Ulasan The Gray Man – Filem Aksi Ada Isi

Penawaran filem asli dari Netflix sejak mula menjadi studio filem agak bercampur baur. Roma terlalu art berat sehingga ramai tak berminat untuk menontonnya. The Irishman tidak menarik penonton muda kerana mereka tak kenal Scorsese apatah lagi Pesci, De Niro dan Pacino. Red Notice dan Six Underground pula adalah dua filem aksi yang kosong dihancurkan oleh penggunaan CGI yang melampau sehingga nampak palsu. Bright pula menarik tetapi sekejap sahaja dilupakan.

Sejak pandemik filem yang mungkin boleh dikategorikan menjadi bualan ramai ialah Don’t Look Up kerana filem jenaka sinis ini mempunyai maksud yang lebih mendalam dengan dunia semakin hancur akibat perbuatan manusia. Secara keseluruhan filem asli Netflix lebih banyak tersasar daripada yang tepat ke tengah-tengah.

Apabila The Gray Man hadir ke katalog Netflix semalam aku antara insan yang skeptik berdasarkan kualiti filem-filem terbitan sendiri terdahulu. Tetapi aku akan katakan sekarang filem ini akan menjadi permulaan siri filem aksi yang memang Netflix perlukan untuk menarik semula pelanggan ke platform kerana sentuhan Russo bersaudara amat mantap!

Orang-Orang Kelabu

Gray Man ialah nama yang digunakan oleh CIA untuk sekumpulan pembunuh upahan yang direkrut menerusi sistem penjara Amerika Syarikat. Pembunuh yang dirasakan berbakat diberikan peluang kedua untuk melalukan misi sensitif yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan awam. Six (Ryan Gosling) direkrut selepas dipenjarakan lebih 40 tahun akibat satu kes bunuh oleh Fitzroy (Billy Bob Thornton).

Selepas bersetuju menjadi Gray Man beliau dilatih untuk menjadi agen yang sekacak James Bond, tangkas seperti Jason Bourne dan berbakat membunuh seperti John Wick. Dalam satu misi di Bangkok, Six dengan bantuan Agen Miranda (Ana de Armas) perlu membunuh sasaran yang dikatakan mempunyai maklumat yang boleh membahayakan keselamatan Amerika Syarikat. Berlalu sedikit kesukaran di luar jangkaan yang menyebabkan perancangan perlu dicampak ke luar tingkap.

Six mendapat tahu sebab sebenar sasaran diburu oleh CIA dan bermula daripada situ beliau pula diburu oleh bekas majikan tanpa prejudis. Selepas semua usaha mereka gagal, CIA memilih untuk menggunakan perkhidmatan Lloyd (Chris Evans) seorang kontraktor luaran akan melalukan apa sahaja untuk melengkapkan misi.

Macam Klise Tetapi Tidak

Tiga perenggan di atas memang macam klise pada peringkat awal. Sama sahaja macam kebanyakan filem aksi melibatkan agen risikan tulisan Ian Fleming, Tom Clancy, Robert Ludlum dan John le Carré. Yang membezakan Gray Man dari filem aksi klise yang lain ialah ia berasaskan buku yang ditulis oleh Mark Greaney.

Nama yang aku yakin tidak begitu dikenali ramai kerana kita kini hidup dalam zaman orang sudah tak banyak membaca. Tetapi Greaney ialah penulis yang dipilih sendiri oleh Tom Clancy untuk membantu menulis siri buku Jack Ryan (yang kini menjadi siri Prime Video) dan kemudiannya meneruskan siri selepas kematian Clancy sembilan tahun yang lalu. Greaney berjaya meneruskan siri Jack Ryan dengan empat buku dalam masa dua tahun.

Asas Gray Man sudah menarik tetapi yang membuatkan filem ini wajib ditonton ialah lakonan Ryan Gosling, dan Chris Evans yang mantap. Gosling berjaya membawakan watak pembunuh tidak beremosi dengan cukup bersahaja. Evans pula jelas gembira dapat memegang watak antagonis yang keji yang 180 darjah berbeza dari watak Captain America yang dipegang beliau dalam MCU. Watak douchebag paling berjaya Evans sejak menjadi Lucas Lee dalam Scott Pilgrim vs The World.

Lakonan mantap dibantu lagi dengan skrip yang kelakar bertempat, aksi yang mendebarkan dan arahan mantap dari Russo bersaudara. Tidak ada babak kosong yang membosankan sepanjang filem 122 minit ini.

Winter Soldier 2?

Misteri mengapa Six secara tiba-tiba diburu oleh askar upahan CIA dirungkai dengan baik diselang seli dengan aksi yang menujukan mengapa beliau adalah Gray Man yang berbahaya dan kisah latar belakang siapakah yang dibunuh beliau sehingga dipenjarakan di awal filem.

Struktur filem Gray Man sebenarnya banyak persamaan dengan filem Captain Amerika : The Winter Soldier yang juga diarahkan oleh Russo bersaudara. Kadang kala memang dapat dirasakan seakan dejavu lebih-lebih lagi apabila dua seteru bertembung di penghujung filem.

Sebagai contoh Six diburu agensi kerajaan dan dibantu oleh agen wanita dan apabila semua gagal kerajaan memilih menggunakan pilihan paling ekstrem untuk meneutralkan Six. Sama dengan Captain Amerika diburu kerana tidak bersetuju dengan Perjanjian Sokovia, dibantu oleh agen Sharon Carter sebelum kerajaan menggunakan pilihan paling ekstrem untuk menghapuskan Winter Soldier.

Apakah hukumnya pengarah menggunakan semula idea dari filem terdahulu tetapi dengan aksi yang lebih ganas, lebih melampau, lebih adrenalin dan lebih cool? Jawapan aku ialah kalau hasilnya bagus maka tak berdosa.

Setakat ini aku hanya sentuh perkara yang positif sahaja. Apabila sampai ke penghujung, aksi diberikan kepentingan berbanding logik sehingga menjadi seperti dicuri dari filem Tamil atau Fast Furious 7. Watak yang pada awalnya manusia biasa secara tiba-tiba menjadi adiwira yang boleh mengesampingkan peluru seperti perk dalam Call of Duty Mobile.

Kekurangan The Gray Man yang tidak dimaafkan ialah watak Jessica Henwick, Regé-Jean Page dan Dhanush yang tidak dikembangkan dengan begitu baik. Terasa seakan dibazirkan sahaja watak ketiga-tiga pelakon ini dengan ia mungkin akan hanya diberikan perhatian lebih baik dalam filem sekuel.

Walaupun ketika ulasan ini ditulis Netflix belum mengumumkan sekuel, aku yakin ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Ini ialah filem tentpole musim pertama Netflix yang aku rasakan ada potensi untuk dibina dunianya sendiri dalam masa terdekat. You, The Kissing Booth, To All The Boys I Love Before dan 365 Days adalah filem-filem yang mendapat dengan sambungannya di Netflix sebelum ini tetapi semua bukan dari jenis blokbuster musim panas yang diperlukan untuk menarik semula pelanggan ke platform.

The Gray Man
Filem blokbuster Netflix yang mantap oleh Russo bersaudara
Positif
Filem aksi tanpa henti
Lakon baik dari Gosling dan Evans. Evans sesuai menjadi watak jahat
Penceritaan kemas tanpa babak membosankan
Negatif
Beberapa watak tidak dikembangkan dengan baik
Ada babak yang dikitar semula dari Winter Soldier
Misi Chris Evans
8

Sohor Kini