Apple Original Films telah berkongsi treler bagi filem aksi komedi terbaharu, Mayday yang melibatkan pelakon seperti Ryan Reynolds dan Kenneth Branagh. Filem ini dijadualkan untuk tayangan pada 4 September 2026 menerusi platform penstriman Apple TV.
Naskhah ini membawakan kisah berlatarkan kemuncak Perang Dingin yang memfokuskan kepada Leftenan Troy “Assassin” Kelly, seorang juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat lakonan Ryan Reynolds. Apabila satu misi sulit di ruang udara Rusia gagal, Kelly tersangkut di kawasan musuh. Keadaan berubah apabila dia ditemui oleh Nikolai Ustinov, seorang bekas ejen KGB lakonan Kenneth Branagh yang mempunyai minat terhadap budaya Amerika. Situasi tersebut memaksa kedua-dua watak ini membentuk kerjasama bagi menyelamatkan Kelly.
Selain Reynolds dan Branagh, barisan pelakon filem ini turut dibintangi oleh Marcin Dorocinski, Maria Bakalova, dan David Morse.
Mayday diarahkan, ditulis, dan diterbitkan bersama oleh John Francis Daley dan Jonathan Goldstein. Projek terbitan Skydance Media dan Maximum Effort ini diterbitkan oleh David Ellison, Dana Goldberg, Don Granger, Ashley Fox, Johnny Pariseau, bersama Goldstein dan Daley. Manakala tanggungjawab penerbit eksekutif pula digalas oleh Ryan Reynolds, George Dewey, dan John G. Scotti.
Mengulas mengenai arahan filem ini, Daley dan Goldstein menyatakan bahawa Mayday merupakan sebuah naskhah penghormatan kepada filem-filem genre ‘buddy’ sekitar era 1980-an yang menggabungkan elemen jenaka, bahaya, serta nilai patriotisme dan kemanusiaan.
Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pelanggan baharu. Pelanggan yang membeli dan mengaktifkan peranti baharu seperti iPhone, iPad, Apple TV 4K, atau Mac layak menerima langganan percuma selama tiga bulan.


