Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Google dilihat sedang berusaha untuk menjadikan Chrome OS sedia menyokong permainan video daripada platform Steam. Usaha ini telah dimulakan sejak dua tahun lepas, sehinggalah Game Mode ditemui dalam kod binaan sebelum ini.

Dalam acara Google for Games Developer Summit 2022, Google akhirnya mengumumkan sokongan Steam untuk Chrome OS. Versi awal ini digelar sebagai Steam Alpha dan ia boleh digunakan pada peranti Chromebook terpilih dengan syarat peranti menjalankan Chrome OS Dev.

Dalam laporan sebelum ini, senarai Chromebook yang boleh menjalankan Steam adalah seperti berikut;

  • Volta – Acer Chromebook 514 (CB514-1H)
  • Volet – Acer Chromebook 515
  • Voxel – Acer Chromebook Spin 713 (CP713-3W)
  • Delbin – ASUS Chromebook Flip CX5 (CX5500)
  • Drobit – ASUS Chromebook CX9 (CX9400)
  • Elemi – HP Pro c640 G2 Chromebook
  • Lindar – Chromebook daripada Lenovo yang tidak dilancarkan

Selain itu, syarat utama adalah sesebuah peranti Chrome OS harus dijana dengan cip Intel Core i5 atau i7 generasi ketujuh dengan memori 7GB RAM paling kurang. Untuk kuasa grafik, Nvidia dilihat turut bekerjasama dengan Google untuk menjayakan usaha ini tetapi masih tidak jelas lagi bagaimana. Adakah melalui sokongan eGPU atau akan ada peranti khas Chrome OS dengan kad grafik Nvidia?

Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini