Ms. Marvel sudah pun tamat disiarkan dengan enam episod pada 13 Julai lalu. Ia adalah siri TV MCU baharu yang disiarkan secara eksklusif di Disney+. Siri ini buat pertama kalinya menyentuh mengenai komuniti islam dalam MCU. Ia adalah satu kisah yang sedikit berbeza dengan komik, kerana kuasa Ms. Marvel dalam siri TV ini diubah untuk selari dengan filem-filem MCU lain.
Siri ini juga memberikan satu pengalaman menonton yang berlainan dengan apa yang aku sangkakan. Ia cuba sesuatu yang lain, tetapi seakan terkejar-kejar dan cerita menjadi sedikit kelam kabut membuatkan pengalaman menonton kesemua enam episod tidak begitu memuaskan. Dalam artikel ini aku kongsi pengalaman menonton siri TV ini.
Baca: Ulasan Ms. Marvel Episod 1-2 – Lebih Menarik Dan Ceria, Tapi Bukan Untuk Semua
Penceritaan
Ms. Marvel adalah kisah remaja di sekolah, Kamala Khan. Kamala adalah seorang gadis muslim yang masih cuba bersosial dengan rakan-rakan sekolah sambil menghormati ibu bapa beliau melalui nasihat halal dan haram. Seperti yang kita tahu, dalam siri ini juga kita boleh lihat di mana rakan sekolah lain yang bukan muslim sukar menerima Kamala dan kerap menyindir beliau serta memperdaya beliau. Tetapi sebagai seorang yang kuat dan tabah beliau cuba untuk mengharungi semua ini.
Kisah beliau dalam dua episod pertama ini akan membuatkan anda semua kenal dan tahu jalan ceritanya. Tetapi cara penyampaian adalah berbeza dan lebih ceria. Siri ini banyak bermain dengan imaginasi Kamala untuk penonton lihat. Dua episod ini akan memperkenalkan penonton dengan keluarga Kamala, rakan baik beliau Bruno yang genius lakonan Matt Linz yang pada pandangan aku mirip seakan Tom Holland, Nakia pula lakonan Yasmeen Fletcher yang baru berhijrah dengan berhijab serta keluarga Kamala. Kisah di awal siri ini turut akan memperkenalkan kita semua mengenai komuniti Islam dalam dunia Marvel Cinematic Universe, yang lebih memfokuskan kepada komuniti Pakistan yang banyak cabaran di Amerika Syarikat.
Iterasi yang dibawakan agak menarik, tetapi klise. Kuasa Ms. Marvel tidak membuatkan aku teruja walaupun saat genting dalam satu adegan sepatutnya membuatkan aku rasa WOW. Ada juga pengenalan watak yang baru beberapa minit sudah boleh aku baca berkaitan dengan penjahat utama. Ia mudah diramalkan.
Apa yang membuatkan aku rasa menarik dan seronok adalah gaya dan rekaan siri ini. Ia mengintegrasikan animasi seakan Spider-Verse iaitu seakan komik dalam dunia nyata. Ini adalah untuk menunjukkan penonton imaginasi Kamala, apa yang beliau mimpi dan bayangkan kita juga boleh lihat. Penggunaan kamera dan suntingan juga lebih cantik dan berbeza dengan apa yang pernah tonton dalam dunia MCU. Ms. Marvel juga cukup Meta, kerana watak sedar ada filem Disney lain wujud dan mereka melihat adiwira Avengers sebagai tokoh dan contoh untuk semangat kehidupan.
Selepas menonton setiap minggu, aku boleh terima penceritaan Ms. Marvel. Tetapi jika ia dikeluarkan serentak keenam-enam episod, aku mungkin akan terus mengalah untuk tonton, kerana ia tidak mempunyai cerita yang menambah semangat aku untuk tonton. Episod tiga bermula aksi yang baik, tetapi aku masih menggaru kepala. Kamala mula bertempur dengan pasukan jin atau digelar sebagai Clandestines dengan skil yang agak hebat. Persoalan di sini bagaimana Kamala pandai berlawan, mengelak dan sebagainya. Aku suka cubaan mereka menyampaikan cerita dalam episod ini, tetapi ia seolah terkejar-kejar. Perkara yang sama berlaku dalam episod empat, di stesen kereta api apabila Kamala bertemu dengan Red Dagger.
Betul, ada beberapa adegan memperlihatkan Kamala cuba kuasa beliau dan berlatih. Tetapi siapakah sifu beliau untuk terus menjadi bijak dan hebat. Jika ia adalah kerana kuasa dalam diri beliau atau kerana gelang yang dipakai, siri ini tidak mendedahkan apa-apa. Episod empat turut memperlihatkan lebih lanjut mengenai kewujudan Clandestines dalam dunia MCU.
