Apple TV+ sedang membangunkan satu siri sampingan yang berlaku dalam dunia Monsterverse, iaitu dunia yang sama dengan filem Godzilla dan Kong bersama-sama dengan Legendary Television.
Siri TV dengan kod nama Hourglass ini akan mengisahkan sebuah keluarga yang cuba meneruskan kehidupan selepas selamat daripada tragedi yang yang berlaku di San Francisco, akibat kemusnahan Godzilla dan Titans. Keluarga ini turut akan cuba merungkai misteri dan kejahatan di sebalik organisasi Monarch.
Siri ini kini disahkan akan menyertakan pelakon Kurt dan Wyatt Russell. Kedua-dua anak beranak Russell ini pernah berlakon dalam filem dan siri TV MCU. Kurt sebagai Ego dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 2, sementara Wyatt pula sebagai US Agent dalam The Falcon and the Winter Soldier. Watak mereka untuk siri TV aksi nyata Monsterverse ini masih belum didedahkan lagi.
Siri TV ini akan diarahkan oleh Matt Shakman, pengarah siri WandaVision. Penerbit eksekutif siri TV ini pula adalah Chris Black (Star Trek: Enterprise ) dan Matt Fraction (Hawkeye). Sudah semestinya Toho juga akan terlibat, dengan Hiro Matsuoka dan Takemasa Arita meneyrtai sebagai penerbit eksekutif.
Sama-sama kita nantikan butiran lanjut untuk siri TV ini.