Ulasan Endling – Kepupusan Adalah Selamanya

Endling – Extinction is Forever jika melihat kepada rekaan grafik dan juga subjek permainan iaitu menjadi seekor Rubah, adalah satu permainan yang boleh dianggap sebagai permainan comel dan kasual, akan tetapi permainan ini walaupun comel akan tetapi bukanlah satu permainan kasual. Sebaliknya, ia adalah permainan yang cuba memperlihatkan kesukaran binatang untuk bertahan apabila kawasan sekitar dimusnahkan oleh kerakusan manusia.

Permainan ini bermula dengan seekor rubah sedang melarikan diri daripada hutan yang terbakar, berdasarkan perkongsian oleh pembangun permainan, rubah ini adalah yang terakhir wujud di dalam dunia. Selepas terselamat untuk hari pertama, pemain akan diberikan dengan pilihan untuk memilih warna bagi empat ekor anak rubah yang baru dilahirkan. Dengan permainan memberi peluang kepada pemain untuk memilih warna-warna anak rubah ini, secara langsungnya memberi perasaan yang lebih dekat dengan mereka.

Sepanjang permainan ini, pemain akan menjadi ibu rubah tersebut, dan perlu menjaga empat ekor anak rubah tersebut, secara teknikalnya ia adalah tiga ekor kerana dari awal permainan lagi seekor anak rubah akan diambil oleh manusia yang menjadi bahagian penting untuk penceritaan permainan ini. Cara menjaga mereka adalah dengan mencari makanan setiap hari, dan kembali ke ‘sarang’ sebelum malam berakhir. Mencari makanan pada awalnya adalah mudah, akan tetapi menjadi semakin sukar apabila binatang-bintang lain seperti memerang, burung helang juga mencari manakan di tempat yang sama.

Mereka juga tidak akan segan silu untuk menyerang pemain yang menjadikan ketahanan hidup menjadi lebih sukar. Rubah boleh mencari makanan dengan menghidu bau makanan yang mungkin adalah binatang lain seperti tikus, ikan ataupun sampah buangan manusia yang terdapat sisa makanan yang terbuang. Di dalam permainan akan terdapat satu bar yang memperlihatkan kelaparan untuk anak-anak rubah tersebut, jika mereka terlalu lapar, mereka akan mati ataupun sakit.

Permainan tidak akan berakhir, sebaliknya pemain perlu menghadapi duka kehilangan seekor demi seekor anak rubah ini jika tidak menjaganya dengan baik. Ibu rubah sendiri boleh tercedera apabila melawan dengan manusia, ataupun binatang lain, ataupun terkena perangkap manusia. Kepelbagaian ancaman ini, ditambah lagi dengan perlu mencari makanan menjadikan setiap hari adalah satu yang mendebarkan.

Adakah berjaya mencari makanan? Adakah selamat untuk meneroka dengan lebih meluas?

Namun, ia juga menjadikan sesi permainan sedikit berulang kerana setiap hari akan melakukan perkara yang sama sahaja, tetapi ia adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan untuk permainan ketahanan hidup dan tidak menjadi masalah yang besar. Dari semasa ke semasa, ibu rubah juga akan terhidu bau anak rubah yang hilang pada awal permainan, mengikut bau ini akan membuka kawasan baharu dan juga menambah informasi terbaru mengenai apa yang berlaku kepada anak rubah yang diculik tersebut. Pada masa sama, ia juga memperlihatkan apa yang sedang dilakukan oleh manusia yang mengambil anak tersebut. Saya juga merasakan yang permainan ini tidak memberikan pertolongan yang baik untuk membantu pemain memulakan permainan, saya perlu mencuba sendiri dan ada masa mengulangi permainan semula.

Ini serba sedikit membantu untuk menjadikan sesi permainan yang berulang ini terasa sedikit berlainan, dan terdapatnya elemen penceritaan juga menjadikan ia lebih menarik dan tidak terasa sekadar perlu melakukan perkara untuk terus hidup sahaja. Dengan mengembara ke tempat-tempat berlainan, ada masa kejadian penting akan diperlihatkan di peta, juga akan memberi adegan-adegan yang menarik, sama ada baik ataupun menyedihkan. Oleh itu, di samping mencari makanan, sangat digalakkan untuk mengembara ke tempat-tempat penting ini. Ia juga akan membantu untuk mengajar anak-anak rubah ini kemahiran baharu yang akan memudahkan lagi pengembaraan dan juga sesi mencari makanan.

Kawasan di dalam permainan ini adalah agak luas, tetapi tidak terlalu luas untuk memastikan pemain boleh sentiasa kembali ke sarang selepas mengembara seharian. Apabila sudah memasuki lewat malam, penanda visual akan diperlihatkan untuk memudahkan mencari sarang. Endling boleh dikatakan satu permainan side-scrolling, akan tetapi terdapat beberapa cabang yang berbeza untuk memberikan perasaan kawasan yang lebih luas dan menjadikan ia tidak terlalu lurus. Memberi perasaan yang baik semasa mengembara.

Saya bermain permainan di Nintendo Switch dan grafik yang diperlihatkan adalah cukup baik sama ada bermain secara mudah alih ataupun bermain di TV, saya tidak menjumpai sebarang masalah kelancaran ataupun teknikal semasa bermain, satu-satunya rungutan adalah skrin pemuatan yang mengambil terlalu lama, serba sedikit mengganggu sesi permainan. Ia mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan sesi permainan di konsol generasi terkini. Endling juga ditawarkan di PlayStation, Xbox dan juga PC, masalah ini mungkin lebih kurang dirasai di platform-platform tersebut.

Seperti saya katakan di atas, walaupun rekaan grafik yang digunakan adalah terang dan kelihatan comel tetapi pada masa sama ia berjaya menyampaikan keadaan persekitaran yang teruk akibat kerakusan manusia. Memberikan perasaan yang keadaan akan menjadi lebih sukar, makanan berkurang, akan tetapi manusia tidak henti dengan pemusnahan mereka.

Akhir kata, Endling – Extinction is Forever adalah satu permainan ketahanan hidup yang unik dan membawa mesej yang penting. Walaupun menggunakan rekaan grafik yang comel tetapi memberi gambaran yang berkesan dengan masalah yang berlaku apabila manusia tidak mengambil cakna mengenai keadaan persekitaran.

Bentuk permainan ketahanan hidup ada masa terasa berulang akan tetapi oleh kerana ia sedikit ringkas, dan juga menjadi lebih sukar dari semasa ke semasa, menjadikan sesi permainan yang menarik dan terasa cabaran baharu setiap hari. Ini ditambah lagi dengan penceritaan yang disertakan dari semasa ke semasa, menjadikan tidak sabar untuk ke hari seterusnya tetapi akan diberikan ganjaran jika mengambil masa untuk mengembara dan mencari sesuatu yang baharu.

Penafian: Kod permainan Endling – Extinction is Forever disediakan oleh THQ Nordic untuk tujuan ulasan ini. Ia dikeluarkan hari ini untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC.

Endling - Extinction is Forever
Endling - Extinction is Forever adalah satu permainan ketahanan hidup yang unik menjadikan pemain mengawal ibu rubah untuk menjaga anak-anaknya di dunia yang 'terbakar'.
Positif
Grafik Yang Baik Memeperlihatkan Baik Dan Buruk
Bentuk Permainan Yang Unik
Penceritaan Yang Menarik
Negatif
Ada Masa Bentuk Permainan Terasa Berulang
Permainan Tidak Memberi 'Tutorial' Mencukupi
8

Sohor Kini