EA hari ini akhirnya mengumumkan yang permainan seterusnya untuk simulasi bola sepak mereka iaitu FIFA 23 akan dilancarkan secara rasmi pada 30 September 2022 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Antara pembaharuan yang disertakan adalah fungsi rentas platform yang sebelum ini diuji di FIFA 22 akan disertakan secara rasmi. Ia akan menyokong rentas platform di antara PlayStation 5, Xbox Series dan PC manakala PlayStation 4 akan menyokong rentas platform dengan Xbox One.

FIFA 23 juga buat pertama kali akan menyertakan liga bola sepak wanita iaitu Barclays Women’s Super League dan Division 1 Arkema. Tambahan pada itu, Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Dunia Wanita Australia dan New Zealand 2023 akan tiba sebagai kemaskini percuma kelak.

EA juga mengumumkan yang FIFA 23 di generasi konsol terkini dan juga buat pertama kali di PC akan menyokong Hypermotion2 iaitu teknologi menjadikan sesi permainan lebih realistik. Melalui versi baharu ini, ia akan memberikan pengalaman bermain yang lebih baik. Bagi atlit wanita, ia juga akan menyertakan pergerakan berdasarkan pemain bola sepak wanita.

Sesi pra-tempahan untuk FIFA 23 sudah dibuka dengan pemain yang membeli FIFA 23 Ultimate Edition akan dapat bermain dengan lebih awal iaitu pada 27 September 2023.

FIFA 23 Leagcy Edition juga diumumkan untuk Nintendo Switch, ia akan mengekalkan bentuk permainan daripada FIFA 22 Legacy Edition sebelum ini tetapi dengan kemaskini jersi, pemindahan pemain dan juga disertakan pasukan-pasukan wanita.

Ini adalah buat kali terakhir permainan simulasi bola sepak oleh EA akan menggunakan jenama FIFA, dengan permainan seterusnya yang dijangka tiba pada lewat tahun depan akan dikenali sebagai EA Sports FC.

Sohor Kini