengan kehadiran siri TV ini, aku berpeluang menemuramah salah seorang pelakon utama iaitu Adria Arjona. Beliau akan memainkan watak baharu dalam siri TV ini.

Soalan: Bagaimanakah perasaan dari berlakon dalam filem biasa ke siri TV dalam francais besar Star Wars?

Sebagai seorang peminat Star Wars, sudah semestinya saya teruja dan tidak sangka dapat berlakon dalam francais kegemaran ini. Dengan francais ini mempunyai banyak sejarah, komuniti hebat dan mempunyai peminat yang ramai – saya rasa seronok dan tidak sabar untuk peminat saksikan siri TV ini.

Soalan: Betul ke Adria gementar di set penggambaran?

Siapa sahaja tidak rasa gementar jika terlibat dalam satu francais gergasi seperti Star Wars? Sudah semestinya saya rasa gementar di set penggambaran, tetapi lama kelamaan daripada seorang peminat kepada seorang yang terlibat secara terus – rasa gementar itu hilang. Watak saya terasa seakan berubah menjadi realiti. Tidak lupa juga, peluang memegang pelbagai prop hebat yang tidak dapat saya bawa pulang.

Soalan: Adakah seronok bekerjasama dengan Diego Luna?

Diego Luna adalah seorang yang sangat hebat. Beliau mempunyai pengalaman dalam francais Star Wars melalui filem Star Wars: Rogue One. Beliau bukan sahaja seorang pelakon, tetapi turut menjadi pengarah untuk siri TV ini. Untuk diri saya yang masih baharu dalam dunia ini, Diego banyak membantu untuk menjayakan siri TV Andor dan menjawab pelbagai soalan saya. Bekerja dengan beliau adalah satu pengalaman yang hebat.

Adria Arjona akan berlakon sebagai Bix Caleen dalam Andor. Ia adalah watak baharu dalam dunia Star Wars. Aku tidak akan dedahkan siapakah Bix ini, agar penonton boleh tonton dengan pengalaman yang baik serta penuh dengan rasa ingin tahu.

Star Wars: Andor adalah satu siri TV yang berbeza untuk Star Wars berbanding The Mandalorian, Obi-Wan Kenobi atau Boba Fett. Siri TV ini tidak menggunakan teknologi sama, tetapi menggunakan banyak kaedah seperti filem Star Wars dengan kesan praktikal diutamakan berbanding CGI. Lokasi penggambaran juga adalah yang sebenar dan di set juga suasana sesuatu lokasi dibina pada skala yang sebenar.

Siri TV ini akan disiarkan pada 21 September akan datang dengan 3 episod pertama, kemudian diteruskan secara mingguan untuk 12 episod. Musim pertama akan fokus kepada 5 tahun sebelum Rogue One, sementara musim kedua nanti adalah 4 tahun sebelum dengan setiap episod akan melompat tahun ke tahun.

Sohor Kini