Ms. Marvel akhirnya akan disiarkan kepada umum 8 Jun, esok. Watak hero wanita islam MCU ini sebelum siri TV disiarkan lagi sudah disahkan akan muncul dalam filem sekuel Captain Marvel untuk memainkan watak penting. Dalam siri ini, ia akan menjelaskan lagi kepada peminat – kenapa beliau penting untuk Captain Marvel dan siapakah Kamala Khan/Ms. Marvel ini?

Aku sudah pun tonton dua episod pertama, melalui akses awal yang diberikan oleh Disney. Dalam artikel ini akan aku kongsi pendapat mengenai pengalaman menonton aku sendiri.

Baca: Temuramah Bersama Penerbit Eksekutif Ms. Marvel, Sana Amanat – Mazhab Islam Dalam MCU


Sebelum aku mula menonton Ms. Marvel, aku sudah meletakkan harapan yang rendah dan tidak mengharapkan ada sesuatu yang akan membuatkan aku teruja. Aku tidak kenal Ms. Marvel dan tidak baca pun komik siri ini. Tetapi selepas menonton dua episod pertama, apa yang aku sangkakan itu berlaku dan membuatkan aku dalam dilema sama ada boleh menerima siri ini atau pun tidak. Selepas menyertai sidang media dan bercakap dengan penerbit eksekutif, Sana Amanat – aku mula faham apa yang siri ini cuba sampaikan sekurang-kurangnya dalam dua episod pertama.

Ms. Marvel adalah kisah remaja di sekolah, Kamala Khan. Kamala adalah seorang gadis muslim yang masih cuba bersosial dengan rakan-rakan sekolah sambil menghormati ibu bapa beliau melalui nasihat halal dan haram. Seperti yang kita tahu,. dalam siri ini juga kita boleh lihat di mana rakan sekolah lain yang bukan muslim sukar menerima Kamala dan kerap menyindir beliau dan memperdaya beliau. Tetapi sebagai seorang yang kuat dan tabah beliau cuba untuk mengharungi semua ini.

Kisah beliau dalam dua episod pertama ini akan membuatkan anda semua kenal dan tahu jalan ceritanya. Tetapi cara penyampaian adalah berbeza dan lebih ceria. Siri ini banyak bermain dengan imaginasi Kamala untuk penonton lihat. Dua episod ini akan memperkenalkan penonton dengan keluarga Kamala, rakan baik beliau Bruno yang genius lakonan Matt Linz yang pada pandangan aku mirip seakan Tom Holland, Nakia pula lakonan Yasmeen Fletcher yang baru berhijrah dengan berhijab serta keluarga Kamala.

Kisah di awal siri ini turut akan memperkenalkan kita semua mengenai komuniti Islam dalam dunia Marvel Cinematic Universe, yang lebih memfokuskan kepada komuniti Pakistan yang banyak cabaran di Amerika Syarikat.

Penceritaan dalam siri ini pada aku baik-baik sahaja, tetapi aku kurang minat dengan jalan cerita siri ini. Pada aku ia biasa dilihat dan tidak mempunyai sesuatu yang unik. Lakonan Iman Vellani, Yasmeen, Matt semuanya baik sahaja dan memang prestasi beliau agak hebat di awal episod. Cuma kisahnya terlampau MCU pada aku. Seperti yang didedahkan dalam treler, siri ini mengubah asal-usul kuasa Ms. Marvel yang membuatkan ramai pembaca komik berang.

Iterasi yang dibawakan agak menarik, tetapi klise. Kuasa Ms. Marvel tidak membuatkan aku teruja walaupun saat genting dalam satu adegan sepatutnya membuatkan aku rasa WOW. Ada juga pengenalan watak yang baru beberapa minit sudah boleh aku baca berkaitan dengan penjahat utama. Ia mudah diramalkan.

Apa yang membuatkan aku rasa menarik dan seronok adalah gaya dan rekaan siri ini. Ia mengintegrasikan animasi seakan Spider-Verse iaitu seakan komik dalam dunia nyata. Ini adalah untuk menunjukkan penonton imaginasi Kamala, apa yang beliau mimpi dan bayangkan kita juga boleh lihat. Penggunaan kamera dan suntingan juga lebih cantik dan berbeza dengan apa yang pernah tonton dalam dunia MCU. Ms. Marvel juga cukup Meta, kerana watak sedar ada filem Disney lain wujud dan mereka melihat adiwira Avengers sebagai tokoh dan contoh untuk semangat kehidupan.

Kini dengan ada Ms. Marvel dan Obi-Wan Kenobi disiarkan serentak pada hari rabu, aku tidak pasti aku akan fokus yang mana lagi. Mungkin Obi-Wan terlebih dahulu, kerana aku sudah lama tidak layan kisah Star Wars yang membabitkan Lightsaber. Ms. Marvel aku sudah tonton dua episod pertama, dan aku akan keluarkan ulasan penuh sebaik sahaja siri ini tamat. Dalam episod ini juga ada penampilan watak daripada Spider-Man, yang aku tidak sangka ada dan cukup menarik untuk melihat beliau kembali.

Untuk aku, Ms. Marvel bukan yang terbaik. Tetapi aku masih seronok, sukakan konsepnya dan aku yakin ia mungkin bukan untuk semua orang. Jika anda ingin tonton, Ms. Marvel akan disiarkan pada 8 Jun 2022, di Disney+ Hotstar.

Sohor Kini