Episod lima, ramai aku tanya mereka suka kerana mempunyai konsep penceritaan yang terus lari daripada tema asal. Ia seakan satu filem pendek hindustan mengenai cinta dan moyang Kamala, iaitu Aisha. Episod ini baik sahaja sebenarnya, tetapi butiran mengenai penglibatan Kamala dengan sejarah keluarga beliau bercelaru dan bersepah. Ia tidak cukup dan tidak begitu jelas.
Episod akhir, pada aku menamatkan siri TV ini dengan baik. Ia memperlihatkan bagaimana Ms. Marvel akan terlibat dengan filem sekuel Captain Marvel, The Marvels. Aku tidak akan dedahkan butiran kerana inginkan artikel ini bebas dengan beberan. Aksi dan CGI juga aku suka dalam episod akhir ini. Perlawanan akhir Kamala bukan dengan musuh yang aku sangka, tetapi adalah dengan organisasi kerajaan Damage Control yang banyak kita lihat dalam Spider-Man. Episod akhir ini juga mencampak banyak informasi dalam masa singkat membuatkan aku terkejut, keliru dan gembira dalam satu masa.
Walaupun Marvel Studios belum hadir dengan siri TV atau filem X-Men, kewujudan mutants telah disahkan dalam dunia MCU. Apa yang Ms. Marvel beri petunjuk adalah, Marvel mungkin tidak mahu sebarang kaitan mengenai Inhumans berlaku dalam MCU dan hanya akan bermain dengan konsep mutant.
Prestasi Lakonan
Prestasi lakonan dalam siri TV ini tidak begitu memuaskan. Iman Vellani sebagai Kamala, pada awal episod kelihatan sedikit janggal dan terlampau try hard untuk menjadi watak kegemaran ramai. Prestasi watak Bruno dan Nakia nampak menarik, tetapi mereka tidak diberi peluang untuk mempunyai masa skrin yang lebih menarik.
Ahli keluarga Kamala, pada aku cukup menarik. Ia berbeza, ceria, lucu dan bila ada saat serius dan emosi – aku suka cara penyampaian setiap pelakon. Siri ini turut menggunakan bahasa Inggeris dengan dialek Hindi dan juga bahasa Urdu. Aku kurang gemar dengan watak Kamran, kerana watak beliau ditulis dengan sangat klise – sehinggakan pada awal episod aku sudah boleh baca apa yang akan berlaku dengan beliau.
Aku juga tidak suka adalah lakonan watak-watak penjahat seperti Najma, ibu kepada Kamran. Aku tidak tahu kenapa, watak beliau bukan sahaja klise tetapi untuk aku sedikit menjengkelkan. Mungkin bukan prestasi beliau, mungkin kerana penulisan untuk watak beliau sahaja.
Aku yakin, pelakon dalam siri TV ini semuanya berbakat. Tetapi jika penulisan skrip tidak mantap, watak-watak menarik yang jelas ada potensi tidak akan menyerlah dan akan dianggap tidak menarik.
Kesimpulan
Ms. Marvel tidak dinafikan adalah satu siri TV yang berlainan. Tetapi keseluruhan siri ini, pada aku berjaya membuatkan aku kekal tonton adalah kerana suntingan dan visualnya. Ia berbeza dan cukup menarik perhatian. Jika peralihan animasi seperti elemen komik, penggunaan kamera yang berpusing-pusing yang cantik atau elemen pemesejan antara watak yang berlainan – siri ini mungkin bosan untuk ditonton.
Untuk Marvel yang cuba menunjukkan kewujudan komuniti Islam dalam MCU, aku boleh terima siri ini dengan baik. Tetapi penceritaan yang tidak konsisten, penulisan yang terkejar-kejar dan watak yang klise – siri ini tidak cukup memberikan aku reaksi WOW sepanjang menonton kesemua enam episod.
Ms. Marvel adalah satu siri TV yang cuba menarik perhatian orang ramai, tetapi tidak berjaya memikat hati penonton. Ms. Marvel juga akan menjadi seperti WandaVision, di mana selepas satu musim siri TV sambungan akan berlaku dalam filem akan datang. Episod akhir Ms. Marvel mempunyai adegan tambahan untuk mengaitkan siri TV ini dengan filem The Marvels.
Baca: Temuramah Bersama Penerbit Eksekutif Ms. Marvel, Sana Amanat – Mazhab Islam Dalam MCU