Tiga perkara yang membuatkan siri The Witcher adalah satu siri yang menarik bagi saya adalah Witcher serta Raksasa yang hadir, politik dan juga perhubungan di antara pelbagai kaum. Permainan The Witcher oleh CD Projekt Red membawa tiga perkara ini dengan baik sekali, ia menjadi perkara yang penting untuk sesuatu penceritaan The Witcher.
The Witcher: Nightmare of the Wolf juga berjaya membawa ketiga-tiga perkara tersebut dengan baik sekali dan pada masa sama membawa penceritaan yang lebih ringkas dan akan lebih mudah untuk diterima oleh yang baru sahaja mengikut siri The Witcher, berbanding siri TV yang tiba sebelum ini.
Bagi yang mengikut lore untuk The Witcher, Vesemir memainkan peranan penting di dalam hidup Geralt, di mana Vesemir adalah boleh dikatakan sebagai guru dan juga penjaga untuk Geralt selepas dia menjadi seorang Witcher. Di dalam Nightmare of the Wolf ini, ia memfokuskan bagaimana Vesemir menjadi seorang Witcher.
Penceritaan adalah menarik kerana Witcher pada zaman Vesemir di layan sangat berbeza dengan bagaimana Witcher di layan ketika zaman Geralt, dan ia membawa sudut baharu kepada penceritaan Witcher. Bahkan siri ini juga membawa kisah yang penting untuk memberi pengenalan kepada bagaimana layanan berbeza tersebut berlaku.
Vesemir adalah seorang kanak-kanak yang boleh dikatakan sebagai hamba untuk satu kerabat, selepas seorang Witcher iaitu Deglan hadir untuk menyembuhkan seseorang di tempat kerabat tersebut, Vesemir bertekad untuk menjadi seorang Witcher, kerana dia merasakan ia adalah cara terbaik untuk mengubah kehidupannya.
Dengan membawa penceritaan Vesemir semasa kecil, sebelum menjadi seorang Witcher, membantu untuk memberi lapisan baharu kepada Vesemir, tambahan ia juga disertakan di dalam penceritaan yang lebih luas dengan baik dan menyentuh kepada aspek mengenai Witcher membesar berbeza dengan manusia biasa.
Manakala satu lagi watak yang menguatkan lagi filem ini adalah Tetra iaitu seorang ahli sihir yang merasakan Witcher tidak sepatutnya wujud dan penghasilan Witcher baharu haru dihentikan serta merta. Walaupun sepatutnya bermusuh, atas sebab tertentu Tetra terpaksa bekerjasama dengan Vesemir.
Perhubungan antara dua ini adalah menarik akan tetapi oleh kerana ini adalah satu filem, ia tidak boleh dikembangkan dengan secara menyeluruh namun masih mencukupi untuk menjadikan permasalahan berlaku dengan baik. Kedua-dua watak ini juga memainkan watak penting untuk membawa raksasa yang pelbagai, perihal politik dan juga perhubungan di antara pelbagai kaum dengan baik menjadikan keseluruhan penceritaan sangat menarik.
Penceritaan memfokuskan kepada bagaimana Witcher, kebanyakan yang menjadi mutan tersebut tidak mempunyai pilihan. Kanak-kanak yang akhirnya dijadikan sebagai Witcher biasanya dijual oleh keluarga yang miskin. Selain itu, ia juga membawa bahagian seorang yang ingin menghentikan Witcher, agar kanak-kanak tersebut tidak lagi menjadi mangsa.
Pada masa sama, ia juga menyentuh mengenai peperangan di antara ahli sihir dan manusia melawan dengan kaum Elf, ia adalah permasalah yang sering terjadi di dalam penceritaan The Witcher. Kesemua perkara ini dicampur lagi dengan tindakan pelbagai pihak yang ingin mencapai kepentingan mereka sendiri menjadikan keseluruhan penceritaan sangat padat.
Lakonan suara untuk kesemua watak juga dilakukan dengan baik, Vesemir di bawa oleh Theo James yang juga memainkan watak Hector di dalam siri Castlevania, ada masa ia terasa seperti Hector akan tetapi masih lagi berjaya untuk menjadikan Vesemir satu watak yang segar. Ini ditambah lagi, kebiasaan yang mengikut The Witcher, mengenali Vesemir sebagai seorang yang sudah berumur.
Manakala watak Tetra pula di bawa oleh Lara Pulver, dan seperti Theo James beliau juga pernah bekerjasama dengan Neflix iaitu membawa watak Mirana di dalam siri Anime Dota: Dragon’s, dan ada sebab mengapa Netflix terus bekerja dengan pelakon yang sama, Tetra juga di bawa dengan baik.
Selain itu terdapat juga watak Deglan yang juga merupakan seorang Witcher walaupun dilakonkan oleh Graham McTavish, walaupun mempunyai watak yang ringkas akan tetapi membawa bahagian baharu kepada kumpulan Witcher, dan seterusnya adalah Lady Zerbst lakonan Mary McDonnell, seperti Deglan, watak yang ringkas tetapi penting untuk membantu mengembangkan lagi watak Vesemir.
Sebagai satu filem animasi dengan rekaan seperti anime, ia membawa gaya baharu kepada The Witcher, dan saya boleh katakan Studio MIR melakukan kerja yang sangat baik. Animasi adalah sangat berkualiti, rekaan watak dan juga raksasa sangat baik dan tidak takut untuk memperlihatkan sesuatu yang gory.
Pertempuran juga dilakukan dengan baik akan tetapi ia terasa sedikit “luar biasa” jika ingin dibandingkan dengan apa yang sudah biasa dengan The Witcher, termasuk juga jika ingin dibandingkan dengan permainan video. Geralt lebih grounded, manakala Vesemir lebih lincah dengan mempunyai rantai yang membolehkan dia melompat dengan berterusan.
Namun, dengan gaya animasi yang digunakan cara pertempuran Vesemir sangat bersuasian, dan memberi lebih aksi kepada filem ini. Selain itu, penggunaan efek kuasa terutama yang dilakukan oleh ahli sihir juga dilakukan dengan sangat baik. Ia sering menggunakan efek yang memenuhi skrin dan nampak sangat berkuasa.
The Witcher: Nightmare of the Wolf adalah satu lagi kandungan berdasarkan The Witcher yang diterbitkan oleh Netflix, dan seperti siri aksi nyata sebelum ini, filem animasi ini juga tidak mengecewakan. Bahkan, ia mempunyai penceritaan yang lebih ringkas dan mudah difahami oleh sesiapa sahaja termasuk juga yang baru mengikut penceritaan siri The Witcher.
Ia menyertakan penceritaan yang menggabungkan politik di belakang kumpulan Witcher, ahli sihir dan juga pergadungan di antara manusia dan juga kaum Elf membuatkan ia satu kisah yang padat. Selain itu, ia juga membawa kisah perhubungan di antara Vesemir dengan watak-watak lain yang menarik.
Ini ditambah lagi, ia membawa lakonan suara yang berkualiti dengan pelakon-pelakon yang sudah pernah terlibat dengan Netflix sebelum ini, manakala Studio MIR sekali lagi membawa kualiti animasi yang baik menjadikan setiap watak, raksasa direka dengan baik manakala pertempuran juga seronok untuk ditonton.
Netflix juga mengatakan yang filem animasi ini boleh membantu untuk memberi penceritaan awal sebelum kejadian di dalam musim kedua untuk siri aksi nyata, oleh itu adalah satu lagi sebab yang membuatkan anda harus menonton filem ini.