Perisian gudang permainan komputer atas-talian Steam sebelum ini hanya terhad kepada tiga sistem operasi, iaitu Microsoft Windows, Apple MacOS dan juga Linux, tetapi tidak lama lagi, ia nampaknya akan hadir ke Chrome OS, khususnya apabila ia turut dilaporkan bahawa beberapa jenama pembuat Chromebook dilihat membangunkan komputer riba tersebut dengan unsur-unsur gaming.

Perubahan dalam kod pembangunan Steam untuk Chrome OS memperlihatkan bahawa sokongan awal untuk sejumlah peranti Chromebook keluaran Acer, ASUS dan Lenovo dilihat menyokong penggunaan perisian gudang gaming tersebut.

Walaupun begitu, bagi pemilik peranti Chromebook yang mungkin teruja dengan pengumuman ini mungkin perlu bersabar terlebih dahulu, kerana sokongan untuk perisian tersebut buat masa ini terhad kepada Chromebook yang dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake dan juga memori sekurang-kurangnya 7GB buat masa ini.

Sokongan spesifikasi tersebut dijangka mungkin akan dikurangkan apabila ia dilancarkan secara rasmi kelak, khususnya apabila pihak Valve juga dilihat pernah menguji kestabilan perisian tersebut menggunakan peranti Chromebook yang dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-10 sebelum ini.

Sumber: 9to5Google

Sohor Kini