Netflix kembali dengan musim seterusnya untuk siri The Witcher dan boleh dikatakan yang mereka kini bersedia untuk melaburkan lebih banyak wang ringgit di dalam pembangunan siri ini. Jika anda tonton ulasan saya untuk musim pertama, antara kritikan utama saya adalah kualiti produksi yang nampak murah, perkara ini tidak lagi berlaku dan saya boleh katakan ia nampak sangat berkualiti iaitu sesuatu yang layak untuk penceritaan yang epik di sampaikan melalui siri ini.
Sebagai musim kedua, siri ini tidak lagi perlu membawa bagasi memperkenalkan watak-watak utama di dalamnya, yang telah menjadi masalah di dalam musim pertama iaitu ia disampaikan dengan sedikit bercelaru kerana penceritaan melompat ke depan dan ke belangkan tidak mengikut satu susunan masa yang tetap. Sebaliknya di dalam musim ini, penceritaan disampaikan secara terus dan menjadikan ia lebih mudah untuk difahami dan juga diikuti oleh penonton.
Ia juga memberi ruang kepada siri ini untuk mengembangkan lagi watak-watak yang ada, seperti Geralt, Yennefer dan juga Cirilla. Bagi yang sudah tonton musim pertama, Geralt kini telah bersama dengan Ciri iaitu “anak yang dijanjikan”, dia membawa Ciri ke Kaer Morhen untuk memastikan keselamatan Ciri yang juga sedang dicari oleh pelbagai pihak kerana statusnya sebagai puteri Cintra dan juga kerana misteri di sebalik kebolehan yang ada di dalamnya.
Perhubungan di antara Geralt dan Cirilla disampaikan dengan baik membantu untuk mengembangkan watak kedua-dua mereka. Geralt tidak lagi menjadi seorang Witcher yang sekadar membunuh raksasa dan Cirilla pula tidak lagi sekadar seorang puteri yang selesa di istana, sebaliknya mereka perlu melalui pelbagai halangan dan rintangan, dan tidak selalunya bersama.
Manakala Yennefer yang telah menjadi sebab berakhirnya satu peperangan di musim pertama, terpaksa menghadapi kesan daripadanya. Oleh kerana penceritaan Yennefer tidak terlalu berkait dengan Geralt, sekurang-kurangnya tidak secara terus, ia membantu untuk watak dia dikembangkan dengan sendiri dan membuatkan saya lebih faham mengenai perwatakannya.
Walaupun mereka bertiga tidak secara terus bersama, akan tetapi setiap bahagian penceritaan mempunyai petunjuk mengenai takdir yang tidak boleh dipisahkan untuk mereka bertiga dan ini bagi saya yang menjadikan penceritaan menarik dan membuatkan saya tertanya bagaimana penceritaan ini akan digabungkan. Jika musim pertama menjadikan susunan plot sebagai cara untuk memastikan penceritaan tidak terlalu mendatar, musim kedua sebaliknya meletakkan satu misteri yang besar, dan dihubungkan dengan beberapa misteri kecil, dan apabila misteri-misteri ini dirungkaikan ia memberi kepuasan untuk saya alaminya.
Walaupun musim dua ini tidak lagi mempunyai bebanan untuk memperkenalkan watak-watak utama, akan tetapi ia masih lagi mempunyai bebanan memperkenalkan watak-watak lain terutama watak baharu, politik dan juga misteri dunia The Witcher. Di kebanyakan tempat, ia dilakukan dengan baik akan tetapi saya juga dibantu oleh pengetahuan sedia ada saya daripada membaca novel dan juga bermain siri The Witcher.
Bagi yang langsung tidak mengetahui mengenainya, mungkin perlu lebih dua tiga kali pandang untuk memahami apa yang dicakapkan ataupun dimaksudkan. Terutama mengenai politik, perhubungan di antara Nilfgaard, Redania dan juga satu kumpulan yang terdiri daripada ahli sihir iaitu Brotherhood. Selepas Game of Thrones saya sentiasa menantikan siri yang banyak menyentuh politik, dan siri ini berjaya melakukannya dengan menarik dan saya yakin yang ia akan dikembangkan lagi.
Saya bercakap mengenai bagaimana nilai produksi untuk musim ini telah dipertingkatkan, ini adalah benar untuk setiap bahagian. Bandar, hutan, sungai dihasilkan dengan baik, raksasa juga lebih banyak berbanding dengan musim pertama walaupun ada masa pertempuran terlalu ringkas dan CGI mungkin “kantoi” akan tetapi ia masih lagi menarik dan benar-benar menyampaikan apa itu The Witcher. Terutama dari segi penggunaan magis oleh ahli sihir dan juga simbol magis yang digunakan oleh Witcher.
Namun, bagi saya ia masih lagi mempunyai masalah untuk menyampaikan sesetengah kumpulan watak, antaranya The Witcher, selain Geralt, terdapat witcher-witcher lain tapi bagi saya pemakaian mereka, serta keadaan mereka tidak benar-benar memperlihatkan mereka adalah Witcher. Seterusnya adalah kaum elf, yang bagi saya juga tidak dilakukan dengan baik dan mereka terlalu biasa, mengakibatkan tidak terlalu berbeza dengan manusia biasa. Ia mungkin disengajakan akan tetapi saya lebih menyukai jika ia dihasilkan dengan lebih berbeza.
Saya boleh katakan yang musim kedua untuk siri The Witcher ini adalah lebih baik di kebanyakan aspek berbanding musim pertama, penceritaan disampaikan dengan lebih mudah untuk difahami akan tetapi masih lagi memastikan yang mempunyai penceritaan yang menarik untuk diikuti. Setiap watak disampaikan dengan baik, walaupun dengan pengenalan ramai watak baharu, setiap watak diberikan ruang dan masa untuk dikembangkan dan tiada yang dibazirkan, mungkin ada satu bagi yang membaca buku.
Seperti yang saya kongsikan melalui ulasan untuk siri animasi The Witcher: Nightmare of the Wolf, kekuatan utama untuk penceritaan bagi The Witcher adalah misteri dan juga politik dan musim kali ini benar-benar menyampaikan kedua-dua perkara tersebut dengan baik menjadikan ia sangat menarik, tambahan lagi jika anda sudah serba sedikit mengetahui mengenai dunia di dalam The Witcher.
Dengan The Witcher musim ketiga sudah disahkan, saya tidak sabar untuk melihat jika mereka berjaya mempertingkatkan lagi kualiti produksi dan juga penceritaan seperti mana peningkatan di antara musim kedua dan musim pertama. Dengan apa yang diperlihatkan untuk dua musim ini, siri The Witcher mempunyai potensi untuk menjadi satu siri yang sangat baik dan mungkin menghampiri status Game of Thrones.