Selepas 28 tahun sejak siri asalnya ditayangkan pada tahun 1998, Eikichi Onizuka kini kembali ke skrin melalui siri penuh GTO: Great Teacher Onizuka baharu yang memfokuskan pertembungan antara kaedah pengajaran tradisional dan sistem pendidikan moden yang dikawal oleh teknologi digital.

Pelakon Takashi Sorimachi kembali membawakan watak guru ikonik tersebut, yang kini berusia 52 tahun. Siri ini disiarkan secara rasmi di Kansai TV dan Fuji TV pada setiap hari Isnin jam 10 malam bermula 20 Julai, serta tersedia untuk tontonan di Malaysia melalui platform penstriman Netflix. Netflix menjadualkan tayangan episod baharu pada setiap hari Selasa.

Naratif musim baharu ini berpusat di Akademi Swasta Seishin, sebuah institusi elit yang sangat bergantung kepada pengurusan data dan kecekapan digital. Interaksi antara pelajar dan guru dijalankan sepenuhnya menerusi tablet. Sistem pendidikan di sekolah ini dikawal oleh “Sistem Maklum Balas Guru” yang membolehkan pelajar memberi penilaian awanama kepada pengajar mereka. Guru yang mencatatkan penarafan rendah berterusan akan dilabel tidak layak dan dibuang kerja.

Dalam persekitaran yang menyingkirkan interaksi bersemuka, pendekatan Onizuka yang berterus-terang dan sanggup berkorban demi pelajarnya tidak lagi diterima. Kaedah lamanya kini dianggap berbahaya oleh pihak pengurusan, menyebabkan dia sering berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan.

Penerbitan siri baharu ini mengekalkan tenaga kerja utama dari siri tahun 1998, yang terdiri daripada penulis skrip Kazuhiko Yukawa, pengarah Satoru Nakajima, dan penerbit Kazuhisa Ando. Tohru Fujisawa, selaku pencipta siri manga asal, juga memainkan peranan dalam memantau penghasilan projek ini.

Keputusan untuk mengembangkan semula GTO sebagai sebuah siri penuh dibuat berikutan sambutan positif terhadap drama episod khas GTO Revival yang disiarkan pada bulan April 2024. Sorimachi menyatakan bahawa siri baharu ini berfungsi sebagai platform untuk mentakrifkan semula erti seorang “Guru Hebat” ketika mendepani masalah sosial generasi hari ini, dengan matlamat merapatkan jurang generasi penonton.

Selain daripada siri terbaharu ini, Netflix juga kini menyiarkan siri aksi nyata terbitan tahun 1998 dan juga filem aksi GTO Revival yang diterbitkan pada tahun 2024.

Leave a Reply