Skip to main content

Permainan yang meletakkan pemain sebagai binatang sentiasa menarik minat, ini adalah kerana ia satu perkara yang boleh dilakukan secara unik melalui permainan video. Sebelum ini, saya sudah ulas mengenai Endling yang menjadikan pemain sebagai seekor rubah, manakala Stray pula menjadikan pemain sebagai seekor kucing. Dengan premis permainan membolehkan pemain untuk mengawal seekor kucing, ia sudah semestinya menarik minat ramai pemerhati, walaupun yang sekadar bermain permainan secara kasual sahaja.

Menyedari perkara ini mungkin adalah sebab utama mengapa permainan Stray walaupun di dalam satu dunia yang kaya dengan persekitaran akan tetapi secara keseluruhannya adalah satu permainan ringkas yang tidak menawarkan variasi bentuk permainan untuk menjadikan ia lebih menarik dan juga baik. Namun, apa yang diberikan sudah mencukupi untuk saya mengesyorkan permainan ini untuk semua.

Stray bermula dengan pemain mengawal seekor kucing berwarna oren bersama dengan kucing-kucing lain yang sedang berjalan di satu kawasan yang kelihatan sudah ditinggalkan, akan tetapi anda telah terjatuh ke kawasan bawah di kawasan perumahan. Kawasan penempatan ini telah dipisahkan dari kawasan luar, di mana sebelum ini ia dilakukan kerana satu wabak.

Kawasan perumahan tersebut dipenuhi dengan robot dan tiada lagi manusia, penceritaan adalah menyatakan kemana perginya manusia dan juga mengapa robot sahaja yang membentuk komuniti di kawasan tersebut.

Tidak lama kemudian, anda akan ditemani oleh satu dron yang mempunyai ‘AI’ iaitu B-12. Oleh kerana seekor kucing tidak boleh berkomunikasi, selain daripada ‘Meow’, B-12 menjadi teman dan juga tukang bercakap yang utama. B-12 mengatakan yang dia merupakan berkas pembantu kepada seorang saintisyang telah keluar dari kawasan tersebut. B-12 mencadangkan mereka bekerjasama untuk keluar dari kawasan tersebut.

Penceritaan di dalam permainan ini, di sampaikan melalui dialog, collectible termasuk juga memori B-12 yang boleh dikumpul. Ia adalah penceritaan menarik, dan sentiasa membuat saya tertanya-tanya yang secara langsungnya membuatkan saya ingin lebih mengembara dan mencari mengenai apa yang sedang berlaku di kawasan ini. Penceritaan juga disampaikan melalui misi-misi utama, yang juga akan menjadi penceritaan utama.

Dengan melalui penceritaan utama, sudah mencukupi untuk memahami apa yang berlaku di dalam dunia Stray ini, akan tetapi dengan mendapat memori-memori lain akan memberikan nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan. Secara keseluruhannya, ia adalah satu penceritaan yang baik, beremosi walaupun pemain menjadi seekor kucing yang mungkin faham ataupun tidak dengan apa yang berlaku tetapi mempunyai naluri untuk mengetahui apa yang penting.

Dari segi bentuk permainan pula, sebagai seekor kucing, pemain boleh bergerak, berlari, melompat, menarik ataupun membawa sesuatu, kesemua ini akan digunakan untuk melalui pelbagai kawasan platformer, menyelesaikan tekaria dan juga melarikan diri dari Zurks iaitu satu makhluk mutan yang menyerang robot, manusia dan juga haiwan.

Bentuk permainan secara amnya adalah ringkas, bagi penceritaan utama, pemain akan melalui beberapa kawasan dan perlu menuju ke beberapa tempat, berdasarkan tekaria ringkas yang diberikan. Namun, ia dilakukan dengan lebih terbuka, dan B-12 kebiasaannya sekadar memberi sedikit penunjuk sahaja. Menyelesaikan sesuatu tekaria ini adalah menarik, walaupun ia tidak terlalu sukar.

