Ulasan Black Widow – Kisah Silam Yang Dinanti-Nantikan

Selepas sekian lama menanti, akhirnya Black Widow ditayangkan di Malaysia. Benar, versi digital sudah boleh distrim pada Disney+ melalui akaun Amerika Syarikat dengan bayaran tambahan. Tetapi, pengalaman menonton di telefon atau televisyen tidak sama dengan di pawagam.

Disney telah memberi kami peluang untuk tonton filem ini kali kedua. Pertama untuk persediaan temuramah yang kami terbit semalam, kemudian hari ini untuk menyegarkan lagi minda selepas hampir tiga bulan – sejak kali pertama kami tonton pada awal Jun.

Jadi tanpa buang masa lagi, artikel ini adalah ulasan kami – lebih kepada pendapat dan seperti biasa tanpa beberan.


Kisah Apa Dan Best Ke?

Ya benar, Black Widow telah mati dalam filem Avengers: Endgame. Itu bukan lagi satu rahsia. Bagaimana pula beliau boleh muncul dalam filem ini? Jika anda tidak pasti, jangan sesuka hati cipta teori yang membuatkan orang salah faham. Filem Black Widow ini berlaku di antara filem Captain America: Civil War dan juga Avengers: Infinity War.

Filem ini memfokuskan kepada asal-usul Black Widow, seperti bagaimana beliau boleh menjadi seorang Agents of S.H.I.E.L.D dalam MCU, bagaimana beliau bertemu dengan Phil Coulson dan Clint Barton, serta turut menceritakan tragedi Budapest yang sering disebut dalam filem-filem lalu.

Ia turut mendedahkan keluarga beliau, iaitu lakonan David Harbour sebagai Alexei/Red Guardian yang merupakan bapa angkat, Rachel Weisz sebagai Melina/Black Widow (senior), O-T Fagbenle sebagai Mason, William Hurt kembali sebagai Thaddeus Ross serta Ever Anderson dan Violet McGraw sebagai Natasha/Yelena versi muda.

Filem ini diarahkan oleh Cate Shortland, ditulis oleh Eric Pearson berdasarkan cerita daripada Jac Schaeffer dan Ned Benson.

Filem ini adalah satu filem dengan premis yang ringkas. Ia adalah satu penghormatan (kalau kita tidak pandang pada apa yang Disney lakukan kepada Scarlett Johansson) untuk watak Natasha Romanoff/Black Widow selepas bertahun lamanya memainkan watak sampingan dalam filem-filem lain.

Ia mempunyai konsep yang menarik, seperti yang ada saya kongsi melalui artikel di pautan bawah ini;

Baca: Kita Perlukan Lebih Banyak Prekuel Seakan Black Widow Untuk Menjaga Legasi Watak Dan Menutup Plot Hole

Filem yang memelihara legasi watak, yang ada banyak peluang memperkenalkan watak baharu atau juga membaiki/menutup masalah serta persoalan yang tidak terjawab pada filem lain.

Aksi juga menarik dengan pelbagai pergerakan yang menakjubkan. Seperti biasa ada banyak petanda atau easter egg khusus untuk peminat MCU.

Cuma cara penceritaan asal-usul Black Widow ini tidak begitu memuaskan dan mendalam. Banyak konsep imbau kembali atau flashback yang tidak banyak aksi. Ada banyak juga exposition iaitu watak yang menceritakan jalan cerita, menjadikan filem kurang umpphhh!!!

Konsep mengacah yang penampilan watak lain seakan memberi peranan utama adalah perkara yang buat filem ini sedikit tidak memuaskan dan seakan memperdaya penonton. Tetapi perlu faham, inilah Marvel Studios.

Watak ini mungkin akan kembali dalam filem akan datang, atau akan muncul dalam siri TV di Disney+.

Elemen komedi juga diselitkan dalam filem ini. Walaupun bukan lucu gila, tetapi untuk tersengih di saat genting – cukup menghiburkan.

Gandingan Yelena x Natasha

Semalam kami terbitkan artikel temuramah bersama Florence Pugh, iaitu pelakon Yelena Belova yang jelas sekali adalah Black Widow baharu dalam MCU.

Yelena Belova Pengganti Black Widow? | Temuramah Bersama Florence Pugh

Walaupun pada awal mereka bermusuhan, tetapi gandingan mereka berdua ini adalah sungguh hebat. Dinamik mereka berdua memang padan dan prestasi mereka sungguh dahsyat dan memuaskan. Apa yang Florence kongsi dengan kami memang dapat disaksikan dalam filem ini.