Stray tidak mempunyai pertempuran yang mendalam, ada masa pemain akan mendapat Defluxor yang boleh membunuh Zurks, pada masa sama, dan di kebanyakan tempat pemain akan sekadar melarikan diri sahaja kerana Defluxor boleh digunakan dalam masa yang singkat sahaja.

Di bahagian yang lebih lewat, akan terdapat juga elemen menyelinap yang memerlukan pemain untuk mengelak daripada dron sekuriti, ia menjadikan satu lagi lapisan baru untuk bentuk permainan ini. Walau-bagaimanapun, ia tidak berjaya untuk menjadikan permainan ini lebih menarik. Permainan ini mengambil masa lebih kurang 4 jam sahaja untuk dihabiskan, walaupun ia pendek akan tetapi permainan masih lagi terasa sangat terhad dan ringkas.

Sebagai seekor kucing, saya juga boleh melakukan beberapa perkara yang kucing suka lakukan seperti mencakar permukaan dan juga karpet, meow tanpa sebarang sebab, tidur di mana-mana sahaja ataupun bermain di kaki orang ataupun robot di dalam permainan ini. Perkara-perkara ini juga ada disertakan sebagai sebahagian dari tekaria.

Permainan ringkas ataupun pendek bukanlah masalah, bagi saya Stray menyerupai permainan seperti Limbo, Inside, dan juga Tales of Two Brothers, akan tetapi permainan-permainan tersebut mempunyai variasi yang lebih untuk memastikan sesi permainan terasa tidak mendatar sesuatu yang sedikit kekurangan pada Stray.

Permainan boleh dipanjangkan lagi jika pemain ingin mencari kesemua collectible di dalam permainan, antaranya adalah lencana yang dipamerkan di ‘beg’ yang dipakai oleh kucing, memori B-12 yang akan memberikan tambahan maklumat mengenai penceritaan, dan juga kertas muzik yang boleh digunakan untuk memainkan lagu. Mencari kesemua perkara ini, akan mungkin menambah sejam-dua lagi permainan.

Dari segi rekaan grafik, di PlayStation 5 ia dimainkan dengan baik sekali, oleh kerana ia berlatar tempatkan di kawasan yang terbiar ia tidaklah mempunyai kawasan pemandangan yang indah, akan tetapi ia masih lagi kawasan yang menarik untuk diteroka terutama sebagai seekor kucing, akan terdapat dua kawasan utama dengan kawasan kedua lebih meriah dan lebih cantik. Terdapat juga beberapa kawasan di pertengahan yang agak luas, akan tetapi ia bukan kawasan yang boleh diteroka.

Dengan kesemua tempat hanya mempunyai robot, ia memberikan perasaan futuristik, akan tetapi pada masa sama ia juga menjadikan keadaan sedikit bosan kerana walaupun robot-robot ini berinteraksi dan mempunyai gaya seperti manusia, akan tetapi ia kurang ekspresi untuk menyatakan emosi dengan lebih mendalam.

Akhir kata, Stray adalah satu permainan ringkas dan pendek akan tetapi masih lagi mempunyai penceritaan yang baik. Bentuk permainan adalah mudah untuk difahami, platformer dan juga tekaria yang diberikan adalah mudah untuk diselesaikan, yang secara sendiri bukan satu masalah akan tetapi kekurangan variasi platformer dan tekaria ini menjadikan ia sedikit mendatar.

Seperti saya nyatakan di atas, ia masih lagi satu permainan yang saya syorkan untuk semua mencuba, kerana berpeluang untuk menjadi seekor kucing bukan satu pengalaman yang kita sering dapat. Tambahan ia ditawarkan secara percuma untuk pelanggan PS Plus Extra dan Deluxe.

Stray sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan PC.

Stray
Stray adalah permainan menjadi kucing yang comel, ringkas dan beremosi. Ia menawarkan pengalaman bermain yang terhad tetapi mencukupi untuk menyampaikan penceritaan yang baik.
Positif
Jadi Kucing
Penceritaan Beremosi dan Menarik
Grafik Yang Baik
Negatif
Bentuk Permainan Ringkas Dan Tiada Variasi
8

Leave a Reply