Mereka memang seakan adik-beradik yang benar, mempunyai drama yang cukup menarik, serta kisah silam yang seriau yang membuatkan kita rasa “dahsyatnya hidup mereka, tiada childhood yang baik, semuanya kerana agenda penjahat semata…

Paling penting dan jelas adalah beza antara dua Black Widow. Ya, Natasha Romanoff dan Yelena Belova adalah Black Widow. Black Widow adalah gelaran pembunuh upahan yang dilatih di Rusia di dalam program Red Room. Jika anda tertanya adakah Yelena Belova Black Widow baharu? Ya, dalam komik pun sama. Cuma adakah Yelena akan guna nama sama?

Watak Baharu Yang Ada Peluang

Red Guardian, Taskmaster, Melina, Mason adalah antara watak baharu yang unik. Penampilan mereka dalam filem ini amat pendek dan tidak memuaskan. Tetapi apabila sudah biasa dengan filem-filem Marvel Studios, format yang sama apabila diulang tidak menejutkan. Itupun kalau pelakon tidak melakukan hal yang membuatkan Disney terus pecat mereka.

Jelas sekali Red Guardian atau Alexei akan muncul lagi dalam projek MCU lain. Beliau adalah Captain America versi Rusia. Mungkin akan muncul dalam siri Disney+ sebagai watak sampingan, atau boleh juga muncul dalam filem akan datang sebagai watak sampingan yang beri peranan penting. Jika ada Alexei, Melina pasti ada.

Taskmaster tidak boleh kami dedahkan banyak, kerana akan ada beberan. Tetapi, watak ini juga ada banyak peluang sama dengan Yelena Belova untuk muncul kembali. Kita mungkin boleh ikut komik, tetapi komik hanya inspirasi dan filem atau siri TV MCU 100% tersendiri.

Mason juga adalah watak pembantu yang menarik, lucu, dan misteri. Pengenalan watak beliau dilihat amat sesuai dengan siri TV jika ingin main peranan penting.

Tapi apa pun, itu hanya pendapat sahaja. Marvel Studios boleh lakukan apa jua perkara.

Sinematografi

Seperti yang disebutkan dalam perenggan awal, menonton di telefon atau televisyen tidak sama dengan menonton di pawagam. Suntingan filem ini sungguh menarik dan gempak. Sinematografinya, daripada CGI, sudut pandangan, pemandangan semuanya memuaskan.

Koreografi setiap aksi juga penuh dengan pergerakan menarik. Ada beberapa bahagaian yang membuatkan anda tertanya, apalah dungu sangat watak ini – tetapi kalau masuk akal bukan filem namanya.

Audio juga mendebarkan dengan muzik yang menarik adegan demi adegan, gubahan muzik yang sesuai dengan memberi peringatan kepada Black Widow serta pengenalan kepada seorang lagi Black Widow.

Kesimpulan

Filem ini tidak dinafikan, bukanlah filem MCU terbaik. Tetapi selepas dua tahun tiada filem MCU baharu dan hanya disajikan dengan siri TV, ia adalah filem yang boleh diterima. Konsep yang menarik yang membuatkan kami fikir, Disney dan Marvel boleh hadir dengan filem sebegini sekali lagi dengan watak lain pada bila-bila masa sahaja.

Jika anda tonton filem ini, pastikan anda tunggu sehingga tamat. Ini kerana ia mempunyai adegan rahsia di pasca-kredit yang akan berkait dengan siri TV Hawkeye yang akan disiarkan pada 24 November ini.

Filem ini akan ditayangkan kepada umum di pawagam TGV dan GSC yang telah dibuka bermula 23 September. Pastikan jika anda ingin tonton sudah lengkap vaksin dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Black Widow
Natasha Romanoff kembali beraksi dalam filem solo, Black Widoe. Watak ini kekal dimainkan oleh ScarJo, dengan garis masa bertempatkan di antara Captain America: Civil War dan Avengers: Infinity War. Menceritakan kisah asal-usul dengan menampilkan adik beliau Yelena Belova, Red Guardian, musuh baharu Taskmaster serta mendedahkan tragedi di Budapest.
Positif
Konsep menarik untuk sebuah filem solo
Sinematografi yang gempak
Prestasi lakonan oleh pelakon yang memuaskan
Negatif
Elemen klise MCU masih ada
Pengenalan musuh yang tidak begitu menarik
8

Sohor Kini